Sabtu, 10 Mac 2018

Zahid pulang paku buah keras kepada Pas

SAYA tertarik dengan kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa, “politik harus digunakan untuk perkuatkan agama, bukan menggunakan agama untuk kuatkan politik”.
Kata-kata ini mengingatkan saya pada Pas, yang menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka. Akibat daripada penyalahgunaan agama, suami isteri, saudara mara dan jiran sekampung yang berbeza fahaman politik telah berpecah belah dan bercerai berai.
Ada pemimpin Pas peduli dengan keadaan yang berlaku ini? Ada mereka merasa bersalah kerana mempergunakan agama untuk kepentingan parti dan politik? Tidak sama sekali. Pemimpin Pas tidak pernah berasa bersalah.
Malah, mereka menyalahkan parti lawan kerana kononnya matlamat parti lawan yang jauh menyimpang dari ajaran agama, menyebabkan suami isteri bercerai, jiran tetangga bergaduh dan berpecah belah.

Bila saya amat-amati kata-kata Datuk Seri Ahmad Zahid ini, saya dapati ada benarnya. Masyarakat tidak akan berbalah sesama mereka kalau tidak jahil dengan ilmu agama. Suami isteri tidak akan bercerai berai kalau mereka tahu politik hanya kulit, sedangkan agama adalah akar tunjang yang menyuburkan kehidupan seseorang.
Memang kena pada masanya apabila Timbalan Perdana Menteri berkata demikian, yang kebetulan hadir pada majlis penutup Ijtimak Majlis Perundingan Islam Kebangsaan 2018 di Al-Hijrah Big Studio di Cyberjaya ialah Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.
Dr. Mahfodz ialah Ketua Penal Dakwah bagi Majlis Perundingan Islam. Mungkin beliau sedar dan sekurang-kurangnya mencambahkan mindanya untuk memikirkan kata-kata Timbalan Perdana Menteri itu.
Sekurang-kurangnya Dr. Mahfodz berfikir apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid itu adalah sebenar-benar perkataan untuk mengelakkan umat Islam dan orang Melayu berpecah belah akibat perbezaan ideologi politik.
Sekurang-kurangnya Mahfodz menjadi pemimpin Pas yang pertama kembali ke pangkal jalan dan berazam untuk membawa parti Pas ke landasan yang betul. Cukuplah Pas sesat selama berpuluh-puluh tahun dan tiba masanya untuk Mahfidz membawa Pas ke jalan yang benar.
Pas menggunakan agama adalah untuk kepentingan diri dan partinya. Mereka bercakap pasal agama untuk menakut-nakutkan orang ramai agar memberi undi dan sokongan kepadanya untuk menang kerusi pilihan raya.
Apabila sudah menang, tidak ada seorang pun daripada wakil rakyat Pas mengamalkan agama sebagaimana yang mereka kata dan cakap sebelum ini. Banyak bukti dan contoh untuk mengaitkan dengan kata-kata saya ini.
Contoh paling ketara ialah, sebelum menjadi wakil rakyat, Pas mendakwa kerajaan Umno kerajaan sekular kerana mementingkan dunia dari akhirat. tetapi, selepas Pas menang dan dapat membentuk kerajaan, Pas juga lebih mementingkan dunia dari akhirat.
Buktinya, apa pembangunan Islamik yang Pas telah buat? Masjid? Kebanyakan masjid yang ada di Kelantan dibina zaman kerajaan Barisan Nasional. Menyediakan bekalan air mencukupi untuk keperluan rakyat? Sampai sekarang masalah ketiadaan air dan air berkarat masih membelenggu rakyat.
Jadi, mana Islamnya? Tidak ada. Pas hanya menggunakan agama untuk menguat dan mengukuhkan parti politiknya, bukan menggunakan politik untuk menguatkan agama.
Memang betul dan bertepatanlah apa yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri itu. (Siaran TheRakyat 2/3/18)

Tiada ulasan: