Selasa, 1 Julai 2008

Anwar keluar dari Kedutaan Turki


Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya keluar dari Kedutaan Turki pada jam 6.45 petang semalam. Beliau yang diiringi isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail dikatakan terus menunju ke rumah mereka di Segambut. Satu sumber memberitahu, Anwar akan adakan program ceramah umum di ibu pejabat PKR di Tropicana malam jam 9 malam ini.

Anwar diarah keluar kedutaan
Anwar Ibrahim telah diminta keluar dari Kedutaan Turki pada jam 5 petang ini. Perkara itu dimaklumkan Duta Turki kepada Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim ketika beliau dipanggil bertemu Rais di Wisma Putra petang Isnin. Menurut sumber, Duta berkenaan turut memaklumkan kepada Rais bahawa pihaknya tidak pernah menjemput Anwar untuk mendapatkan perlindungan di kedutaan berkenaan. Anwar difahamkan telah menghubungi beberapa pemimpin PKR memaklumkan beliau akan keluar pada jam 6 petang.

Najib nafi terlibat konspirasi
Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan wujudnya konspirasi atau pun beliau terbabit dalam konspirasi untuk menjatuhkan politik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dakwaan pembabitan Najib timbul berikutan kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa ada gambar bekas pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan pegawai Khas Najib sebagai bukti wujudnya konspirasi untuk jatuhkan Anwar yang melibatkan Najib. Menurut Najib, gambar yang dimaksudkan itu dirakam beberapa bulan lalu sewaktu Saiful datang bertemu dengan pegawainya bagi memohon sokongan untuk mendapatkan biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajarannya.

Anwar fail saman terhadap Saiful
Anwar Ibrahim hari Isnin memfailkan saman terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, berhubung laporan polis palsu yang didakwa memfitnah beliau. Khamis lalu Saiful membuat laporan polis di Balai Polis Travers mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Wan Azizah mahu jaminan keselamatan
Ini sudah pelik... Datin Seri Dr Wan Azizah minta Perdana Menteri memberi jaminan keselamatan sebelum suaminya Anwar Ibrahim keluar dari Kedutaan Turki.

Kenapa sekarang timbul ancaman bunuh
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mempertikaikan permohonan Datin Seri Dr Wan Azizah yang mahukan Perdana Menteri memberi jaminan keselamatan kepada Anwar Ibrahim sebelum keluar dari Kedutaan Turki.
Katanya, selama ini Anwar bebas pergi ke seluruh negara ‘mengata’ kerajaan dan tiada siapa yang ‘kacau’ beliau.
“Kenapa sekarang timbul pula soal ancaman bunuh,” kata Syed Hamid.

Jangan takut kalau tidak salah
Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mempertikai tindakan Anwar Ibrahim bersembunyi di Kedutaan Turki. Katanya, jika Anwar yakin tidak bersalah beliau tidak perlu takut dan bersembunyi. Malah katanya, beliau sedia untuk menemani Anwar jika takut untuk berhadapan dengan proses penyiasatan. Katanya, beliau sedia temani Anwar sekalipun masuk lokap bersama untuk disoalsiasat oleh polis.

Wisma Putra panggil Duta Turki
Wisma Putra akan memanggil Duta Turki bagi memberikan penjelasan tindakan mereka memberikan perlindungan kepada Anwar Ibrahim.
Anwar bersembunyi di kedutaan itu sejak awal pagi Ahad setelah adanya laporan polis ke atas dirinya yang didakwa meliwat pembantu khasnya. Menurut sumber Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim akan bertemu dengan Duta Turki itu petang Isnin

Kesian Wan Azizah
Itulah komen Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika diminta mengulas penyiaran gambar beliau dengan Saiful Bukhri Azlan, mangsa yang dakwa diliwat Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Azalina berkata, beliau faham tindakan Datin Seri Dr Wan Azizah yang menunjukkan gambar sebagai bukti seolah-olah wujudnya konspirasi yang melibatkan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan untuk menjatuhkan Anwar.
Katanya, sebagai isteri sudah tentu Wan Azizah akan mempertahankan suaminya. “Dalam situasi sebegini banyak orang waras akan bertindak tidak waras,” katanya.
Gambar Azalina turut disiarkan berikutan tindakan Wan Azizah menunjukkan gambar Saiful dengan seorang pegawai khas Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘bukti’ wujud konspirasi jatuhkan Anwar oleh Timbalan Perdana Menteri.

Babak baru… lepas dakwaan liwat timbul pula ancaman bunuh
Ini lagi satu hal yang buat ramai terkejut dan tertanya-tanya. Kenapa Anwar Ibrahim lari untuk mendapat perlindungan di Kedutaan Turki di Jalan U Thant, Kuala Lumpur?
Sehingga awal petang wartawan dan jurugambar yang ‘berkampung’ di Hotel Quality, Shah Alam cuba merisik di kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang berada di situ di mana Anwar berada, namun semuanya memberi tanda tidak tahu.
Datin Seri Dr Wan Azizah ketika hadir dalam sidang akhbar di situ menafikan soalan wartawan bahawa Anwar ketika itu berusaha mendapat perlindungan politik dari sebuah kedutaan asing.
Beliau hanya sekadar berkata, suaminya kini terpaksa 'bersembunyi' setelah menerima ugutan bunuh seminggu lalu.
Ugutan bunuh?... Itulah berulang kali dinyatakan olehnya.
Namun lewat petang jawapan menjelma. Anwar mengeluarkan satu kenyataan pada jam 5.30 petang mengesahkan beliau berada ‘dalam perlindungan’ di Kedutaan Turki.
Katanya, beliau dibawa ke kedutaan itu pada awal pagi Ahad kerana bimbang keselamatannya. Beliau mendakwa sejak pilihanraya 8 Mac terdapat sumber-sumber yang layak dipercayai dari kalangan kerajaan dan risikan tentera menasihatkannya bahawa terdapat sesetengah pihak dalam pimpinan Barisan Nasional mengadakan rancangan untuk mengugat keselamatannya dan keluarganya.
Anwar mendakwa ini melibatkan kemungkinan cubaan membunuhnya untuk menyekat perubahan yang sedang berlaku di Malaysia.

Kenapa Anwar memilih Kedutaan Turki?
Ikut ceritanya, ini ada kaitan dengan hubungan rapat beliau dengan Perdana Menteri Turki Reccep Erdogan.
Mengikut peraturan diplomatik berada dalam kedutaan sesebuah negara adalah sama seperti berada di dalam lingkungan wilayah negara itu.
Makanya Anwar tidak boleh disentuh.
Ini juga dijangka akan menyulitkan polis menyelesaikan siasatan. Andaian yang berlegar ialah Anwar nak cuba jadikan kesnya ini satu isu antarabangsa.
Apa yang menjadi persoalan kenapa kali ini beliau mengambil langkah 'lari' ketika timbul tuduhan liwat muncul dari pembantu khasnya?
Ada yang merasakan dakwaan cubaan bunuh dalam satu hal yang boleh direka oleh sesiapa saja. Siapa yang boleh buktikan ada rancangan seumpama itu?
Lagipun Malaysia tidak dikenali dengan budaya seumpama itu selama ini.
Anwar sendiri sejak sebelum dan sesudah pilihan raya kelihatan bebas ke sana ke mari. Malah difahamkan kalangan pimpinan pembangkang sendiri binggung melihat tindakan Anwar kali ini.
Ini kerana sewaktu berdepan dengan tuduhan sama pada tahun 1997 Anwar sanggup menghadapinya secara terbuka.
"Boleh percaya ke ada cubaan nak bunuh Anwar...?” kata seorang dari mereka.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan berkata, tindakan Anwar berselindung di Kedutaan Turki dengan mendakwa keselamatan beliau terancam adalah tidak masuk akal.
"Tindakan itu diambil semata-mata untuk mengalihkan tumpuan, sama seperti ketika beliau dituduh suatu masa dahulu,” katanya.
Katanya, Anwar pernah membuat dakwaan kononnya beliau cuba dibunuh dengan racun arsenik, memerlukan pembedahan tulang belakang dan menghadapi masalah tengkuk.
Manakala Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, Dia (Anwar) bukan pelarian politik. Mengapa dilindungi di sana. Kedutaan itu sendiri jelas telah mencabul perundangan negara.
Kedutaan asing di negara ini dilarang 'menyimpan' dan melindungi individu yang didakwa melakukan kesalahan jenayah dengan alasan tuntutan suaka politik.
Menurut Rais, Anwar tidak perlu meminta perlindungan daripada mana-mana kedutaan dengan alasan ancaman keselamatan.
"Mengapa dia ke sana? Tiada siapa yang mengancam keselamatannya.
"Dia bebas ke mana-mana. Jangan dakwa diri diancam jika sebenarnya tiada apa-apa ugutan yang timbul," katanya.

UMNO tidak fikir nak kacau dia...
"UMNO tidak fikir nak kacau dia... tak ada... BN pun tak fikir nak menyusahkan dia," itulah yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat terhadap Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat pembantu khasnya.
Sehubungan itu, katanya, memandangkan laporan polis telah dibuat, polis akan menyiasat perkara berkenaan dan terserah kepada polis untuk menentukan tindakan selanjutnya.
Beliau menafikan kononnya laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhri Azlan itu adalah perancangan UMNO dan BN untuk menganiaya Anwar bagi memastikan beliau tidak boleh bangkit semula dalam politik.
"UMNO tak fikir nak kacau dia macam ini, tidak ada. BN pun tak fikir nak menyusahkan dia, nak kacau dia atau nak timbulkan perkara yang macam ini... tidak ada niat seumpama ini, tak terlintas dalam fikiran saya langsung kot-kot nak buat khianat dia dan saya percaya kawan-kawan saya... Datuk Seri Najib Razak dan siapa pun tak berfikir begitu.
“Benda itu sudah berlaku dan orang yang berkenaan yang terbabit sudah buat laporan. Kita nak buat apa lagi, dia ada hak membuat laporan, kita tidak boleh tegah dia daripada buat laporan. Kita serah kepada polis, kita tidak ada sebarang rancangan untuk buat sesuatu kepada dia kerana dia kata dia dah pulih balik dalam politik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Bumi Hijau Warga Putrajaya hari Ahad.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat oleh pembantu khas Anwar, Saiful Bukhri Azlan yang mendakwa diiwat oleh Anwar. Laporan polis berkenaan dibuat hari Sabtu.
Sambil menyatakan terkejut dengan laporan polis itu, Abdullah yag juga Presiden UMNO berkata, UMNO dan BN tidak terlibat dalam soal berkenaan apatah lagi hendak menggunakan isu berkenaan bagi menghalang kebangkitan semula Anwar di dalam politik tanah air.
Katanya, kerajaan tidak boleh menghalang individu terbabit dariapda membuat laporan polis kerana ia adalah hak individu berkenaan sebagai mana Anwar juga berhak untuk menafikan melakukan perbuatan tersebut.
“Kalau dah begitu polislah kena ambil apa-apa tindakan yang wajar, laporan polis sudah dibuat dan polis yang akan membuat sisatan dan menentukan sama ada perkara itu betul atau tidak betul. Soal Anwar apa yang dia nak kata, bukan sesuatu yang kita boleh tentukan. Dia tentulah buat penafian, lazimnya orang yang dituduh buat penafian, tetapi kalau sudah ada bukti dan polis akan siasat, siasatlah,” ujar beliau.

Komen Dr Mahathir…
“Ini kes baru. Kita tengoklah apa polis nak kata. Apa pihak kerajaan nak kata,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dakwaan bahawa Anwar Ibrahim meliwat seorang pembantunya. Beliau menjawab soalan wartawan selepas bertemu Presiden Bosnia dan Herzegovina, Dr Haris Silajdzic semasa lawatan presiden itu ke Colmar Tropicale dan Japanese Village di Bukit Tinggi Ahad.

Imej pembangkang tercalar
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta polis melakukan siasatan secara terperinci terhadap dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dengan jenayah liwat.
Sambil melahirkan rasa sedih dengan dakwaan tersebut, beliau berkata, tuduhan terbaru itu boleh mencalarkan imej pembangkang.
“Ye lah tuduhan ini boleh mencalarkan imej (pembangkang) dan saya sebagai ketua kampung (Mursyidul Am PAS) sedih kenapa ada tuduhan seperti ini,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, hari Ahad.
Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan polis yang mendakwa Anwar meliwat pembantu khasnya.
Menurut Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, tuduhan itu juga boleh dikaitkan dengan konspirasi untuk menjatuhkan seseorang pemimpin parti politik seperti Anwar.
Nik Aziz berkata, dalam Islam tuduhan berat seperti itu memerlukan saksi bagi mengelakkan tertuduh menerima aib.
“Tuduh menuduh seperti ini kena ada saksi. Liwat ni orang tak buat tengah jalan, dia buat sulit jadi kena ada saksi. Boleh jadi ini konspirasi juga kerana mereka pemimpin politik. Tetapi tidak tahulah (benar atau tidak),” katanya.
Beliau juga kecewa dengan fitnah yang juga banyak dilemparkan di blog tertentu yang membabitkan pemimpin negara.

Tiada ulasan: