Sabtu, 21 Mac 2015

Enakmen hudud: Pemikir pertikai cara pelaksanaan

Abdul Aziz Mohd Yassin
Abdul Aziz Mohd Yassin

Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) hari ini mempertikaikan cara pelaksanaan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis lalu.
Presiden Pemikir, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin berkata, apa-apa juga undang-undang Islam yang hendak dilaksanakan tidak kira di peringkat negeri mahupun kerajaan pusat perlulah dilaksanakan dengan adil.

Ini bagi mengelakkan sesuatu dasar pelaksanaan itu hanya dimuktamadkan atas dasar politik semata-mata.

Jelas Abdul Aziz, pemikir selaku pertubuhan yang mempertahankan perlembagaan persekutuan tidak menolak pendekatan kerajaan negeri kelantan dalam melaksanakan hudud.

“Rasa saya cara pelaksanaan hudud itu bagaimana? Sekarang ada 14 buah negeri, kelantan sudah laksanakan. Negeri lain bagaimana? Kita ada pulak kerajaan pusat, bagaimana penerimaan kerajaan pusat? Apa juga undang-undang yang dilaksanakan mestilah adil. itu yang mustahak.

“Kita takut pelaksanaan hudud ini tidak betul -betul dilaksanakan yang boleh mendatangkan ketidakadilan.” kata Abdul Aziz dalam satu sidang media.

Ditanya mengenai keengganan sesetengan pihak terutama bukan Islam dalam menerima rang undang-undang berkenaan, Tan Sri Abdul Aziz berkata kaum lain tidak ada hak untuk mempertikaikan pelaksanaan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 kerana ini hanya termaktud kepada orang Islam sahaja.

“Parti MCA, Gerakan jangan campur tangan hal ehwal islam. Kita tidak pernah campur tangan hal ehwal bukan islam dari segi agama, kenapa pula kita hendak mengamalkan dengan cara hukum syarak kita hendak kacau.

“Mereka tidak tahu hukum Islam. orang kafir mana tahu hukum Islam, orang cina mana tahu hukum Islam, itu sahaja.”

Sebelum ini perbentangan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) mendapat tentangan hebat daripada pihak bukan Islam terutama MCA dan DAP.

Ini termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengumumkan tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian mengenai hudud yang akan dibawa oleh PAS sekiranya dibentangkan di Parlimen.

Kanun berkenaan yang dipersetujui kesemua 44 Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kelantan mengandungi beberapa pindaan antaranya pelaksanaan enakmen berkenaan hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja.

Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Antara lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran