Sabtu, 19 Disember 2009

Malaysia-Vietnam, BN-PKR menang tipis

Di Stadium Vientiane, Vietnam malam kelmarin, pasukan bola sepak negara menang tipis 1-0 kepada tuan rumah. Walaupun gol tunggal itu dijaringkan oleh pemain lawan, namun kemenangan tetap berpihak kepada pasukan kita. Maka berkumandanglah lagu kebanggaan, Negaraku.

Di Parlimen Kuala Lumpur empat hari lalu pula, Barisan Nasional (BN) menang tipis 66-63 kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam pengundian usul Bajet 2010. Walaupun dikatakan tiga Ahli Parlimen Bebas yang menyokong BN turut mengangkat tangan mengundi menyokong, namun keputusan muktamadnya tetap memberi kemenangan kepada kerajaan memerintah. Maka pelbagai suara sinis berkumandang mengkritik dan mengecam Ahli Parlimen BN yang tidak hadir ke Parlimen.

Perbezaan antara dua kemenangan itu ialah semangat juang dan keruntuhan moral. Pasukan bola sepak 23 tahun negara dilihat beraksi bermati-matian untuk beroleh kemenangan bagi menjulang nama Malaysia yang kemarau pingat emas dalam acara itu sejak 20 tahun, manakala barisan Ahli Parlimen BN pula dengan sikap kebudakan mereka gagal memberikan sokongan padu kepada kerajaan memerintah yang mentadbir negara ini sejak 1957.

Kenapa ia berlaku? (iaitu merujuk kepada keputusan BN 66, PR 63 undi). Jawapannya kerana sikap Ahli Parlimen BN yang dari awal lagi bukan dalam kalangan pejuang, apatah lagi mereka langsung tidak mempunyai semangat patriotisme terhadap pemimpin dan kerajaan yang dipimpin. Mereka menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewabn Undangan Negeri (ADUN) hanya semata-mata menganggap ia sebagai kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Apatah lagi, jika seseorang wakil rakyat itu bernasib baik, mereka akan dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi di jabatan, agensi dan syarikat milik penuh kerajaan dengan pendapatan gaji serta elaun yang berbaloi-baloi. Ini yang mereka kejar. Bukan rakyat yang mereka utamakan sejak mula menapakkan diri dalam dunia politik, dan seterusnya bergelar pemimpin.

Jika hendak dibandingkan wakil rakyat sekarang dengan wakil rakyat zaman 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an dulu, jarak juang antara mereka amat jauh. Jaraknya antara langit dengan bumi. Jauh tidak terjangkau. Perjuangan wakil rakyat terdahulu semuanya tulen berbanding perjuangan wakil rakyat sekarang yang dipenuhi dengan kepalsuan.

Dalam siri artikel saya sebelum ini, saya selalu membangkitkan kelemahan kebanyakan wakil rakyat, malah hampir keseluruhannya, sama ada dalam barisan BN mahupun pakatan pembangkang. Pada penilaian saya, mereka ini belum layak sepenuhnya bergelar pemimpin, walaupun mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan berperwatakan seperti pemimpin.

Ini kerana, dari awal lagi mereka berebut menjadi wakil rakyat bukan kerana hendak berjuang untuk rakyat, sebaliknya mahu mengisi perut dan mengumpul harta kekayaan. Hanya dengan menjadi wakil rakyat sahaja yang hidup susah selama ini boleh menjadi kaya raya, yang berhutang sekeliling pinggang sebelum ini boleh dilangsaikan dalam tempoh singkat.

Cuba tampilkan seorang wakil rakyat yang hidupnya terlalu sederhana dan hartanya habis dibelanjakan kepada rakyat atau di jalan Allah. Cuba tampilkan. Tidak ada seorang pun daripada pemimpin yang ada di negara ini sedemikian, termasuk daripada wakil rakyat Pas. Hatta, Datuk Nik Abdul Aziz yang dikatakan hidup sederhana di rumah beralaskan kayu di Pulau Melaka, Kelantan pun hanya sekadar retorik.

Pun begitu, saya tidak menyalahkan seratus peratus kepada Ahli Parlimen dan ADUN yang sudah dipilih rakyat, dan tidak juga mahu menyalahkan mereka jika gagal menjalankan amanah atau tanggungjawab kepada negara, agama dan bangsa (rakyat). Dalam hal ini yang jelas bersalah ialah pucuk kepimpinan parti di peringkat bahagian, negeri dan pusat. Bahagian mencadangkan si polan kepada negeri dan tanpa menilai latar belakang negeri mengangkat nama si polan ke pusat.

Pusat pula, tanpa usul periksa dan menaruh keyakinan penuh dengan ulasan negeri terus merestui si polan dari gua hantu itu sebagai calon. Maka ketawa terkekeh-kekehlah si calon itu kerana impian untuk mendapat jawatan dan pangkat sebagai wakil rakyat sudah tercapai. Bukti kepada apa yang dinyatakan ini sudah terang lagi bersuluh sebagaimana berlaku di Parlimen Rabu lalu.

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada Ahli Parlimen BN. Ini kerana, tidak dapat saya bayangkan jika ditakdirkan pada hari itu BN kalah dalam pengundian usul Bajet 2010 kepada PR, apa yang dapat saya nyatakan, BN akan kehilangan kuasa untuk tempoh selama 100 tahun bermula dari hari kekalahannya.

7 MINIT - 19hb Disember 2009

2 ulasan:

Azwan berkata...

Salam En Manzaidi....

Saya agak bersetuju dengan coretan En Manzaidi berkaitan dengan YB-YB kita hanya mengejar kekayaan apabila memegang jawatan 'wakil rakyat' dalam akhbar Sinar Harian pada Sabtu 19 Dec 09. Tetapi saya kurang setuju apabila tuan mengatakan semua YB-YB itu sama semuanya.......

Dalam tulisan tersebut tuan telah menyentuh pasal kehidupan Datuk Nik Abd Aziz (MB Kelantan) yg hanya retorik ttg kehidupan kesederhaan beliau. Saya ingin bertanya kepada tuan sudah berapa kali penulis berjumpa atau bersua dengannya..... ini kerana kebanyakan wartawan2 lain y berkunjung atau menemubual beliau kagum dgn kesederhanaan beliau.....saya rasa penulis kena siasat dulu sebelum tulis...menulis semua orang boleh tulis.....pendapat juga semua orang ada pendapat. Tp mestilah disertakan dengan bukti...Sepanjang 19 tahun memerintah Kelantan apa bentuk kekayaan yang telah dikumpulkan oleh Datuk Nik Aziz. Walhal Nik Aziz menunaikan sembahyang dalam pejabat Menteri besar pun dalam keadaan lampu dan aircond dipadamkan hanya kerana telah habis waktu berkerja. Mana nak cari pemimpin begini, tidak membazirkan wang rakyat.

Saya rasa kalau dah semua orang tak betul jadi YB ada baiknya tuan sendiri mengambil calon pada PRU akan datang untuk memperbaiki semua kekurangan yg ada pada YB sekarang kerana rakyat memerlukan orang yg seperti tuan yg prihatin pada rakyat.

Salah dan silap harap maaf kerana ini semua kelemahan saya dan saya harap tuan dapat menerima kritikan saya ini seadanya...bukan berniat utk menunjuk pandai tetapi hanya menyampaikan pendapat peribadi semata-mata. Hamba hanyalah rakyat biasa yg tiada apa2 kepentingn yg juga seperti tuan memerlukan pemimpin yg dapat membela nasib kita bersama

Azwan
Kuala Lumpur

muzaidi berkata...

Manzaidi gak. pandai tulis tapi resarch tak tahu