Ahad lalu, saya menghubungi Tengku Razaleigh Hamzah untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai kenyataan beliau bahawa ada sebuah parti daripada komponen Barisan Nasional (BN) akan keluar BN penghujung bulan ini.
Dalam kenyataannya itu, Ku Li tidak menyatakan nama parti berkenaan, sehingga menimbulkan minat saya untuk mendapatkan lebih lanjut daripada beliau. dalam perbualan singkat tu, Ku Li masih tidak mahu menyatakan nama parti berkenaan.
Cuma katanya, parti itu bertapak di Malaysia Timur, bukan Semenanjung Malaysia. Saya tidak dapat membuat andaian parti mana sebab di Sabah dan Sarawak mempunyai banyak parti. Setelah mendapat sedikit sebanyak klu dari Ku Li, saya pun terus menyiarkan berita itu dalam akhbar Sinar Harian siaran Isnin (16hb Jun 2008).
Berikutan itu saya menerima banyak panggilan yang ada antara pemanggil itu mengutuk saya kerana menyiarkan berita karut dan sengaja mensensasikan berita itu untuk melariskan akhbar terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
Saya hanya diam. Malas nak layan atau beri komen atau ulas apa yang diperkatakan oleh pemanggil itu kerana pada saya, saya telah menulis apa yang Ku Li nyatakan.
Setelah dua hari menunggu, akhirnya saya terlihat satu berita daripada BERNAMA yang menyatakan sebuah parti di Malaysia Timur akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Pak Lah. Berikut adalah berita mengenai isu ini...
Undi tidak percaya terhadap Pak Lah di Parlimen
TERBARU (18hb Jun 2008 / 3 petang): ‘Serangan’ pertama SAPP terhadap Barisan Nasional (BN) dilancarkan hari ini dengan pengumuman parti itu akan membawa usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Isnin depan.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dalam sidang media petang ini berkata, kedua-dua Ahli Parlimennya, iaitu Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul berkenaan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya belum menentukan siapa yang akan membawa usul undi tidak percaya berkenaan, sama ada Ahli Parlimen SAPP atau ada Ahli Parlimen dari parti lain yang akan berbuat demikian.
Sebelum ini, gempar berita kononnya SAPP akan mengumumkan keputusannya keluar dari BN, tetapi ‘serangan’ pertama SAPP yang bakal dilancarkan oleh parti itu ialah dengan membuat kenyataan bahawa parti berkenaan telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri.
Petang ini BN kena ‘serangan’ pertama... SAPP lepas ‘bom’ masa Anwar lawat Sabah
TERBARU: Sementara semua perhatian kini menunggu-menunggu apakah keputusan daripada sidang media yang akan diadakan oleh parti SAPP Sabah jam 2 petang ini, media difahamkan oleh sumber rapat dengan parti itu, kenyataan yang bakal dibuat merupakan ‘serangan’ pertama parti itu sebelum sampai kepada tahap meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Menurut sumber berkenaan ketika dihubungi jam 10 pagi, ‘serangan’ pertama yang bakal dilancarkan oleh parti itu ialah dengan membuat kenyataan bahawa parti berkenaan telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
‘Serangan’ SAPP itu menurut sumber berkenaan, sebagai ujian pertama untuk melihat apakah ada parti komponen lain yang akan membuat pendirian yang sama dengannya dan pada masa sama ingin menunggu reaksi Perdana Menteri sendiri.
Bagaimanpun, sidang media petang ini tidak akan diberikan oleh Presiden parti itu Datuk Yong Teck Lee.
Dalam perkembangan berkaitan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan ke Sabah, dalam waktu terdekat ini.
Lebih menarik lawatan ini, SAPP dikatakan akan melancarkan ‘serangan’ pertama dengan ‘meletupkan bom besar’ di hadapan Anwar dengan mengumumkan tindakan keluar meninggalkan BN.
Bagaimanapun, SAPP tidak akan menyertai pakatan pembangkang sebaliknya akan menjadi parti bebas dan hanya akan membuat keputusan menyertai pakatan yang diketuai oleh Anwar jika kerajaan baru berjaya dibentuk.
Berita awal: BN hadapi kejutan pertama?
Perhatian hari ini tentunya bertumpu ke Sabah.Ini berikutan khabar mengatakan Parti Maju Sabah (SAPP) nak adakan sidang akhbar di ibupejabat parti itu di Luyang Kota Kinabalu.
Ikut ceritanya ia melibatkan satu kejutan.
SAPP cuma sebuah parti kecil dalam komponen Barisan Nasional namun apa yang mungkin terbit dari sidang akhbar berkenaan boleh jadi berita besar.Ini dalam kontek pelbagai spekulasi selepas pilihanraya 8 Mac mengenai Ahli Parlimen BN di Sabah.
Cakap-cakap yang berlegar ialah sidang akhbar itu ada kaitan dengan keputusannya mengenai kedudukannya dalam BN.
Sehingga berita ini ditulis lewat malam Selasa, kalangan pimpinan parti yang dipimpin Datuk Yong Teck Lee,bekas Ketua Menteri Sabah terus membisu mengenai tujuan sidang akhbar berkenaan.
Sumber-sumber parti itu hanya meminta tunggu saja pengumuman yang bakal dibuat. Andaian popular mengatakan SAPP akan umum keluar BN.
Bagaimanapun, ada sumber lain yang rapat dengan pimpinan parti itu menduga jika itu berlaku SAPP tidak akan menyertai pakatan pembangkang.
Katanya, parti itu akan kekal pada entitinya sebagai sebuah parti bebas.
Dua Ahli Parlimen parti itu Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau).
Lantang tak bermakna keluar BN - SAPP
Dakwaan bahawa ada parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan keluar meninggalkan gagasan tersebut yang menjurus kepada Parti Maju Sabah (SAPP) dinafikan oleh orang nombor dua parti tersebut dan menyifatkan ia hanya spekulasi, Datuk Raymond Tan.
Katanya, beliau tidak faham kenapa tumpuan diberikan SAPP apabila adanya dakwaan tersebut sedangkan parti itu tidak pernah membincangkan sebarang langkah untuk keluar dariapda menjadi komponen BN.
Malah, beliau berkata, kelantangan parti itu menyuarakan beberapa isu kemungkinan telah menyebabkan timbulnya salah faham bahawa mereka akan meninggalkan BN.
"Bersuara lantang dan kritikal tidak bermaksud kami akan meninggalkan BN. Memang ada perkara yang kami tidak puashati macam orang lain juga tapi itu tidak bermaksud kami akan keluar BN. Malah Sepanjang pengetahuan saya dan juga dalam komunikasi dengan Presiden, Datuk Yong Teck Lee, kami tidak pernah membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan jika mereka menimbulkan spekulasi itu sebab nak suruh kami menutup mulut, mereka silap kerana kami akan terus bersuara.
"Tumpuan kami ialah beberapa isu semasa yang penting tapi keluar daripada BN bukan satu daripadanya," katanya selepas perasmian Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa (ICC) 2008 Kedua di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu hari Isnin.
Hari Jumaat, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Razaleigh hamzah mendakwa ada sebuah parti komponan BN akan meninggalkan gabungan itu akhir bulan ini. Malah pada hari Ahad, beliau dilaporkan berkata, parti berkenaan adalah dari Sabah tetapi enggan mendedahkan nama parti berkenaan.
Menurut Raymond yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, tindakan itu tidak pernah dibincang walaupun SAPP kerap menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung pelbagai perkara kepada kerajaan.
"Kami sedar ramai yang menuding jari kepada SAPP tapi itu semua spekulasi, malah saya tidak faham mengapa akhbar menamakan SAPP sebagai tajuk utama berita hari ini," ujar beliau. – 16/6/2008
GERAKAN atau SAPP tinggalkan BN?
TERBARU: Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, parti komponen Barisan Nasonal (BN) yang akan tinggalkan gabungan itu adalah dari Sabah. Bagaimanapun beliau masih enggan menamakan parti terbabit.
Berita sebelum ini...Selepas pilihan raya umum ke-12, Mac lalu, banyak cerita dibangkitkan mengenai keadaan politik tanah air. Ada yang menggemparkan dan ada juga yang buat-buat gempar.
Bermula dengan berita akan adanya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di permulaan sidang Dewan Rakyat, cerita kemudian beralih kepada Ahli-Ahli Parllimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti sertai pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan baru.
Semua berita gempar ini turut diwarnai oleh cerita dalaman UMNO sendiri termasuk soal peralihan kuasa. Setelah cerita lompat parti mula senyap, undi tidak percaya tidak menjadi kenyataan, veteran politik yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membuat berita gempar yang terbaru.
Ceritanya, salah sebuah parti komponen BN akan keluar daripada barisan yang dibentuk pada pada tahun 1974 itu.
Jika lompat parti, tarikh akhirnya pada 16 September depan, berita adanya sebuah parti komponen nak tinggalkan BN menurut Tengku Razaleigh akan berlaku hujung bulan ini.
Beliau yang juga bekas Presiden Melayu Semangat 46 bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN tersebut.
"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan UMNO Pahang di bangunan Majlis Mentakab, hari Sabtu. Berikutan pendedahan Tengku Razaleigh tersebut, media dihubungi beberapa sumber yang memaklumkan Parti GERAKAN adalah parti yang disebut-sebut akan meninggalkan BN.
Malah menurut seorang sumber, difahamkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN soal parti itu meninggalkan gagasan BN ada dibincangkan.
Malah, keyakinan beberapa pihak GERAKAN akan meninggalkan BN berdasarkan tindakan beberapa bekas pimpinan parti itu yang telah berkhidmat di bawah kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor.
Bermula dengan tindakan bekas Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Lee Kah Choon yang menerima jawatan berkhidmat di bawah kerajaan yang diketuai oleh DAP, ia kemudian disusuli oleh bekas Pengerusi GERAKAN Wilayah Persekutuan yang menerima jawatan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor pimpinan PKR.
Namun, ada juga desas desus berlegar bahawa parti yang akan meninggalkan BN adalah parti SAPP dari Sabah.
Malah Presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee sebelum ini pernah membayangkan pihaknya mempertimbangkan untuk tidak bersama BN sekiranya tuntutan yang mereka bangkitkan untuk Sabah tidak mendapat respon daripada kerajaan Persekutuan.
Dua Ahli Parlimen SAPP tinggalkan BN?
Cerita lompat parti muncul kembali…kali ini khabar terbaru yang tersebar ialah dua Ahli Parlimen dari Parti SAPP, pimpinan Datuk Yong Teck Lee telah membuat keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Menurut seorang yang rapat dengan kalangan Ahli Parlimen yang memberitahu Agendadaily, cerita mengenainya kini tersebar luas di kalangan Ahli-Ahli Parlimen.
Malah, dua Ahli Parlimen dari parti SAPP disebut secara terbuka merupakan mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.
Kedua-duanya ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Enchin Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui. Bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Agendadaily telah menghubungi kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan.
Majimbun yang menolak khabar kononnya beliau telah meninggalkan BN berkata, sehingga kini mereka masih lagi kekal bersama parti itu.
"Tapi kita tidak tahulah di masa depan macam mana," katanya.
Sambil menyifatkan berita yang tersebar itu sebagai khabar angin, beliau berkata, apa yang penting beberapa perkara yang disampaikan kepada kerajaan Pusat untuk negeri Sabah hendaklah ditunaikan.
"Kita ucap terima kasihlah kepada beberapa perkara yang telah diberikan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tapi kita masih tungu perkara-perkara lain yang belum dipenuhi," jelasnya.
Kenyataan beliau dipercayai berkaitan dengan beberapa isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Sabah termasuk soal pembangunan di negeri berkenaan kepada kerajaan Pusat.
Bulan lalu, dalam temuramah dengan Agendadaily Teck Lee memberikan isyarat ada dua pintu sebagai pilihan kepada mereka dalam mencari penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan negeri Sabah.
Katanya, pintu pertama ialah menyelesaikan semua tuntutan yang dibuat atau jika tidak pintu kedua ialah keluar meninggalkan BN. Beliau memberikan tempoh sehingga Ogos depan untuk penyelesaian dibuat.
Sementara itu Ahli Parlimen Tawau, Chua Soon pula berkata, beliau tidak tahu menahu tentang cerita yang disebarkan itu.
"Hari ini kita hadir taklimat Bajet BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan BN) sama-sama dengan Perdana Menteri. Jadi saya tidak tahu menahu soal cerita ini," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
1 ulasan:
salam... apa khabar...
Catat Ulasan