Khamis, 18 Jun 2015

PR sudah tiada, Pulau Pinang tetap kerajaan negeri - Guan Eng

Post Pic
 
Pakatan Rakyat tidak lagi wujud dan kerajaan negeri Pulau Pinang tetap berfungsi seperti biasa.
 
Itu penegasan yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengulas kemelut yang dihadapi antara DAP dan PAS kebelakangan ini.
 
"Exco memutuskan bahawa tindakan mengejut kepimpinan baru PAS dan Muktamar PAS menerima usul tanpa bahas agar memutuskan hubungan dengan DAP, bukan sahaja telah putuskan hubungan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi juga mengakibatkan Pakatan Rakyat(PR) tidak wujud lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
"Lantaran itu, EXCO memutuskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus didokong dan dikekalkan berdasarkan Dasar Bersama PR yang digubal pada Disember 2009 dan Manifesto PR Pulau Pinang bagi Pilihanraya Besar 2013 yang memperolehi mandat popular 68%, yakni terbesar dalam sejarah negeri Pulau Pinang," katanya lagi.
 
DAP dalam kenyataannya selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) malam Isnin lalu menganggap tindakan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP ibarat 'membunuh' pakatan pembangkang itu.
 
Perkembangan tersebut menyaksikan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan terumbang ambing, sekaligus memberi kesan kepada dua negeri naungan mereka iaitu Pulau Pinang dan Selangor, yang dibentuk melalui kerjasama ketiga-tiga parti dalam gagasan pembangkang berkenaan. 
 
Guan Eng bagaimanapun tidak mengulas penegasan PAS sebelum ini bahawa usul putus hubungan itu masih belum muktamad.
 
Malah PAS pernah memberi amaran pada DAP dan PKR agar tidak masuk campur urusan PAS bersabit usul itu.
 
PAS terikat pada prosedur parti dan perlu akur pada peraturan yang ditetapkan, ujar Timbalan Ketua Dewan Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.
 
Enggan peduli gesaan PAS itu, Guan Eng terus meminta wakil PAS di Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri.
 
Setakat ini, beberapa wakil PAS di Pulau Pinang telah meletakkan jawatan mereka, iaitu ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mhd Nasir Yahya dan ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dahalan bin Fazil.  
 
Peletakan jawatan itu didahului oleh bekas Timbalan PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang berbuat demikian beberapa hari selepas keputusan muktamar parti Islam itu. 
 
"Tindakan bermaruah mereka yang letakkan jawatan akan diingati bukan sahaja oleh kerajaan negeri tetapi oleh rakyat Pulau Pinang," ujar Setiausaha DAP itu.

Tiada ulasan:

Transkrip penuh temuramah KP SPRM Mohd Shukri:

"I want to see yo u cerita pengalaman i dalam siasatan kes  personal  1MDB.  Before i proceed I am gonna because, just now i got meet...