Sabtu, 1 Disember 2007

Wanita Pembawa Dadah-Bawa Padah

Nak kata tak bagi nasihat, sudah banyak nasihat diberikan. Nak kata media tidak dedahkan kes-kes sebelum ini, sudah banyak kali disiarkan, baik TV mahupun akhbar. Tetapi kenapa masih ada lagi kes wanita kita ditahan di luar negara kerana membawa dadah? Ini yang peliknya. Nak kata mereka bodoh, berdasarkan rekod yang dilaporkan semuanya adalah berpendidikan tinggi. Mungkin kerana nak ubah selera nafsu barang kali. Yalah, 'barang Melayu' mana best kalau tak kena 'barang' pak Arab, Pak Iran, Pak Salleh. Sekarang siapa yang susah? Diri sendiri dan ibu bapa. Tepuk dada tanya selera.


Dadah-Perdaya (Eksklusif)
PEMBAWA DADAH: 30 WANITA MALAYSIA JADI MANGSA TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) - Kes wanita rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa semakin meningkat dan tahun ini sahaja sebanyak 30 orang ditahan dan kini merempat di penjara beberapa negara asing.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Bakri Zinin berkata kes seumpama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa malahan tekanan kepada ibu bapa dan keluarga mereka kerana hukuman bagi kesalahan itu kebiasaannya amat berat termasuk hukuman mati.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata walaupun telah banyak ingatan dibuat menerusi media, kes melibatkan wanita Malaysia berumur antara 20-an dan 30-an diperalatkan sindiket dadah terus berulang.

"Tahun ini sahaja sebanyak 30 kes seumpama itu yang melibatkan wanita tempatan dikesan. Terbaru pada bulan Oktober sahaja, tiga lagi wanita tempatan yang bertindak sebagai "drug courier" (pembawa dadah) bagi menyeludup dadah sama ada secara sedar atau tanpa sedar ditahan di dua buah negara," katanya.

Dua daripada wanita itu ditahan di Caracas, Venezuela manakala seorang di Australia dan risikan mendapati wanita terbabit telah diperdaya oleh lelaki Nigeria dan Iran untuk menyeludup dadah ke negara berkenaan, katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, wanita Melayu adalah yang tertinggi ditahan pihak berkuasa luar negara iaitu sebanyak 15 orang manakala India (tujuh), Cina (enam) dan kaum lain (2).
Bakri berkata daripada 30 tangkapan itu, sembilan daripada mereka ditahan di Peru, enam (Argentina), lima (China), empat (Australia), lima (Venezuela) manakala seorang di Jepun.
Mereka ditahan setelah didapati membawa dadah jenis Kokain, Ephedrine, Methamphetamine, Syabu dan Heroin.

"Sejumlah 86.5 kilogram dadah telah dirampas dan yang paling berat pernah dibawa ialah dadah jenis kokain seberat 10 kilogram di Argentina," kata Bakri.
Beliau berkata polis Malaysia sebenarnya menghadapi kesukaran untuk membantu dalam siasatan kes seumpama itu walaupun ada desakan daripada keluarga.

"Amat sukar untuk kita mengetahui atau mengikuti segala perkembangan siasatan kes di luar negara terutama untuk mengesan dalang sebenar yang terlibat."

Menurutnya mengikut prosedur, bahagian risikan tidak boleh berhubung dan menemubual mereka yang terlibat melainkan melalui saluran Imigresen.

"Kita perlu menghormati undang-undang negara berkenaan sepertimana mereka perlu menghormati undang-undang di negara ini," katanya.

Ogos lepas, Bernama pernah melaporkan bahawa kerana ingin hidup mewah dan terlalu percaya kepada teman lelaki sebagai punca wanita tersebut terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Anggota sindiket itu dikesan masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelajar dengan modus operandi menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit dan setelah mendapat kepercayaan mereka, wanita itu dihantar ke luar negara dengan diberikan kemudahan dan kemewahan.

Antara kes yang mendapat liputan meluas media Malaysia ialah penahanan Raja Munirah Raja Iskandar, 22, oleh pihak berkuasa Jepun kerana menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Dis tahun lepas.

Pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta di sini mendakwa tidak mengetahui membawa bungkusan berisi dadah setelah diperdaya lelaki Iran yang hanya dikenali sebagai Milad yang menawarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) di syarikatnya yang kononnya berpangkalan di Jepun dengan gaji kira-kira RM9,000 (AS$2,500) sebulan.

Raja Munirah kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan sementara menunggu perbicaraan rayuan kesnya pada 4 Dis ini di Mahkamah Tinggi Jepun.

Bakri yang jelas bimbang dengan keadaan yang semakin serius itu berharap ibu bapa dapat memainkan peranan dengan lebih prihatin terhadap pergerakan anak mereka terutama anak gadis yang mula ingin berdikari.

Katanya bagi menyedarkan masyarakat terutama golongan sasaran, Jabatan Narkotik PDRM mengadakan ceramah ke seluruh negara termasuk di pusat pengajian tinggi .

-- BERNAMA

Tiada ulasan: