Ahad, 18 Mac 2018

Kaji selidik Invoke Malaysia: Sendiri buat kajian, sendiri ramal menang

INVOKE Malaysia Rafizi Ramli yang punya. Dia yang mengasaskan badan yang ada kaitan secara langsung dengan tugasan kaji mengkaji dan selidik menyelidiki ini.
Untuk mendapatkan jawapan ‘tepat’ atas sesuatu isu itu, kakitangan Invoke Malaysia ini (selepas ini saya sebut IM sahaja) akan menemu bual orang ramai yang dipilih secara rambang atau rawak di mana-mana sahaja mereka temui di muka bumi Malaysia ini.
Contohnya, kalau IM nak tahu UMNO masih relevan atau tidak, dia hanya gerakan kakitangannya turun padang mendapatkan jawapan daripada orang ramai. Tetapi, tidaklah diketahui sejauhmana ikhlas dan jujurnya kakitangan IM itu menjalankan tugas mereka.
Dikhuatiri dan ditakuti ada antara kakitangan IM mengambil jalan mudah, hanya mendapatkan jawapan daripada penyokong dan ahli sesebuah parti sahaja (biasanya itu kerja lebih senang dan mudah). Sedangkan, jawapan sebenar kepada persoalan yang nak diketahui oleh pengkaji itu ada pada orang ramai yang bukan dari kalangan penyokong atau ahli parti politik.
Tidak dapat tidak, keikhlasan, kejujuran dan ketelusan kakitangan IM menjalankan tugas ini boleh dipersoalkan, dan kalau sudah dapat jawapan sekali pun, jawapan itu masih boleh diragui dan dipertikaikan ketulenannya.

Sebab itu, apabila IM membentangkan hasil kajiannya mengenai penyelidikan pilihan raya dan sokongan rakyat kepada UMNO dan Pas, kedua-dua parti ini tidak percaya dan mempertikaikannya.
Memang logiklah kalau UMNO dan Pas mempersoalkan keputusan itu. Pertama, golongan sasar yang ditemui secara rambang oleh IM itu tidak pasti datang dari sumber mana. Entah-entah diambilnya pendapat dari pendatang asing Bangladesh, Indonesia, Nepal dan Myanmar yang berlambak-lambak di ibu kota.
Keduanya, IM iaitu badan yang kononnya ‘bebas’ ini diasas dan dikendalikan sepenuhnya oleh Rafizi. Siapa pula Rafizi? Beliau adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan dari PKR. Beliau juga didapati dua kali kalah dalam kes saman fitnah oleh mahkamah.
Hasil kaji selidik IM itu mendapati 41 peratus pengundi Melayu sahaja akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, manakala sokongan untuk Pas pula hanya 14 peratus. Suatu angka yang dikatakan oleh Rafizi sebagai jatuh merudum.
Mengulas mengenainya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kaji selidik itu sebagai kajian atas meja, kerana mustahil Pas boleh kalah di semua kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi pada PRU 14 ini.
Memetik kenyataan Abdul Hadi sebagaimana dilaporkan Sin Chew Daily, parti Islam itu mempunyai kajian sendiri membabitkan akar umbi dan akan membuat perbandingan dengan kajian pihak lain.
Beliau mendakwa, IM yang diketuai Rafizi itu tidak menjalankan kaji selidik sehingga ke peringkat akar umbi.
Dalam kaji selidik itu juga IM merekodkan jawapan paling banyak mengenai PRU 14 ini ialah akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara parti komponen BN, parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan parti komponen Gagasan Sejahtera (GS) yang melibatkan Pas, Berjasa dan Ikatan (Parti Ikatan Rakyat Malaysia).
Pembohongan IM milik Rafizi semakin menyerlah apabila kajiannya juga meramalkan PH akan menawan sekurang-kurangnya lima negeri iaitu kekal di Selangor dan Pulau Pinang, selain berjaya merampas Kedah, Johor dan Perak pada PRU 14 ini.
Tidakkah ini kajian yang bias atau berat sebelah, yang mana sesuatu keputusan itu mestilah memihak kepada pihak yang membuat kajian. Samalah seperti kita menonton filem perang. Kalau penerbit dan pengarahnya Amerika, mestilah tentera Amerika menang. Begitu juga kalau filem itu diterbit dan diarah oleh Jerman, yang menang mestilah askar Jerman.
Jadi, di mana keadilannya? Munasabahlah kalau BN dan Pas tidak percaya dengan keputusan yang dibuat IM.
Lebih tidak munasabah apabila kajian IM menunjukkan keputusan Pas gagal menang walau satu kerusi Parlimen daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, manakala PH memenangi sebanyak 89 kerusi, iaitu melebihi 13 kerusi daripada 76 kerusi yang dimenangi BN.
Maknanya, dengan kata lain yang lebih ringkas dan padat, PH berjaya membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU 14 dan BN menjadi pembangkang.
Pendek kata, kalau sesiapa hendak baca hasil kajian IM, lebih baik sediakan panadol terlebih untuk hilangkan sakit kepala kerana pening dengan cara dan kaedah diperolehi pengasasnya, Rafizi. – theRakyat (Siaran 12 Mac 2018)

Tiada ulasan: