Hari ini waktu harian di seluruh dunia akan bertambah satu saat berikutan fenomena dikenali sebagai "Saat Lompat" atau "Leap Second".

Menurut Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, ini bermaksud waktu keseluruhan pada hari ini akan menjadi 24 jam satu saat.

Beliau menarik perhatian bonus satu saat ini adalah berikutan faktor kadar putaran bumi di atas paksinya yang semakin perlahan.

Kadar putaran bumi antara lain, beliau menjelaskan, dipengaruhi faktor pergerakan kutub, geseran pasang surut air laut, interaksi pusat bumi dengan lapisan tengah bumi dan cuaca.

"Faktor-faktor ini boleh menyebabkan putaran bumi sama ada semakin perlahan atau cepat, jadi fenomena Saat Lompat ini juga bukan sesuatu yang tetap, ia bergantung kepada putaran bumi," katanya seperti yang dilaporkan agensi berita Bernama, di ibu negara pada Isnin.

Mohd Zamri berkata bonus satu saat itu akan diperoleh di penghujung hari ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, International Earth Rotation and Reference Systems (IERS) yang berpangkalan di Paris dan berfungsi sebagai badan pemantau putaran bumi akan menyeragamkan waktu piawaian dunia (UTC) mengikut kadar putaran bumi yang sebenar.

"Walaupun bertambah cuma satu saat dan ramai yang terlepas pandang, namun pertambahan waktu ini memberi kesan kepada industri yang berorientasikan pemasaan kepersisan (berketepatan) tinggi," katanya.