Khamis, 6 Disember 2007

Umi Azli dan Raja Munirah mangsa keadaan


"Sinar Harian patut jadi pembela dengan menubuhkan tabung bagi membela anak watan kita, Umi Azlim yang ditahan di China."
"Di mana Sinar Harian ketika keluarga Umi Azlim memerlukan bantuan kewangan untuk melihat anaknya yang dipenjarakan di China? Harap Sinar mainkan peranan supaya pihak tertentu tampil membantu keluarga malang itu."
Itu adalah dua mesej sistem pesanan ringkas (SMS) yang kita terima daripada pembaca ketika akhbar ini menyiarkan nasib Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang dikenakan hukuman mati oleh pihak berkuasa China kerana kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.
Kita terkedu dengan mesej itu dan membuat kesimpulan betapa berkesannya laporan muka depan Sinar Harian bertarikh 4 Disember 2007, dan keesokan hari wartawan kita dari Pasir Puteh menemui keluarga Umi Azlim dan menzahirkan perasaan mereka untuk siaran 5 Disember 2007.
Berikutan itu, beberapa pihak, sama ada ahli perniagaan, peguam dan pemimpin politik telah menghubungi Sinar Harian menyatakan hasrat dan hajat mereka untuk membantu keluarga malang berkenaan.
Alhamdulillah, hasil kesungguhan Sinar Harian menyiarkan kisah sedih keluarga Mohamad Lazim Jusoh dan isterinya, Umi Slaia Ibrahim, kini keluarga itu akan dapat bertemu dengan anak kesayangan mereka yang ditahan di penjara wilayah Guangdong, China, tidak lama lagi.
Kita berharap, selepas ini akan ada bantuan lain seperti khidmat guaman untuk membela anak gadis yang tidak berdosa ini daripada menerima hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya. Walaupun mahkamah negara itu memberi tempoh dua tahun untuk rayuan, ia suatu jangka masa yang singkat.
Kenapa kita kata singkat? Sebab sebenarnya, Umi Azlim telah dijatuhkan hukuman itu pada 15 Mei lalu, dan daripada tempoh itu, bekas penuntut jurusan Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah itu mempunyai masa sekurang-kurangnya satu setengah tahun sahaja lagi.
Itu yang kita katakan singkat kerana banyak lagi bukti perlu dicari dan dikumpulkan, termasuk mengesan lelaki Nigeria yang dikatakan sebagai pemilik sebenar heroin itu. Apa pun, kita serahkan perkara itu kepada yang lebih arif, yang penting, sebagai rakyat Kelantan dan Malaysianya, marilah kita sama-sama berdoa semoga rakyat kita yang teraniayai dapat diselamatkan.
Bercakap mengenai sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan gadis, suka kita ingin berkongsi pendapat dengan pembaca. Ini kerana kes seumpama ini bukan perkara baru. Kita dimaklumkan, sepanjang tahun ini sahaja seramai 30 orang rakyat negara kita telah ditahan dan kini merempat di penjara beberapa negara asing.
Menurut Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Bakri Zinin, kes seumpama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah tekanan kepada ibu bapa dan keluarga mereka kerana hukuman bagi kesalahan itu kebiasaannya amat berat termasuk hukuman mati.
Walaupun telah banyak ingatan dibuat menerusi media, kes melibatkan wanita Malaysia berumur antara 20-an dan 30-an diperalatkan sindiket dadah terus berulang. Sepanjang Oktober saja, tiga gadis kita yang bertindak sebagai 'drug courier' (pembawa dadah) bagi menyeludup dadah sama ada secara sedar atau tidak telah ditahan di dua negara.
Dua daripada wanita itu ditahan di Caracas, Venezuela manakala seorang di Australia dan risikan mendapati wanita terbabit telah diperdaya oleh lelaki Nigeria dan Iran untuk menyeludup dadah ke negara berkenaan. Daripada jumlah itu, wanita Melayu adalah yang tertinggi ditahan iaitu 15 orang manakala India (tujuh), Cina (enam) dan kaum lain (dua).
Bakri berkata, daripada 30 tangkapan itu, sembilan daripada mereka ditahan di Peru, enam di Argentina, lima di China, empat di Australia, lima di Venezuela manakala seorang di Jepun. Mereka ditahan setelah didapati membawa dadah jenis Kokain, Ephedrine, Methamphetamine, Syabu dan Heroin.
Kita sedih dan dukacita kerana anak-anak gadis kita telah dijadikan mangsa pihak tidak bertanggungjawab. Kenapa begitu? Kepada siapa harus dipersalahkan? Sekarang bukan masanya untuk menuding jari, yang penting ialah memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan remaja.
Siapakah pihak yang harus memberi kesedaran itu? Tidak lain ialah diri kita sendiri. Jika media melaporkan kes-kes berkaitan sindiket dadah yang menggunakan anak gadis, dari situ kita harus membuka minda untuk memberi peringatan kepada anak-anak bawah jagaan kita.
Kita tidak boleh mengharapkan Kerajaan Malaysia supaya menggunakan hubungan diplomatik untuk membebaskan anak kita daripada kesalahan yang telah disabitkan kerana kita harus menghormati undang-undang di negara masing-masing.
Sebagai contoh, apabila Mahkamah Tinggi Jepun menolak rayuan Raja Munirah Raja Iskandar bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo tahun lepas, kita harus akur.
Raja Munirah, keluarganya, rakyat Kelantan dan Malaysia amnya harus akur dengan keputusan itu. Hukuman dikenakan, baik terhadap Raja Munirah mahupun Umi Azlim setelah pihak pendakwa negara itu mempunyai 'prima facie' terhadap mereka.
Usaha selanjutnya terletak kepada peguam bela tertuduh untuk membuat rayuan dengan mengemukakan hujah dan bukti kukuh bagi membebaskan Raja Munirah dan Umi Azlim.

Tiada ulasan: