Rabu, 2 Julai 2008
Kenapa Wan Aziz melenting sangat?
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail nampak agak emosi ketika sidang akhbar yang diadakan di lobi Parlimen petang ini (Selasa), selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau agak melenting apabila berdepan dengan soalan seorang wartawan yang bertanyakan "apakah bukti dan petanda yang menjadi asas dakwaan beliau wujudnya ancaman bunuh ke atas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim."
Soalan itu dikira biasa bagi mana-mana wartawan, berdasarkan ramai yang tertanya-tanya mengenainya, termasuk ada yang kata ia tidak masuk akal melihatkan Anwar kebelakangan ini bebas sekali ke sana ke mari sebelum dan selepas pilihan raya umum 8Mac.
Kenapa pula tiba-tiba selepas timbul dakwaan pembantu khasnya Saiful Bukhari Azlan, terus timbul cerita keselamatannya di hujung tanduk. Jangan kata orang politik, orang biasa di warung-warung kopi pun hairan dan nak tahu apa bukti pada semua dakwaan macam itu.
Apa lagi bila Penasihat PKR itu lari untuk mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur. Wan Azizah nampak melenting sangat pasal soalan itu dan terus bercakap soal kes mata lebam Anwar yang lampau sebagai sandarannya bagaimana soal keselamatan Anwar tiada jaminan.
Ramai wartawan yang hadir di sidang akhbar itu tercengang melihat cara Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang tidak senang sekali dengan soalan itu. Ada juga melihat senario kes terbaru dakwaan ke atas Anwar ini macam kalut tak tentu hala.
Asasnya dakwaan itu terhad melibatkan Anwar vs Saiful saja. Ia kini cuba dibesarkan melalui dakwaan wujudnya konspirasi oleh kerajaan untuk kenakan Anwar. Setakat ini sandaran pada dakwaan itu hanyalah sekeping gambar Saiful bergambar dengan Khairil Anas Yusof, seorang pegawai di pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib sendiri sudah jelaskan gambar itu diambil ketika Mohd Saiful datang ke pejabatnya pada 12 Feb lalu bersama seorang rakan untuk berjumpa dengan pegawainya bagi mendapatkan sokongan untuk mendapatkan biasiswa dari kerajaan melanjutkan pelajaran.
“Dia (pegawai Anwar) seorang pemimpin di kalangan pelajar. Dia pun ambil gambar dengan pemimpin lain. Soalnya bukanlah peranan sesiapa, tetapi sama ada perkara itu berlaku atau tidak. Saya bukan orang di sebalik perkara ini. Itu terserah pada polis untuk tentukan,” katanya.
Katanya, adalah menjadi lumrah tetamu, terutama pelajar yang datang ke pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk mengambil gambar dengan pegawai-pegawai sebagai kenangan lawatan mereka.
Najib menyifatkan sebagai tidak berasas dakwaan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah, kononnya gambar itu adalah satu bukti adanya pihak berniat jahat untuk membunuh karier politik Anwar.
“Ini (dakwaan Dr Wan Azizah) bertujuan untuk mengalihkan perhatian terhadap tuduhan sebenar,” kata Najib. Beliau berkata, tindakan Dr Wan Azizah membuat kenyataan itu serta menyebarkan gambar tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah sangka dalam kalangan umum.
Anwar dalam sidang akhbar di pejabat PKR di Tropicana dekat Petang Jaya, langsung mendakwa tiga orang yang dikenali Mohd Saiful terlibat dalam rancangan dakwaan meliwat membabitkan beliau.
“Saya pasti tuduhan ke atas saya mesti dirancang oleh ketiga-tiga karakter ini, bukan orang lain,” katanya.
Pada sidang akhbar itu Anwar juga mendakwa Saiful mempunyai hubungan akrab dengan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Khairil Anas. Beliau bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang bukti pada dakwaan itu.
Anwar hanya menceritakan bahawa Mohd Saiful adalah seorang petugas sukarelawan dan bukan kakitangan tetap dan tidak bergaji tetap. Katanya, Mohd Saiful bukanlah pembantu khasnya seperti yang didakwa.
Menurutnya, Mohd Saiful diambil kerja menjelang pilihan raya 8 Mac untuk membantu tugas ketua para pegawainya bernama Ibrahim Yaacob dan seorang lagi yang dikenali sebagai Rahimi.
Ini kerana, tiga pegawainya yang lain, Nik Nazmi Nik Ahmad, Sim Tze Tsin dan Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya. Setakat ini tidak banyak diketahui mengenai latar belakang Mohd Saiful kecuali beliau adalah bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan pernah bergiat aktif dalam persatuan pelajar.
Tunangnya pula bernama Janna Syariza seorang penyampai berita di sebuah stesyen televisyen. Gambar pertunangan mereka telah tersebar luas dalam internet.
Janna dilaporkan oleh akhbar The Star sebagai berkata, beliau akan tetap berdiri teguh menyokong tunangnya itu dan bersama-sama akan mengharungi segala dugaan yang bakal mendatang.
“Saya juga sedar akan perjuangan yang menanti kami di hadapan. Insya-Allah kami akan menghadapinya bersama walaupun ia mengambil masa yang lama. Kebenaran akan terbukti jua...” kata Janna.
Mohd Saiful mendakwa, beliau telah diliwat oleh Anwar pada 26 Jun di Kondominium mewah di Damansara. Mohd Saiful telah membuat laporan polis pada Sabtu lalu.
Kadar sewa kondominium itu dikatakan sekitar RM7,000 sebulan.
Tidak dapat dipastikan bagaimana Mohd Saiful menampung perbelanjaan menyewa kondominium yang mahal itu.
Tidak kurang menarik ialah laporan akhbar itu yang memetik ayah saudaranya sebagai berkata, bahawa Mohd Saiful pernah nekad untuk membunuh diri kerana tertekan dengan apa yang telah dilakukannya.
Beliau yang enggan dikenali berkata, Mohd Saiful hampir mengambil jalan pintas untuk membunuh diri kerana dia sedar apa yang dilakukannya adalah satu dosa besar.
"Mohd Saiful membuat pengorbanan ini demi negara, walaupun dia sedar masyarakat akan memandang serong dan mencemuh dirinya dan keluarga selepas pendedahan ini," katanya lagi.
"Sebagai keluarga, kami akan berdiri teguh di belakangnya,” katanya. Beliau juga tegas berkata, tidak ada sesiapapun yang memaksa Mohd Saiful membuat pengakuan tersebut dan menyifatkan apa yang terjadi sebagai masalah keluarga.
"Kami tidak mendapat sokongan daripada kerajaan. Kami bersendirian dalam hal ini. Sebagai keluarga, kami akan menyokong penuh tindakan Mohd Saiful.
“Sebelum ini, kami pernah cuba meminta bantuan kerajaan, tetapi mereka memberitahu tidak mahu terlibat sama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Utama dekat Petaling Jaya.
Beliau juga mengaku sudah beberapa kali menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tetapi diberitahu agar tidak menghubunginya lagi.
Beliau juga memberitahu, bahawa anak saudaranya pernah pergi ke Bukit Aman untuk membuat laporan, tetapi pihak sana telah menyuruh dia balik setelah mendapat tahu siapa yang terlibat.
Mohd Saiful akhirnya telah membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur yang sanggup mengambil laporannya," kata ayah saudara Saiful.
"Mohd Saiful bukan berada di hospital, tetapi di bawah perlindungan polis dan keluarga kami sendiri tidak tahu di mana dia berada kini," katanya.
Ayah saudara Mohd Saiful mengaku beliau pernah menjadi penyokong kuat Anwar sebelum ini, tetapi tidak lagi selepas apa yang berlaku kini. Ketika ditanya mengenai gambar yang dirakam Mohd Saiful bersama beberapa Menteri Kabinet dan pegawai di Pejabat Perdana Menteri, beliau berkata, itu adalah perkara biasa bagi pelajar untuk mengambil foto dengan pegawai kerajaan.
Sementara itu, banyak persoalan yang belum terjawab ketika polis masih lagi menjalankan siasatan, termasuk di kondominium di mana kejadian didakwa berlaku.
Sekalipun tidak ada apa-apa bukti kukuh diperolehi setakat ini apa yang berlegar kini khususnya yang didakwa oleh Anwar dan PKR ialah wujudnya konspirasi yang merancang dakwaan itu.
Bagi sesetengah pemerhati, dakwaan wujudnya konspirasi ialah jalan termudah mengaburi senario kes itu. Cubaan untuk mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dalam konspirasi itu juga adalah jalan paling mudah mengunakan modal gambar Mohd Saiful dengan Khairil Anas.
Ada pemerhati yang berpandangan Anwar tidak perlu mengelupur hingga nak buat roadshow satu negara menjelaskan kesnya.
"Beliau sepatutnya cool saja dan tunggu hingga selesai siasatan polis," kata salah seorang daripada mereka.
Malah menurut sesetengah pemerhati, tindakannya lari ke Kedutaan Turki sudah mencetuskan kecurigaan orang. Dalam pada itu, andaian yang popular kebelakangan ini kalau betullah ada konspirasi untuk kenakan Anwar, ia satu usaha yang bodoh untuk main balik dakwaan liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1999.
Juga kalau betul ada konspirasi, kenapa ia lekeh sangat dan tidak pasang perangkap betul-betul ke atas Anwar.
"Kalau macam kes video Datuk Chua Soi Lek itu betul boleh rasa ada perancangan dan konspirasi yang teliti... kalau macam inilah jawabnya, konspirasi bodoh," kata seorang lagi.
Katanya, kalau ada konspirasi high level ia pasti amat rapi dan video ala–Chua Soi Lek sudah pasti tersebar luas sekarang. Andaian itu membuat ramai juga yang lebih melihat dakwaan ini terhad kepada Mohd Saiful vs Anwar saja.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan