Jumaat, 6 Mac 2020

PH hilang majoriti jadi Kerajaan Pusat

24 Feb 2020 - Isnin: Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat susulan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar gagasan itu.
PH yang sebelum ini membentuk kerajaan dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta UPKO pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, kini hanya mempunyai 102 kerusi.
Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.
Tengah hari tadi, BERSATU yang mempunyai 26 kerusi dan kumpulan penyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin membawa sembilan Ahli Parlimen keluar PKR.
Jumlah terkini kerusi milik PH tanpa BERSATU dan 11 Ahli Parlimen serpihan PKR itu belum mengambil kira kemungkinan WARISAN yang mempunyai sembilan Ahli Parlimen turut menamatkan kerjasama dengan pakatan berkenaan.
Ini berikutan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah antara pemimpin politik yang dilihat menyokong kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad serta pakatan baharu yang dikatakan akan ditubuhkan.
Pakatan baharu itu dipercayai bakal dibentuk menerusi gandingan BERSATU yang mempunyai 26 kerusi di Dewan Rakyat, Barisan Nasional (41), PAS (18), Gabungan Parti Sarawak (19),WARISAN (9) serta 11 bekas Ahli Parlimen serpihan PKR.
Jika menjadi kenyataan, pakatan baharu itu akan memiliki 124 kerusi. Ia belum mengambil kira satu kerusi milik UPKO yang setakat ini belum menyatakan sebarang pendirian.
Sementara itu, PH tanpa BERSATU dan 11 Ahli Parlimen serpihan PKR hanya memiliki 102 kerusi, iaitu PKR dengan 39 kerusi, DAP (42 kerusi) dan AMANAH (11).
Jika WARISAN dan UPKO turut menyertai pakatan baharu, jumlah kerusi milik PH di Dewan Rakyat akan berkurangan kepada 92. - BeritaHarian

Tiada ulasan:

Ustaz Kazim Elias disantau

Tahun 1997, Ustaz Kazim Elias balik dari qiamulail dan kuliah Subuh. Sampai sahaja di rumah dalam jam 9 pagi kepala Ustaz  Kazim terasa p...