Isnin, 28 Julai 2008

Polis nafi laporan laman web Saiful tidak diliwat


Polis menyifatkan laporan sebuah laman web yang mendakwa adanya laporan perubatan mengesahkan tiada kesan liwat terhadap Saiful Bukhari Azlan sebagai cubaan untuk mensabotaj siasatan polis berhubung dakwaan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, laporan laman web itu juga disifatkan sebagai cubaan untuk mengelirukan orang ramai.

Serentak itu katanya, polis sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas laman web dan sebuah blog yang turut menyiarkan laporan berkenaan yang didakwa dikeluarkan oleh Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur.

Laporan laman web itu dilaporkan sebagai menyebut bahawa Saiful mendapatkan rawatan di Hospital Pusrawi pada 28 Jun lalu kerana mengadu hadapi kesukaran membuang air besar.

Berdasarkan laporan laman web itu, tiada bukti menunjukkan Saiful yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar diliwat seperti didakwa.

Ismail turut menafikan laporan bahawa doktor yang didakwa membuat laporan itu, Dr. Mohd Osman Abdul Hamid telah ditahan oleh polis.

“Keterangan Mohd Osman telah direkodkan oleh polis diawal siasatan kes ini dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam reaksinya, membuat kesimpulan suaminya tidak bersalah dengan adanya laporan yang dikatakan laporan perubatan tersebut.

Serentak itu, beliau mahu polis menjalankan siasatan kenapa ada usaha untuk ‘memerangkap’ suaminya dengan kes liwat itu.

Tiada ulasan: