Kepada insan malang bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengaku dirinya sebagai manusia alim dan manusia yang bertanggungjawab menenukan siapa masuk syurga dan neraka.
Kepada ahli dan para pengikut serta penyokongnya, bacalah keterangan di bawah ini. Ia bukan pandangan saya yang jahil, tetapi pandangan daripada mereka yang arif mengenai Islam.
Sengaja saya paparkan di sini untuk manusia bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk para pengikut, penyokong dan ahlinya baca dan membuka minda bahawa kedudukan seseorang sama ada dalam neraka atau syurga bukan ditentukan oleh Mursyidul Am Pas, sebaliknya... bacalah...
1001 Kemusykilan
Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)
SOALAN:
SAYA kerap mendengar orang menyebut hadis tentang perpecahan umat Islam kepada 73 kumpulan, 72 kumpulan ke neraka, satu kumpulan sahaja ke syurga. Soalan saya, dalam sumber manakah riwayat ini? Adakah hadis ini bertaraf sahih atau daif, harap tuan berikan terjemahan sepenuhnya. Jika hadis ini sahih, siapa dan kumpulan mana bakal menduduki syurga dan neraka. Apakah sebab-sebab mewajibkan 72 kumpulan itu ke neraka?
Dalam konteks negara kita hari ini pun, rata-rata umat Islam berpecah kepada beberapa kumpulan sama ada dalam politik atau agama. Bolehkah tuan berikan ciri-ciri kebenaran dan kebatilan dalam sesuatu kumpulan?
MD. SALIM, Kepala Batas.
JAWAPAN: Perpecahan umat Islam hari ini tidak dapat dinafikan sama ada di bidang politik, pertubuhan agama, dakwah dan lain-lain. Nama-nama kumpulan seperti Khawarij, Syiah, Ahli al-Sunnah pada suatu ketika dahulu dan berterusan hingga hari ini memanifestasikan perbezaan fahaman politik.
Manakala nama-nama Salafi, Tabligh, Sufi dan lain-lain adalah kumpulan-kumpulan dakwah yang berbeza uslub dan kaedah mereka berdakwah.
Meskipun mereka pelbagai kumpulan, namun masing-masing mendakwa kesetiaan mereka yang tidak berbelah bagi kepada Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan terakhir kepada manusia.
Dalam ruangan ini, saya tidak berminat menyebutkan ciri-ciri kebenaran dan kebatilan dalam sesuatu kumpulan, atau menghukum siapa benar dan siapa bersalah, kerana saya seorang peminat akademik yang cenderung kepada dakwah, bukan ahli politik yang cenderung kepada akademik.
Saya lebih senang jika melihat kumpulan-kumpulan dalam Islam ini semuanya betul, jika ada yang salah, maka kesalahan mereka hendaklah dilihat seperti seorang doktor yang merawat pesakitnya, lalu berusaha menyambung nyawa pesakit hingga ke akhir hayat.
Tenangkah hati kita jika dikatakan antara kumpulan itu hanya satu kumpulan sahaja berjaya ke syurga, lain-lain kumpulan akan dimasukkan ke neraka, sedangkan lain-lain kumpulan ada padanya saudara-mara, anak-anak, mungkin juga ibu bapa kita juga turut serta?
Rasa saya semacam demam tak kebah jika ada orang berfikir benar kemungkinan itu. Biarlah kita berfikir kita berada di pihak yang benar, orang juga kemungkinan benar.
Elakkan daripada mengeluarkan dakwaan kumpulan kita jua yang betul dan bakal menduduki syurga. Lain-lain kumpulan adalah salah, sesat, kafir dan bakal penghuni neraka. Barang dijauhi Allah.
Hadis yang saudara maksudkan itu didapati banyak riwayat dan versinya berbeza-beza dalam kitab-kitab sunan. Saya setuju hadis itu ada relevannya dengan isu-isu semasa dan dengan perpecahan umat Islam yang sedang berlaku.
Justeru ruangan terbatas, saya kemukakan hanya riwayat Tirmizi yang diakuinya sebagai bertaraf sahih dan hasan, daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Kaum Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan, Nasara berpecah kepada 72 kumpulan, umatku berpecah kepada 73 kumpulan.
Dalam riwayat Abdullah ibn Amr ibn al-’As r.a. menambahkan lagi sabda itu dengan kata: 72 kumpulan dalam neraka, hanya satu kumpulan dalam syurga, iaitu orang yang mengikut jalanku dan jalan sahabat-sahabatku. (Tirmizi, kitab al-Iman, hadis bilangan 2640 dan 2641. Tuhfat al-Ahwazi 7/332, hadis bilangan 2778).
Sumber-sumber selain Tirmizi juga banyak lagi, seperti al-Hakim, Abu Dawud, Ibn Majah, Ibn Hibban, al-Baihaqi dan lain-lain. Ulama hadis menilaikannya sebagai sahih, bahkan al-Hakim berpendapat, sanadnya bertepatan dengan syarat Muslim. (ad-Ajluni, Kasyf al-Khafa’ hal. 150). Saya akan komen kemudian.
Persoalan yang berbangkit sekitar hadis ini yang menyebabkan kegelisahan orang ramai ialah perpecahan umat Nabi Muhammad yang begitu besar, sehingga 73 kumpulan, sedangkan bilangan yang selamat hanya satu.
Umat yang dimaksudkan di sini pastinya umat al-ijabah (umat yang telah menyahut dakwah nabi), bukan umat al-dakwah (umat yang masih kafir dan perlu didakwah).
Siapakah satu kumpulan yang bakal ke syurga itu? Semua kumpulan mengaku, kumpulan mereka akan ke syurga.
Selain ulama hadis meriwayat serta mengesahkan hadis itu, ulama kalam turut menerima dan menjadikan sebagai asas bagi penulisan mereka. Seperti al-Syahristani (547H) dalam kitabnya al-Milal wa al-Nihal, al-Baghdadi (429 H) dalam kitabnya al-Farq Bayn al-Firaq Ibn Hazm dan lain-lain, semuanya tidak menolak hadis ini.
Demam kita kebah sedikit apabila Syeikh Abd. al-Wahhab al-sya’rani meriwayat sebuah hadis yang juga bersumberkan al-Hakim dan Musnad al-Dailami yang menyatakan apa yang sebalik hadis di atas, iaitu riwayat Anas ibn Malik r.a. Katanya, sabda nabi s.a.w. yang bermaksud: Umatku akan berpecah kepada lebih 70 kumpulan, semuanya masuk syurga, kecuali satu sahaja, iaitu kumpulan zindik. Bagaimanapun hadis ini lemah tidak dapat menandingi hadis terdahulu.
Kebimbangan terus menghantui fikiran kerana belum ada suatu jawapan yang memuaskan, sekurang-kurangnya membezakan antara kumpulan-kumpulan dalam Islam dengan orang kafir.
Jika orang-orang kafir dimasukkan ke neraka, memang wajar kerana mereka kafir. Adapun kumpulan-kumpulan dalam Islam ini, semuanya terdiri daripada orang-orang yang mentauhidkan Allah dan mencintai rasulnya. Sekurang-kurangnya pernah mengucap dua kalimah syahadah sekali seumur hidupnya.
Pengucapan ini sudah cukup untuk dimasukkan mereka ke dalam hadis yang dimaksudnya: Sesiapa mengucap kalimah tauhid, nescaya masuk syurga (riwayat Bukhari dan Muslim).
Kelahiran dua kumpulan Sunni dan Syi’ah selepas wafat Rasulullah s.a.w. sebagai contoh, kini masing-masing mempunyai tapak yang kukuh dan pengaruh yang luas, mereka bergerak atas nama islam dan sering menyalahkan satu sama lain, belum memungkinkan kita untuk berkata salah satu atau kedua-duanya ke neraka, kerana nas hadis itu jelas menyatakan 72 kumpulan ke neraka dan satu kumpulan sahaja ke syurga. Tidak mungkin kedua-duanya juga ke syurga.
Wajarkah hadis ini dijadikan modal oleh sesetengah kumpulan bagi mengkafirkan kumpulan lawan semata-mata kerana yakinkan kebenaran kumpulannya. Memangpun dalam sejarah banyak kali pembunuhan sesama Islam berlaku, kerana anggapan lawannya kafir dan mustahak dibunuh.
Peperangan al-Jamal dan Siffin dalam abad kedua Hijrah yang membunuh ribuan umat Islam menjadi sebaik-baik contoh dalam perkara ini.
Kita perlu kembali kepada kaedah dan disiplin ilmu yang lebih teras, sama ada ilmu hadis atau ilmu akidah. Kita perlu rujuk kepada sumber-sumber qat’i dan yaqini sebelum melangkah kepada sumber-sumber hadis yang zanni dan juz’i.
Kita setuju dengan ulama yang menyatakan bahawa isu-isu yang membabitkan akidah hendaklah dalilnya lebih kukuh, berbanding dalil-dalil yang dipakai dalam isu-isu yang membabitkan akidah hendaklah dalilnya lebih kukuh, berbanding dalil-dalil yang dipakai dalam isu-isu yang berkaitan mu’amalat dan kemanusiaan.
Berbalik kepada hadis riwayat Tirmizi yang menyatakan perpecahan kepada 73 kumpulan, saya suka menarik beberapa perhatian berikut:
1. Hadis itu tidak diriwayat oleh Bukhari dan Muslim, dua kitab sahih yang utama dalam hadis. Memang benar, jika ada orang berkata, selain hadis Bukhari dan Muslim, masih banyak lagi hadis sahih yang ada dalam kitab-kitab lain, namun saya tetap berpendapat, bahawa Bukhari dan Muslim telah berusaha seberapa yang mungkin untuk mengumpulkan hadis sahih dalam kitab masing-masing.
2. Tirmizi yang mengaku hadis ini sahih tidak pula meriwayatkan perkataan 72 kumpulan akan masuk neraka, satu kumpulan sahaja ke syurga. Sedangkan fakta ini menimbulkan masalah tentang kesahihan hadis ini. Malah perkataan ini dianggap sesetengah pengkritik hadis sebagai da’if, bahkan Ibn hazm berpendapat maudu’.
3. Dalam hadis yang lebih sahih riwayat Bukhari dan Muslim menegaskan bahawa sesiapa mengucap la Ilaha Illallah nescaya masuk syurga, tanpa mengira dalam kumpulan mana ia berada dan tanpa menyatakan bagaimana latar belakang orang itu dan tanpa bertanya kali pengucapannya, mungkin sekali seumur hidup pun sudah mencukupi bagi kemasukannya ke syurga. Hadis ini perlu juga dipelihara di samping hadis perpecahan umat kepada 73 kumpulan yang jauh lebih rendah martabatnya daripada hadis ini.
4. Al-Hakim yang mengatakan hadis berkenaan perpecahan kepada 73 kumpulan itu sahih dan masih relevan dengan syarat Muslim tidak dapat diterima secara mutlak kerana pentashihan al-Hakim diketahui umum sebagai terlalu mudah dan murah. Salah seorang perawi yang bernama Muhammad bin Amru yang dikatakan relevan dengan syarat Muslim itu bergantung kepada syarat iaitu jika ia bersama-sama dengan perawi yang lain. Jika tiada, maka riwayatnya juga ditolak oleh Muslim.
Saya berpendapat, walaupun Imam al-Tirmizi dan al-Hakim menerima hadis ini namun kedaifannya masih dirasai kerana bertentangan dengan dalil yang kuat, lagipun dalam isu akidah ia perlu dihalusi. Atas pertimbangan ini saya hampir-hampir cenderung mengatakan bahawa semua umat Islam akan masuk syurga. Hanya jalan kemasukan mereka berbeza antara satu dengan lain.
Sesetengah orang masuk syurga tanpa hisab, sesetengahnya pula masuk dengan hisab tetapi terlepas, sesetengah yang lain pula masuk syurga dengan syafaat nabi-nabi, malaikat dan rakan-rakan yang jujur dan ikhlas, bahkan yang lain pula masuk syurga dengan rahmat dan keampunan Allah, bahkan yang terakhir sekali ada yang masuk syurga setelah sekian lama ditimpa azab sengsara.
Atas pertimbangan ini, hadis perpecahan umat hingga 73 kumpulan itu boleh diabaikan sahaja, sehingga kita memperoleh kefahaman yang lebih muktamad dan sesuai dibincangkan secara lebih rasional.
Penyebaran hadis ketika fahaman kita masih samar, ada kemungkinan merosakkan dakwah yang kita bina selama ini. Lagipun apa ruginya jika hadis ini tidak digunakan dalam pengajaran dan dakwah kita.
Sebagai kesimpulan, perpecahan umat Islam kini belum cukup untuk dikatakan perpecahan kepada kumpulan yang akan menentukan sama ada ke syurga atau neraka kerana hadis yang berkenaan belum cukup syarat-syarat kesahihan sepenuhnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
3 ulasan:
SALAM SATU HURAIAN YANG BAIK
SALAM SEJAHTERA
rasanye apa yang abe muzaidi nak ulas pasal artikel ni..
SALAM
SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN INI SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MEMOHON MAAF ATAS KEKASARAN BAHASA SEMASA MEMBERI ULASAN KEPADA SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN
SEMOGA RAMADHAN INI DAPAT MENYATUKAN HATI UMAT ISLAM DI MALAYSIA INI...
SALAM SEJAHTERA
Catat Ulasan