Selasa, 25 Ogos 2009

Pas vs DAP - ibarat tikus takutkan kucing

7 Minit

Kemelut arak di Selangor telah bertukar kepada perbalahan politik. Perang mulut antara pihak terlibat masih berlarutan sehingga hari ini. Dua-dua pihak yang menjadi punca kepada perbalahan ini, Exco Datuk Dr Hassan Mohamad Ali yang menjaga hal ehwal Islam dan Exco Ronnie Liu yang mengurus kerajaan tempatan masing-masing mempertahankan tindakan yang mereka lakukan.

Seorang beragama Islam, seorang lagi bukan Islam. Dalam Islam, arak adalah haram, tetapi bagi yang bukan beragama Islam, arak boleh diminum. Ini yang menimbulkan konflik dalam kerajaan Selangor hari ini.

Tidak ada peraturan jelas, tidak ada undang-undang jelas dan tidak ada arahan jelas. Yang jelas Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan kerajaan negeri itu tidak akan melarang penjualan arak atau nama manjanya minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam.

Bagi Pas, keputusan itu adalah tamparan hebat kepada mereka yang sehingga kini masih teguh dengan keputusan dasar parti itu hendak melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas). Tetapi malang bagi Pas apabila isu arak yang dianggap sebagai kes kecil oleh pemerhati politik pun parti itu gagal menanganinya.

Ke mana Dr Hassan dan pemimpin Pas yang lain? Apa peranan mereka ketika kerajaan negeri memutuskan penjualan arak secara terbuka diteruskan, cuma dengan perubahan sedikit konsepnya iaitu kawalan sendiri bagi membendung penjualan minuman keras kepada orang Islam dan remaja bawah umur? Konsep ini secara jelas tidak dapat membendung umat Islam daripada membeli dan meminum minuman keras itu.

Selangor wajar belajar daripada kerajaan Pas Kelantan dalam bab mengurus dan menjual arak. Negeri Serambi Makkah itu walaupun seratus peratus penduduknya beragama Islam, arak dan tuak masam tetap dijual, lesen tetap diluluskan, tetapi terhad. Orang bukan Islam tidak mengamuk marah. Malah mereka akur, memahami dan memberi kerjasama.

Tidak sebagaimana di Selangor. Dr Hassan marahkan Ronnie, Ronnie pula marahkan Dr Hassan. Sama-sama keras, sama-sama enggan mengalah, sebab masing-masing menganggap diri lebih berkuasa. Di sini, Pas telah tewas dalam perjuangannya.

Nampak sangat Pas sudah tunduk dan akur kepada rakan pakatan mereka dalam PR. Nampak jelas dan nyata Pas lebih rela menjaga hati kawan politik daripada bertegas atau berkeras menegakkan hukum Islam yang diperjuangkannya selama ini.

Apa sudah jadi dengan agenda Dewan Pemuda Pas Pusat untuk melaksanakan undang-undang Islam, Siasah Syariah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Difahamkan, antara perkara yang akan dilaksanakan dalam Siasah Syariah ialah berkaitan dengan pengharaman tempat perjudian, mengehadkan premis penjualan arak, dan etika pakaian di pejabat. Bahkan, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih terperinci pelaksanaannya di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Dalam konteks politik pula, Dewan Pemuda Pas sehari dua lalu beriya-iya mahu berhimpun mendesak Ronnie meletakkan jawatan, tetapi tidak berbuat demikian. Tiada perhimpunan dari Pemuda Pas dilaporkan, melainkan yang ada ialah daripada Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam. Apa sudah jadi dengan Pas? Di mana ketegasan yang ditunjukkan parti itu kepada UMNO selama ini?

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran