Ahad, 8 Januari 2012

Dewan Pemuda Pas kecam Azmin Ali

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat membidas sikap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali kerana cuba mencampuri urusan dalaman PAS apabila mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Mohamed Azmin sepatutnya menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat dengan tidak membuat desakan dan kritikan terbuka terhadap Dr Hasan yang masih sebagai ahli PAS.

"Dewan Pemuda PAS amat kesal dengan kenyataan desakan daripada Azmin yang mahukan agar Datuk Dr Hasan dikenakan tindakan.

"Kami ingin jelaskan bahawa Datuk Dr Hasan masih sebagai ahli PAS dan Azmin perlu menghormati keadaan itu.

"Kami di dalam PAS juga kurang selesa dengan apa yang cuba Azmin nyatakan seolah-olah tidak menghormati PAS di dalam Pakatan Rakyat itu sendiri. Dengan suasana ini, ianya seperti usaha campur tangan pihak luar di dalam PAS," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Sabtu.

Jumaat lalu, Mohamed Azmin dengan lantang mendesak PAS mengambil tindakan tegas ke atas Dr Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang sebelum ini menyeru agar rakyat tidak menyertai perhimpunan 'Bebaskan Anwar 901'.

Desakan Mohamed Azmin itu dibuat sebagai reaksi terhadap kenyataan Dr Hasan yang turut menyifatkan demonstrasi 901 anjuran PKR sebagai sesuatu yang sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Selain itu Raja Ahmad turut mengingatkan Mohamed Azmin supaya memelihara suasana persefahaman antara kedua-dua parti itu demi Pakatan Rakyat.

Menurut beliau suasana begini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap parti di dalam Pakatan Rakyat perlu memelihara ahli parti masing-masing, bukan membuat kenyataan seumpama itu.

"Jika perkara yang pernah berlaku dahulu ketika dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR keluar parti di Perak dahulu, adakah PAS membuat kenyataan seumpama itu?

"Ini termasuk beberapa ADUN dan Ahli Parlimen PKR yang keluar parti. Adakah PAS menuding jari kepada PKR dalam isu ini?

"Justeru, kami berharap Azmin dapat menggunakan saluran yang ada di dalam Pakatan Rakyat kerana isu seumpama ini amat sensitif," katanya.

Tiada ulasan: