Sabtu, 21 Jun 2008

Pantang acah sikit, kerajaan sudah gelabah


PADA 5 Jun lalu, Datuk Noh Omar dengan tegas menyatakan tidak akan berlaku kenaikan tambang pengangkutan awam.
Tiada alasan hendak menaikkan tambang kerana pengusaha pengangkutan awam itu masih menikmati harga lama bahan api menerusi subsidi minyak menggunakan kad fleet.
Keesokan hari pula, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu sekali lagi mempersoalkan hasrat pengusaha berkenaan. Katanya, tidak ada sebab tambang pengangkutan awam dinaikkan, kerana mereka masih menikmati subsidi diesel yang diselaraskan pada harga RM1.43 seliter.
Dua amaran itu, yang keluar daripada mulut seorang menteri sudah cukup melegakan rakyat yang mendengarnya. Kini rakyat mampu menarik nafas lega kerana tambang bas, lori, teksi, beca, bot penambang, feri, kereta kabel, kereta api dan kapal terbang tidak akan naik sewenang-wenangnya.
Pada tafsiran saya, kalau pengusaha pengangkutan awam itu hendak menaikkan juga tambangnya, mungkin mereka akan berdepan dengan tindakan penggantungan atau penarikan semula permit perniagaan masing-masing.
Begitulah andaian yang berani saya nyatakan berdasarkan ketegasan Noh Omar memberi amaran kepada pengusaha terbabit. Noh marah betul kepada pengusaha berkenaan yang menyatakan hasrat hendak menaikkan tambang.
Noh telah bangkit menjadi pejuang sejati kepada rakyat Malaysia. Dia begitu lantang dan tegas memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sesuka hati hendak menaikkan tambang pengangkutan.
Beliau bertegas begitu, mungkin kerana bersimpati pada rakyat yang sepanjang masa menderita selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Sejak itu pengumuman itu, seribu satu jenis kenaikan barangan keperluan dilaporkan. Daripada beras hingga ke benih sawi. Hatta harga tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam pun naik sebanyak sehingga 100 peratus.
Sebab itu, apabila Noh berkata demikian, rakyat terharu dengan perjuangan beliau. Malah, ada yang menitis air mata, menangis apabila mendapat tahu dia satu-satunya menteri yang lantang membela mereka.
Sebelum ini tidak ada pun mana-mana pemimpin mahu mempertahankan hak rakyat. Yang paling teruk membelasah rakyat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Yang ini lagi teruk. Hari ini buat kenyataan beras tidak akan naik harga, tiba-tiba esok beras naik harga. Esok beri amaran kepada tauke telur agar tidak naikkan harga, tiba-tiba lusa tauke naikkan harga.
Setiap kali Shahrir beri amaran, setiap kali itu harga barang berkenaan akan naik. Amaran yang diberikan disimpan dalam poket. Langsung tidak diambil tindakan ke atas pihak berkenaan.
Beliau tidak seperti Noh. Noh merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat, berani, tegas, prihatin, mengambil berat dan memahami masalah rakyat. Seorang pemimpin yang dapat merasai betapa azab dan peritnya hidup rakyat hari ini kesan daripada tsunami atau sindrom kenaikan minyak dan sumber makanan di peringkat global.
Bagaimanapun, semua menteri atau pemimpin adalah sama. Mereka dari satu acuan, cuma bentuk permukaannya agak berlainan. Kenyataan tegas dan keras yang Noh Omar lontar itu adalah untuk tempoh dua minggu lalu.
Minggu ini, nadanya mula kendur. Rasa prihatin dan simpati kepada rakyat sebelum ini mula berpihak kepada tauke pengangkutan awam.
Kenyataan terbarunya pada 17 Jun lalu, bahawa kerajaan tidak ada pilihan lain, melainkan terpaksa meluluskan permintaan pengusaha pengangkutan awam untuk menaikkan harga, merupakan sandiwara semata-mata.
Beliau sama seperti Shahrir dan semua menteri Kabinet. Suka meletakkan beban berat ke bahu rakyat. Mereka lebih rela membela tauke tauke yang kaya raya daripada membantu menyelesaikan masalah rakyat yang dibebankan dengan kenaikan pelbagai jenis harga barang.
Ini merupakan satu lagi hentaman tsunami bagi seluruh rakyat negara ini. Di mana sikap prihatin Noh yang digambarkannya sebagai pembela dua minggu lalu?
Walaupun beliau menyatakan, kerajaan akan memastikan sebarang keputusan berkaitan kadar tambang semua jenis bas adalah adil terhadap pengguna dan juga pengusaha syarikat bas, itu tidak cukup untuk meredakan ketakutan dan kebimbangan rakyat.
Nampaknya, kerajaan lebih mementingkan kebajikan pengusaha berkenaan daripada rakyat. Pantang pengusaha mengacah sikit, mulalah kerajaan berlembut. Tetapi bagaimana dengan rakyat yang sepanjang hari mengikat perut sehinggakan semua simpanan sudah habis digunakan?
Kata-kata Noh, kononnya permintaan kenaikan tambang itu sebenarnya sudah diminta pengusaha pengangkutan awam ‘sebelum kenaikan harga minyak lagi’, adalah alasan yang paling bodoh dikeluarkan oleh seorang menteri.
Tidak pernah tercatat dalam sejarah dunia, kenaikan tambang bukan berpunca daripada kenaikan petrol dan diesel. Kononnya pengusaha menaikkan tambang kerana sudah lama tidak naik.
Dan kenaikan tambang itu pula 'secara kebetulan' ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel.
Sebab itulah, hendak terlibat dalam politik, seseorang perlu ada kemahiran dan ilmu putar belit. Kalau seseorang itu lulus di peringkat itu, insya-Allah mereka layak menjadi pemimpin.

Tiada ulasan: