Isnin, 30 Jun 2008
Teori konspirasi...awas bila bergambar
Ini gambar-gambar yang sekarang tersebar luas dalam internet dan laman blog. Dalam empat gambar ini semua ada Saiful Bukhri Azlan iaitu Pembantu Khas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua orang sudah tahu mengenai laporan polisnya yang mendakwa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah meliwatnya.
Di atas kanan, Saiful (berbaju biru) bergambar bersama Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas. Sebelahnya, bersama Datuk Mustapha Mohamad sewaktu Tok Pa Menteri Pengajian Tinggi.
Di bawah kanan, bersama Datuk Azalina Othman Said ketika bakal Ketua Wanita UMNO Malaysia itu menjawat Menteri Belia dan Sukan dan sebelahnya bersama dengan Datuk Shahrir Samad ketika menteri naik barang itu Ahli Parlimen Johor Bharu.
Datin Seri Wan Azizah Ismail tunjuk gambar Saiful bersama Khairil Anas yang tersimpan dalam telefon bimbitnya kepada wartawan sewaktu sidang akhbar pada sebelah tengah hari Ahad di Hotel Quality, Shah Alam. Katanya, ia diperolehi dari sebuah laman web.
Ketika itu jurugambar berebut-rebut merakamkan aksinya bersama telefon bimbit itu. Gambar berkenaan juga ada pada sebuah komputer riba yang dibawa ke sidang akhbar itu.
Isteri kepada Penasihat PKR itu ketika ditanya oleh wartawan, bagaimanapun kata, beliau tidak tahu bila gambar itu diambil.
Wan Azizah tidak menyembunyikan hasratnya untuk mencetuskan kecurigaan mengenai hubungan Saiful dengan pejabat Timbalan Perdana Menteri menerusi gambar itu.
Gambar itu kini menjadi seperti apa yang dikatakan 'bukti kukuh' wujudnya konspirasi yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk 'balas dendam' terhadap Anwar yang selalu mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibu.
Namun, bagi mendapat kepastian mengenai tarikh gambar berkenaan diambil seorang wartawan telah menghubungi pejabat Timbalan Perdana Menteri. Seorang pegawai pejabat itu memberitahu gambar berkenaan sebenarnya diambil pada Januari 2008.
Saiful pula mula berkerja sebagai Pembantu Khas Anwar lepas Pilihan Raya Umum Mac lalu.
Menurut pegawai berkenaan, gambar itu dirakam ketika Saiful mengadakan pertemuan dengan Pegawai Khas Najib yang dikenali sebagai Khairil Anas yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pengajian tinggi di pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Menurut pegawai itu, Saiful datang bertemu dengan Khairil Anas pada Januari lalu iaitu sebelum Saiful bekerja dengan Anwar, bagi mendapatkan bantuan dalam urusan pemohonannya untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran.
"Jika ini keadaannya, kita ingin bertanya bagaimana konspirasi boleh wujud. Pada masa itu Saiful tidak bekerja dengan Anwar pun dan kita sendiri tidak tahu selepas pilihan raya dia bekerja dengan Anwar,"katanya.
Bagaimana pula gambar bersama Mustapa, Azalina dan Shahrir? Apakah mereka juga hendak dikaitkan dengan dakwaan wujudnya konspirasi? Satu sumber yang kenal Saiful ketika ditanya wartawan itu tertawa mendengarnya.
Saiful ialah bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang aktif dalam persatuan pelajar. Katanya, setahunya Saiful adalah seperti mana-mana insan lain yang suka bergambar dengan mana-mana pemimpin yang ditemuinya sebagai kenangan.
"Kalau itu nak dikaitkan dengan konspirasi... saya rasa habis semua orang yang pernah bergambar dengan pemimpin negara akan didakwa terlibat dengan konspirasi bila sesuatu isu berbangkit," katanya.
"Dia suka-suka saja ambil tu... ni dah jadi hal pula," katanya lagi. Menurutnya, gambar yang diambil bersama Mustapa ketika satu bengkel pelajar.
"Itu gambar antara seorang pemimpin pelajar dengan Mustapa selaku Menteri Pengajian Tinggi," katanya.
"Begitu halnya dengan Azalina yang waktu itu Menteri Belia dan Sukan. Mereka bergambar beramai-ramai. Dengan Datuk Shahrir pula mungkin disatu majlis," katanya.
Sumber itu berkata, "Kalau setakat bergambar nak dijadikan bukti intim dan konspirasi, saya tak tau nak kata apa lagi. Bagi saya biarlah polis siasat dan tak payah nak main tuduh-tuduh guna gambar-gambar begini.
Katanya, bagaimana pula nanti kalau satu ketika orang lain guna gambar-gambar mereka yang bergambar bersama Anwar atau para pemimpin pembangkang lain bila timbul sesuatu kes.
"Jangan pula waktu itu pusing cakap... ini gambar suka-suka saja dan macam-macam alasan lagi," katanya.
BERITA SEBELUM INI:
PANAS… PANAS… Pembantu peribadi Anwar dakwa diliwat.
Difahamkan pembantu peribadi yang berusia 23 tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Desas desus mengenai hal itu mula tersebar sekitar jam 10 malam Sabtu.
Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah mengesahkan satu laporan polis dibuat, tetapi enggan mengulas lanjut. Laporan polis itu dikatakan dibuat jam 5 petang Sabtu di sebuah balai polis di Kuala Lumpur.
Ikut ceritanya, ini bukan pertama kali dia diliwat.
Sementara itu, wartawan yang pergi untuk melihat keadaan di rumah Anwar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur pada jam 1 pagi Ahad mendapati ia lengang.
Cuma ada beberapa orang wartawan dan jurugambar sedang standby di situ.
Ramai wartawan dan jurugambar berkejar ke Hotel Quality Inn di Shah Alam. Anwar dikatakan berada di situ kerana menghadiri acara 'retreat’ bersama wakil rakyat PKR.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh ketika dihubungi awal pagi Ahad untuk mengulas kes dakwaan liwat terhadap Anwar berkata, siasatan akan dijalankan ikut prosedur biasa tanpa memihak dan berlandaskan undang-undang.
Beliau beri jaminan ia bebas dari unsur politik. "Saya yakin dengan profesionalisme polis," katanya.
Sementara itu, ketika wartawan tiba di lobi Hotel Quality Inn, Shah Alam pada jam 2.10 pagi, ada kira-kira 300 orang berkumpul di situ. Kebanyakan mereka adalah ahli PKR dan Pas.
Mereka dengar ucapan Ketua Penerangan PKR Tian Chua dan Ahli Parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution. Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu minta semua bertenang.
Saifuddin dalam ucapannya pula antara lain mendakwa skrip 1988 semacam berulang kembali. Beliau turut menggesa semua penyokong PKR bertenang dan terus mengikuti dari sumber-sumber parti yang sah.
"Kita telah maklumkan pada Datuk Nik Aziz yang berada di Perak dan Haji Hadi yang berada di luar negara. Lim Kit Siang telah berhubung dengan Datuk Seri Anwar, Karpal Singh dan semua pemimpin parti telah pun dimaklumkan mengenai perkembangan itu agar mengetahui dengan tepat dari sumber kita,” katanya.
Anwar pula ketika itu difahamkan berada di bilik di tingkat atas hotel itu sedang berbincang dengan peguamnya. Tidak kelihatan sebarang kehadiran anggota polis sekitar hotel itu waktu itu.
Biro Penerangan PKR dalam kenyataan media mendakwa polis telah menahan Pembantu Khas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bahari petang tadi (Sabtu).
Kenyataan itu juga mendakwa Saiful dipaksa buat kenyataan diliwat. Katanya, pimpinan parti sedang berbincang langkah seterusnya dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan itu, sidang media yang dijadualkan Ahad (29 Jun), pada jam 1 petang di Hotel Quality, Shah Alam oleh Anwar akan tetap diadakan.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang tiba di hotel itu pada jam 4.10 pagi kemudiannya beritahu wartawan, sidang akhbar akan dipercepatkan kepada jam 12.30 tengah hari.
Katanya, Anwar akan hadir bersama peguamnya. Menurutnya, 'retreat' wakil rakyat PKR akan diteruskan mengikut jadual. Pada waktu Azmin tiba, jumlah orang ramai yang masih menunggu di lobi tinggal sekitar 50 orang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan