Jumaat, 28 Mac 2008

Siapa layak menjadi Tun Ghafar kedua?


SETELAH lebih dua minggu Terengganu tidak berkerajaan kerana menghadapi sedikit masalah teknikal antara Barisan Nasional (BN) dengan istana, akhirnya kelmarin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said, dilantik secara rasmi sebagai Menteri Besar.
Beliau telah memulakan tugas pertamanya sebagai ketua negeri setelah memasuki pejabat pentadbiran kerajaan negeri pada jam 7.45 pagi Selasa, sekali gus menamatkan tanda tanya dan spekulasi mengenai krisis yang berlaku antara BN Terengganu dengan istana selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam 8 Mac lalu.
Dalam keputusan itu, BN Terengganu yang memenangi dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah sebulat suara mahu Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar, tetapi pada masa sama MPPR mengeluarkan watikah pengisytiharan pelantikan Ahmad sebagai MB.
Berikutan itu, berlaku sedikit ketegangan antara BN Terengganu dengan istana menyebabkan tarikh pelantikan dan siapa yang layak menjadi Menteri Besar, tertangguh sehingga dua minggu.
Keadaan itu jelas merisaukan semua pihak terutama rakyat yang telah memberi mandat penuh kepada BN untuk mentadbir dan memerintah negeri itu. Bagaimanapun, harapan mereka tidak kesampaian apabila sebaliknya pula yang berlaku.
Kemelut itu mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara sehingga tanpa disedari laporannya semakin negatif dan menjejaskan reputasi kedua-dua pihak iaitu kerajaan BN dengan istana jika tidak ditangani segera.
Tidak dinafikan, di mana-mana negeri di negara ini tidak dapat lari daripada wujud salah faham antara pentadbir dengan istana. 'Pergaduhan' adalah perkara biasa. Dalam rumah tangga pun suami isteri boleh bertengkar. Apatah lagi antara kerajaan dengan istana. Umpama kata, lagikan lidah sendiri boleh tergigit.
Kerajaan Kelantan pimpinan Pas pun tidak dapat lari daripada krisis dengan istana, begitu juga di Perlis, Negeri Sembilan dan Perak yang ditadbir oleh BN. Ini semua adalah rencah hidup yang perlu ditempuhi dan dilalui.
Bagaimanapun, kalau boleh rakyat atau sesiapa sahaja tidak mahu mendengar atau melihat kerajaan negeri yang mereka pilih mempunyai masalah dengan istana. Bahkan, jika diadakan pungutan suara sekali pun, tentu tidak ada seorang pun di kalangan mereka bersetuju dengan kemelut itu.
Sebagai rakyat, mereka mahu kerajaan negeri menjaga istana bagai menatang minyak yang penuh. Ini kerana, Raja adalah payung negara. Raja juga ketua agama. Institusi Raja harus dipelihara. Jika ada krisis, ia harus dipulihara secepat mungkin. Jangan biarkan berlarutan sehingga boleh menggugat kepercayaan rakyat.
Setiap penyakit ada penawarnya, begitu juga jika berlaku kemelut, pasti ada penyelesaiannya. Bagaimana hendak menyelesaikan sesuatu krisis itu supaya tidak berpanjangan? Terletak atas kebijaksanaan sesebuah pemerintah.
Mungkin mereka boleh menjadikan kemelut yang berlaku antara Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan dengan kerajaan negeri itu pada tahun 1999 sebagai iktibar. Kes yang menimpa bekas menteri besarnya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad juga tidak kurang hebatnya.
Bagaimanapun, kebijaksanaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik bekas timbalannya, Allahyarham Tun Ghafar Baba sebagai 'orang tengah' yang diamanahkan untuk menyelesaikan krisis itu harus dipuji dan dicontohi.
Ketika itu, Allahyarham bertindak sebagai orang perantara bagi menyelesaikan krisis antara Istana Besar Seri Menanti dan kerajaan negeri, yang kedua-duanya berpunca daripada keengganan mengesahkan pelantikan Menteri Besar, Mohd Isa.
Krisis pelantikan Menteri Besar itu hanya berlaku di Negeri Sembilan sahaja manakala (pelantikan MB dan Ketua Menteri) di negeri lain berjalan lancar, tanpa sebarang ketegangan. Bagi Tun Ghafar, kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menyelesaikan kes itu adalah yang ketiga dalam hidupnya.
"Ketika menyelesaikan krisis istana dan kerajaan Negeri Sembilan, saya beritahu baginda mesti akur. Dalam masa 15 minit (krisis) selesai, langsung tetapkan tarikh majlis angkat sumpah (barisan baru Exco) keesokannya," kata Allahyarham kepada para wartawan ketika itu.
Dalam krisis sama pada tahun 1986 (yang pertama bagi Tun Ghafar) dan 1990 (kedua), beliau yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, menasihatkan Yang Dipertuan Besar dan Undang Empat supaya mematuhi perlembagaan bahawa pelantikan Menteri Besar adalah hak Perdana Menteri dan istana tidak boleh campur tangan.
Isu antara istana dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan berlaku berikutan penundaan majlis mengangkat sumpah barisan baru Exco kerajaan negeri, dipercayai berpunca daripada "masalah dengan istana berhubung senarai anggota yang dikemukakan."
Dalam kejadian itu, semua 31 wakil rakyat yang datang ke Istana Besar Seri Menanti untuk upacara berkenaan dikatakan terpaksa pulang awal kerana majlis itu bertembung dengan istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena hari keputeraan Tuanku Ja’afar ke-77 ketika itu.
Tambahan pula, tahun 1999 merupakan penggal kelima Mohd Isa memegang jawatan sebagai Menteri Besar sejak dilantik pada April 1982.
Allahyarham Tun Ghafar yang menyifatkan 'tindakan' istana itu sebagai memalukan dilaporkan berkata, seseorang raja yang tidak bersetuju dengan pelantikan Menteri Besar sepatutnya berunding dahulu dengan Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum.
"Jika baginda tidak suka, kena beritahu awal-awal sebab-sebabnya supaya Perdana Menteri sempat berfikir. Ini sudah selesai pilihan raya dan Perdana Menteri sudah umumkan (nama Menteri Besar). Susahlah nak rombak," katanya.
Setelah krisis itu selesai, beliau sempat menasihatkan kerajaan negeri dalam menangani isu itu: "Jangan kita (kerajaan negeri) cakap, bila Tuanku senang. (Tetapi) tetapkan tarikh khusus (upacara angkat sumpah) misalnya, esok. Tidak boleh dilewat-lewatkan, semakin lama semakin buruk keadaannya," katanya.
Mengikut perlembagaan, Raja tidak boleh campur tangan dalam politik. Jika mereka (Raja) hendak memberi sokongan kepada sesebuah parti, mereka boleh menyokongnya, tetapi sesebuah parti itu tidak boleh mengharapkannya kerana mereka harus tahu status raja sebagai Raja Berperlembagaan.
Begitulah kaedah yang dilakukan Allahyarham Tun Ghafar sepanjang hayatnya. Beliau boleh dijadikan 'orang tua' dalam memberi nasihat sama ada kepada kerajaan negeri atau istana. Perwatakannya dihormati dan tutur katanya tidak menyinggung mana-mana pihak.
Sebab itu Allahyarham disenangi semua Raja dan Sultan di negara ini. Beliau tidak banyak bercakap, tetapi setiap tutur katanya adalah dizahirkan dalam bentuk nasihat, bagaikan seorang ayah menegur atau menasihat anak.
Pas bukan main seronok dengan isu ini. Mereka mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh dengan kemelut yang berlaku di Terengganu. Tetapi mereka lupa, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak sunyi daripada krisis dengan istana.
Rakyat masih ingat peristiwa Julai 2001, yang mana Pas tidak mengiktiraf pendirian Sultan Kelantan yang tidak memperkenankan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membatas kuasa dan fungsi baginda yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 25 Jun 2001.
Lebih teruk, Pas tidak mahu menerima Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan kesediaannya untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis itu. Bahkan, parti itu dengan sombongnya memberitahu bahawa pihaknya tidak akan mengiktiraf sebarang orang tengah termasuk Tengku Razaleigh bagi menyelesaikan pertikaian isu itu yang berlanjutan.
"Tidak ada orang tengah dalam isu pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan. Jika Tengku Razaleigh mendakwa dia mewakili sultan, kita (Pas) nak tanya bila masa pula dia jadi orang suruhan Istana Kelantan," kata bekas Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Fadzil Noor.
DUN Kelantan pada persidangan dewan ketika itu telah meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri selepas mendapat sokongan 40 anggota DUN iaitu lebih daripada dua pertiga majoriti sepertimana dikehendaki oleh perlembagaan.
Berikutan bantahan daripada istana, persidangan Dewan meluluskan usul tergempar dengan membuat ketetapan bahawa persidangan pada hari berkenaan adalah sah dan mematuhi kehendak dan peruntukan mesyuarat.
Usul pindaan undang-undang tubuh itu dibentangkan Nik Abdul Aziz dan disokong oleh timbalannya ketika itu, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Diharapkan kemelut seperti itu tidak berulang lagi. Kerajaan negeri dan istana merupakan dua institusi yang berperanan menjaga rakyat, negeri dan agama. Rakyat selesa berada di bawah kerajaan negeri yang aman, sentosa dan mempunyai hubungan baik dengan istana.

Tiada ulasan: