Ahad, 13 Disember 2009

Usah pertikai ramai Bumiputera ke universiti awam: Tun M

Dipetik dari akhbar Sinar Harian 13hb Disember 2009

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, peluang memasuki universiti awam yang diberikan kepada lebih ramai Bumiputera berbanding kaum lain tidak harus dipertikaikan dengan tuduhan bahawa ia satu tindakan perkauman yang mementingkan satu kaum.

Mantan Perdana Menteri berkata, dalam hal ini, peluang kepada lebih ramai Bumiputera berbanding kaum lain adalah bagi memastikan keseimbangan pembangunan kaum agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan yang nanti akan memberikan pelbagai kesan negatif.

Dr Mahathir berkata, di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang kini jumlahnya hampir sama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kemasukan pelajar Bumiputera amat kecil iaitu hanya di sekitar 10 peratus sahaja.

“Kalau kita buat banci jumlah (keseluruhan) pelajar di universiti kerajaan dan swasta... pelajar bukan Bumiputera lebih banyak dari Bumiputera. Itulah sebabnya kita beri tumpuan dan lebih banyak tempat kepada Bumiputera,” katanya dalam ucaptama bertajuk 'UUM 25 Years Expectation vs Reality' di Konvensyen Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) 2009 di sini, semalam.

“Oleh itu, kita tidak harus berasa bersalah (semata-mata) kerana kita adakan tempat untuk Bumiputera. Kita ada hak untuk dapat kedudukan seimbang di negara ini. Kita nak hak secara berpatutan,” katanya.

Malahan Dr Mahathir berkata, 'polisi afirmatif' antaranya menerusi Dasar Ekonomi Baru bagi mengangkat Bumiputera dalam arus perdana pembangunan negara dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, bukanlah sesuatu yang keterlaluan kerana walaupun penduduk Bumiputera hampir 60 peratus dari jumlah penduduk tetapi kuota yang ditetapkan hanya 30 peratus sahaja.

“Kita hanya tuntut separuh daripada apa yang sepatutnya kita tuntut. Ini tunjukkan kita bukan perkauman. Kalau perkauman kita (sudah) tuntut 60 peratus. Nak capai 30 peratus pun tidak mudah,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran