Sabtu, 10 Mac 2018

Teliti calon, pucuk pimpinan perlu pegang pada kata-kata

ASSALAMUALAIKUM… saya terpanggil untuk menulis dalam ruangan ini berhubung kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai pemilih calon untuk PRU-14 telah dipilih secara teliti.
Saya bersyukur kerana proses pemilihan calon sudah selesai dan berharap tidak ada suara-suara tidak puas hati kenapa si polaan tidak dipilih, kenapa si anu tidak terpilih sebagai calon.
Pada saya, PRU-14 kali ini adalah penentu hidup mati UMNO dan Barisan Nasional (BN), setelah pembangkang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk merebahkan kerajaan memerintah hari ini.
Kepada calon yang tidak terpilih, saya harap akurlah dengan pilihan pucuk kepemimpinan. Tidak terpilihnya anda musim PRU ini bukan kerana anda tidak layak, tetapi pucuk kepemimpinan melihat ada orang lain yang lebih disukai rakyat atau pengundi dan mempunyai harapan untuk menang.
Matlamat UMNO/BN adalah untuk menang. Soal pilih kasih, siapa rapat dengan pemimpin, dia dapat bukan kriterianya lagi. Kalau zaman sebelum ini, bolehlah sesiapa sahaja dipilih sebagai calon, bertanding dan menang.

Zaman sekarang pucuk kepemimpinan parti, baik UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan MyPPP kena hati-hati. Silap langkah, padah menanti. Untuk memastikan langkah tidak tersilap, pimpinan harus berhati-hati dari sekarang.
Saya harap apa yang dimaksudkan oleh Dato Sri Hishammuddin bahawa calon telah diteliti itu benar-benar menjadi kenyataan, bukan sekadar cakap lain, buat lagi.
Untuk apa kekalkan calon yang pernah dua kali kalah dan tiga kali kalah? Kalau pemilihan calon ini akan merugikan parti dengan kehilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)?
Pucuk kepemimpinan jangan sekali-kali simpati dan termakan pujuk rayu calon seperti itu. Dan tanam kemas-kemas dalam diri, bahawa tidak akan ada istilah, “berilah peluang kepada saya bertanding kali ini… sekali ini sahaja lagi. Saya pasti menang..saya tengok mood rakyat penggal ini berada dalam keadaan baik…”
Itu hanya ucapan retorik calon yang pernah dua tiga kali kalah sebelum ini. Kalau pucuk pimpinan beri peluang juga, walaupun terakhir, maknanya pucuk pimpinan sengaja menempah maut.
Calon ni, kalau dua kali kalah dan tiga kali kalah, mereka tidak akan ada peluang lagi untuk menang dalam pertandingan ketiga atau keempat. Daripada ambil mereka yang boleh merugikan parti, lebih baik ambil yang lebih berwibawa yang menjanjikan berita baik untuk parti.
Sudah cukup pucuk kepemimpinan parti berlembut, terutama dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian, Timbalan-Timbalan Ketua Bahagian, Naib-Naib Ketua Bahagian dan AJK-AJK Bahagian yang pentingkan diri.
Selain mereka ini, orang awam juga sebenarnya layak menjadi calon, cuma mereka tidak diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat dan seperkara yang paling menjengkelkan apabila kehadiran orang awam ini kurang disenangi oleh orang parti.
Pemimpin di peringkat pusat, negeri dan bahagian sentiasa dapat peluang itu dan apabila diberi laluan, sesetengah atau segelintir dari mereka gagal memanfaatkan peluang yang diberikan sehingga meletakkan parti bagai telur dihujung tanduk.
Pucuk kepemimpinan perlu ingat, menang satu Parlimen dan DUN sangat besar harganya. Jangan sekali-kali pandang remeh dengan berkata, “Tak apa kalah satu kerusi Parlimen atau satu kerusi DUN, janji yang lain menang..”
Bagaimana kalau dipihak lain pun beranggapan demikian? Jawabnya, BN akan jadi pembangkanglah seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.
Kena juga ingat Dato Sri, kalau sekali jadi pembangkang, sukar untuk jadi kerajaan pada penggal akan datang. Tengok saja Kelantan… 28 tahun BN jadi pembangkang dan masing-masing hampir 10 tahun membangkang di Pulau Pinang dan Selangor. (Siaran TheRakyat 5/3/18)

Tiada ulasan: