Rabu, 4 Jun 2008

Petrol dan diesel naik mulai tengah malam ini - PM

PUTRAJAYA 4 Jun — Berkuat kuasa tengah malam ini (Rabu malam Khamis) harga petrol dan diesel masing-masing akan meningkat sebanyak 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, umum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata, berikutan kenaikan itu harga baru petrol di pam adalah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Abdullah berkata, bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal .

"Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.

"Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai sebanyak RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan," katanya.

Perdana Menteri berkata, bayaran tunai itu akan diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor iaitu cukai jalan.

Katanya, bayaran itu meliputi kenderaan dengan cukai jalan yang berkuat kuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Perdana Menteri juga berkata, bayaran tunai itu akan diberikan secara kiriman wang di pejabat pos di seluruh negara mulai 1 Julai 2008.

Kenaikan itu yang tertinggi selepas kenaikan terakhir pada 28 Feb 2006 melibatkan kenaikan 30 sen bagi seliter petrol dan diesel, masing-masing kepada RM1.92 dan RM1.58 sen seliter.

Pengumuman terbaru kerajaan ini juga sebahagian daripada mekanisme baru skim subsidi bahan api iaitu antara usaha untuk mengurangkan pembiayaan subsidi bahan api sebanyak RM53 bilion setahun.

Langkah kerajaan mengapungkan harga bahan api itu mengikut harga pasaran global masih menjadikan Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api yang terendah di rantau ini.

Harga baru itu jauh lebih rendah berbanding RM5.20 (petrol) dan RM4.33 (diesel) di Singapura yang mengapungkan bahan api berkenaan.

Perdana Menteri berkata, bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori bayaran tunai itu, Kabinet telah memutuskan untuk mengurangkan cukai jalan mengikut kadar berikut berkuat kuasa 1 Jun, 2008:

Bagi pemilik kenderaan persendirian petrol dan diesel berkapasiti enjin melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM200.

"Pada masa ini operator pengangkutan, nelayan dan pemilik vesel menikmati harga subsidi berbeza bagi diesel," katanya.

Harga diesel adalah RM1 seliter untuk nelayan dan RM1.20 bagi pemilik vesel.

Perdana Menteri berkata, Kabinet telah bersetuju untuk menyelaraskan harga diesel kepada RM1.43 seliter berkuatkuasa esok, 5 Jun, 2008.

"Harga yang diselaraskan ini tidak akan menjejaskan syarikat pengangkutan di bawah sistem ’fleet card’ kerana mereka akan terus menikmati subsidi petrol dan diesel pada harga ini," kata Abdullah.

Untuk ini, kerajaan bersetuju untuk membayar sebahagian daripada perbezaan harga lama dan baru secara tunai kepada nelayan dan pemilik vesel seperti berikut:

Bayaran tunai sebanyak RM200 setiap bulan bagi setiap pemilik dan pekerja vesel rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Bayaran insentif kepada pemilik vesel pada kadar 10 sen sekilogram hasil tangkapan ikan yang didaratkan oleh vesel perikanan berdaftar di pusat pendaratan ikan di dalam negara.

"Pembayaran akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Kabinet juga telah memutuskan pengusaha bot penumpang sungai akan diberi bayaran tunai sebanyak 10 sen seliter berdasarkan kuota yang diluluskan," kata Abdullah.

Beliau juga mengumumkan mulai 1 Julai, 2008, harga gas yang dibekalkan oleh Petronas di Semenanjung Malaysia akan diubah seperti berikut:

Bagi sektor elektrik, harga akan dinaikkan daripada RM6.40 setiap mmBtu (juta unit Termal British) kepada RM14.31 setiap mmBtu.

Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan kurang daripada 2 mmscfd (juta standard kaki persegi sehari), harga yang ditetapkan oleh Gas Malaysia Sdn Bhd (GMSB) akan dinaikkan daripada RM9.40 setiap mmBtu kepada RM24.54 setiap mmBtu.

Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan lebih daripada 2 mmscfd, harga gas yang dibekalkan oleh Petronas akan dinaikkan daripada RM11.32 setiap mmBtu kepada RM32.56 setiap mmBtu.

"Bagaimanapun, bantuan khas akan diberikan kepada pengguna GMSB iaitu bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana. Pengguna ini akan menghadapi kenaikan yang lebih rendah bagi kadar tarif gas.

"Selaras dengan dasar tenaga boleh diperbaharui, Petronas akan mengurangkan subsidi bagi sektor elektrik secara progresif sejajar dengan harga pasaran semasa, sehingga tahun ke-15, apabila parasnya mencecah harga pasaran," kata Abdullah.

Pada masa yang sama, katanya subsidi bagi sektor industri akan dikurangkan secara progresif sejajar dengan harga pasaran, sehingga tahun ke-11 apabila parasnya mencecah harga pasaran.

Dalam mengumumkan struktur baru tarif elektrik, Perdana Menteri berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB) terpaksa menampung kenaikan harga arang batu di pasaran dunia.

Katanya, dengan penstrukturan semula subsidi gas dan kenaikan harga arang batu, kerajaan telah meluluskan satu struktur baru tarif elektrik bagi membolehkan TNB menyerapkos bahan api bagi gas dan arang batu.

Struktur tarif baru yang berkuat kuasa pada 1 Julai, 2008, akan diguna pakai oleh semua pengguna domestik, komersial dan industri di Semenanjung Malaysia sahaja dan satu struktur baru akan diumumkan tidak lama lagi bagi Sabah dan Sarawak, kata Abdullah.

Selaras dengan hasrat kerajaan melindungi sebaik mungkin kebajikan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, struktur tarif elektrik yang baru ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan 200 Kilowat Jam (kWj) ke bawah setiap bulan dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM43.60.

"Ini bermakna, 59 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia akan membayar kadar yang sama selagi mereka mengekalkan tahap penggunaan yang sama," kata Abdullah.

Bagaimanapun katanya, pengguna komersial dan industri akan mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus.
"Bagaimanapun, bagi kategori komersial dan industri, pertimbangan dibuat kepada peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil, serta pengguna industri seperti perusahaan kampung yang menggunakan tidak lebih daripada 200 Kilowat Jam (kWj) setiap bulan akan hanya mengalami kenaikan 18 peratus," katanya.

Bercakap mengenai sumbangan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) dan pengeluar minyak kelapa sawit (POP) ke arah mengurangkan beban rakyat, Abdullah berkata IPP dijangka menjana keuntungan lebih daripada pulangan pasaran.

"Selaras dengan penstrukturan semula subsidi bagi gas, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan peruntukan di bawah Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas IPP, sebagai sumbangan mereka terhadap kenaikan kos bahan api untuk menjana tenaga elektrik.

"Kuantum bagi levi itu adalah 30 peratus daripada lebihan pulangan aset pada nilai ambang melebihi 9 peratus berdasarkan akaun mereka yang diaudit," katanya.

POP juga, kata Perdana Menteri telah mencatatkan kenaikan untung ekoran harga minyak kelapa sawit yang tinggi di pasaran dunia.

Oleh itu, katanya, Kabinet juga bersetuju untuk memansuhkan levi sistem subsidi minyak masak (COSS) yang sedia ada berkuat kuasa 1 Julai, 2008, dan sebagai penggantinya memutuskan pelaksanaan peruntukan mengikut Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas POP.

Levi berikut akan dikenakan pada peringkat pemproses:
Bagi Sabah dan Sarawak, 7.5 peratus bagi setiap tan minyak mentah kelapa sawit (CPO) yang melebihi RM2,000.

Bagi Semenanjung Malaysia, 15 peratus bagi setiap tan CPO yang melebihi RM2,000.

"Walaupun COSS telah dimansuhkan, harga minyak masak tetap sama kerana hasil daripada pelaksanaan levi baru ini akan digunakan untuk membiayai subsidi minyak masak.

"Kadar levi bagi POP di Sabah dan Sarawak adalah lebih rendah memandangkan mereka juga perlu membayar cukai kepada kerajaan negeri," kata Abdullah. — BERNAMA

Tiada ulasan: