Sabtu, 10 Mac 2018

Hidup mereka hanya meniru

PAKATAN Harapan sudah mengumumkan manifesto mereka untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) malam tadi.
Beberapa acara diselitkan sebelum manifesto itu dibaca oleh Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di Shah Alam.
Dalam manifesto itu ada sekurang-kurangnya 60 janji yang ditawarkan ‘kerajaan pakatan’ sekiranya mereka berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan dari Barisan Nasional (BN) pada PRU ini.
Manifesto ini bukan yang baharu. Sebelum ini pun, pada PRU-PRU terdahulu pun pembangkang turut mengemukakan manifesto juga. Cuma janji-janji yang terkandung dalam dokumen itu berlainan dari sepenggal ke sepenggal pilihan raya.
Sebagai rakyat, tidak sedikit pun saya berasa ghairah atau terpegun dengan janji-janji yang ditawarkan itu. Ia tidak lebih bagai janji yang terkandung dalam terma dan syarat sesebuah syarikat yang menjual barangan perabut atau elektrik.
Pernah suatu ketika, seorang menteri besar (sekarang sudah mantan) di sebuah negeri pembangkang memberitahu, segala janji dalam manifesto tidak semestinya perlu ditunaikan. Ia hanya sekadar janji untuk memikat atau menarik orang ramai mengundi mereka.

Bila orang ramai atau rakyat atau pengundi tertarik dengan umpan yang ditabur, secara automatik mereka akan mengundi pembangkang. Apabila pembangkang menang, contohnya di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, ada kerajaan negeri ini menunaikan janji dalam manifesto mereka?
Biasanya tidak ada. Yang ada hanya dolak dalik dan pelbagai alasan untuk menutup ingatan rakyat kepada janji manifesto mereka.
Begitu juga dengan Manifesto PH PRU14 ini. Boleh dikatakan 99.99 peratus daripada 60 janji itu sudah, telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan BN. Pembangkang hanya ceduk atau ‘copy paste’ apa yang telah dibuat oleh BN untuk dimasukkan dalam janji mereka.
Pembangkang main politik tidak nampak sebagai anak jantan. Hidup mereka meniru, meniru dan meniru apa yang musuh mereka buat. Kalau mereka perlekehkan apa yang BN buat, maknanya yang diperlekehkan itu telah menarik minatnya.
Contohnya, skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan BN, bermacam kritikan, teguran dijaja oleh pemimpin pembangkang. Tup! tup! dalam manifesto mereka, nak kekalkan BR1M.
Inilah yang dikatakan cakap tak serupa bikin dan betullah apa yang saya cakap, kalau perkara itu yang tidak disukai pembangkang, maknanya itulah yang disukainya. Termasuklah GST. Konon nak hapuskan, tetapi percayalah, yakinlah Pakatan Harapan tidak sekali-kali akan hapuskan.
GST boleh buat duit. Berpuluh bilion ringgit setahun, takkan pembangkang nak hapuskan benda yang boleh menghasilkan duit. Pembangkang mana nampak alim sangat ni? Setahu saya, semua pemimpin pembangkang jenis gelap mata. Pantang tengok duit, mahu dirembatnya.
Apapun, sama-samalah kita tunggu Manifesto BN pula. Kerana inilah sebenar-benarnya manifesto. Segala janji yang terkandung di dalam Manifesto BN adalah janji yang benar.
Kerajaan BN kutip dari idea, pengalaman dan pengajaran mereka sebagai pemimpin yang dengar dengan rakyat untuk diterjemahkan dalam janji, bukan meniru atau ceduk dari mana-mana parti pembangkang. (Siaran TheRakyat 10/3/18)

Tiada ulasan: