Ahad, 13 Julai 2008

Kita jumpa dua tahun lagi

DUA tahun dari sekarang, kita akan mempunyai Perdana Menteri baru. Namanya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau beroleh jawatan itu bukan hasil pertandingan, tetapi daripada proses peralihan kuasa antara beliau dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika mengumumkan perkara itu, Pak Lah menjelaskan bahawa pada pertengahan tahun 2010, beliau tidak lagi memimpin kerajaan, parti Barisan Nasional (BN) dan pilihan raya umum ke-13. Katanya, semua tanggungjawab itu diberikan kepada timbalannya, Najib yang akan menjadi PM keenam.

Ramai juga tertanya-tanya kenapa Pak Lah tidak mahu menyerahkan jawatan itu sekarang kepada Najib. Kenapa perlu menunggu sehingga dua tahun lagi baru hendak menyerahkan jawatan yang dipegangnya sejak tahun 2003 itu kepada timbalannya.

Jawabnya mudah sahaja. Kerana keadaan ketika ini tidak mengizinkan. Orang tua-tua kata, banyak kes daripada isu. Setiap kes melibatkan hal yang besar-besar, hangat, hangit dan panas. Di dalam satu-satu kes itu pula melibatkan nama-nama pembesar negeri dan negara.

Ini yang membelenggu pemikiran Pak Lah. Walaupun semua tahu itu adalah 'fitnah', tetapi Pak Lah tidak boleh memandang remeh perkara itu kerana setiap isu atau kes, walau sebesar zarah sekali pun Pak Lah perlu campur tangan dan cari jalan penyelesaian.

Tugas Perdana Menteri amat berat. Selain merancang dan merangka program jangka pendek serta jangka panjang untuk kesejahteraan negara dan rakyat, beliau juga terpaksa memikirkan kes-kes yang melibatkan anak buahnya. Tidak kiralah kes itu besar atau kecil. Semuanya sama.

Beliau seboleh-bolehnya mahu memastikan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang terjaga dengan baik. Tidak dicemari oleh unsur-unsur jenayah dan sosial, walaupun ada antaranya terlibat hasil buatan sendiri atau masuk perangkap musuh.

Dua tahun bukan lama. Pejam celik, pejam celik tibalah masa ditetapkan itu. Tetapi bagi penyokong Najib dan musuh Pak Lah, ia mungkin suatu tempoh yang agak panjang. Bagi mereka menunggu 730 hari lebih seksa daripada menghadapi 18,250 hari yang telah berlalu.

Sebagai manusia, sememangnya kita mengharapkan hari sentiasa baik sepanjang masa untuk esok, lusa, tulat dan seterusnya. Tetapi dalam kita menaruh harapan itu, kita tidak boleh memandang ringan akan cabaran, ujian dan dugaan mendatang. Musuh akan melakukan apa saja untuk menggagalkan perancangan kita.

Apa pun, perubahan perlu berlaku. Peralihan kuasa telah dimeterai. Semua pihak harus menerima hakikat itu dan menunggu dengan sabar akan hari-hari yang bakal menjelang itu. Sama ada menjadi kenyataan atau sebaliknya, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Akhir tahun ini, Perhimpunan Agung UMNO ada pemilihan. Beberapa calon yang mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dan Naib Presiden sudah bergerak ke akar umbi mencari pengaruh serta sokongan. Bagaimanapun, pencabar perlu mendapatkan jumlah kuota yang ditetapkan sebelum disahkan layak bertanding.

Bukan senang hendak naik. Tidak payah untuk jatuh. Semuanya bergantung kepada komitmen masing-masing untuk mencorakkan strategi dan taktik bagi membolehkan mereka melangkah dari bawah ke atas. Mereka perlu melalui banyak halangan terutama cah keting.

Silap langkah akan rebah tersungkur. Bagi yang berjaya naik ke atas, mereka dianggap wira kerana dapat melepasi setiap ujian atau kubu 'musuh' dengan cemerlang.

Tiada ulasan: