Ahad, 30 Mac 2008

UMNO perlu mansuh sistem kuota - Dr. Mahathir


KUALA LUMPUR, 30 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, UMNO seharusnya memansuhkan sistem kuota yang memerlukan pencalonan daripada sekurang-kurangnya 60 bahagian bagi membolehkan seseorang itu bertanding jawatan Presiden parti.

Menurut laporan Bernama, beliau mencadangkan perubahan itu kerana sistem kuota ketika ini kelihatan "terbuka kepada penyalahgunaan oleh mereka yang mempunyai kuasa".

"Peraturan itu menghalang anggota-anggota daripada menamakan calon pilihan mereka, apabila mereka yang mempunyai kuasa itu cenderung untuk bertindak menyekat sebarang langkah menentang mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-46 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini semalam.
Menurut Perlembagaan UMNO, seseorang calon perlu memperoleh pencalonan minimum daripada 60 bahagian bagi membolehkan beliau bertanding ke jawatan presiden parti.

Bagaimanapun peraturan itu diperkenalkan selepas Dr Mahathir sendiri dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 dan beliau berjaya mengekalkan jawatan presiden dengan hanya kelebihan 43 undi.

Selepas peristiwa itu, sudah menjadi tradisi bagi UMNO untuk tidak mengadakan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti. Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, semasa tempoh pentadbirannya "semua orang bebas mencabar dan berkempen sepenuhnya".

"Semasa tempoh saya (presiden), Tengku Razaleigh mencabar saya, semua cabar saya, dan mereka bebas mencabar, bebas berkempen sepenuhnya, tapi pada masa itu adalah mudah untuk mendapat (sokongan) 60 bahagian," katanya.
Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan serta Menteri Perdagangan dan Industri merupakan Ahli Parlimen paling lama berkhidmat iaitu sejak tahun 1969 lagi.

Ditanya sekiranya beliau merasakan bahawa Tengku Razaleigh adalah pencabar berpotensi bagi jawatan nombor satu parti, Dr Mahathir menjawab: "Tengku Razaleigh adalah salah seorang dari mereka, ada banyak lagi".

Dr Mahathir berkata, selain beliau, Perdana Menteri ketiga negara Tun Hussein Onn juga pernah dicabar oleh Sulaiman Palestin bagi jawatan Presiden parti. Katanya, beliau merasakan bahawa cabaran adalah sihat bagi parti, tapi ia seharusnya diuruskan dengan rapi bagi menghalang daripada disalah guna oleh pihak yang mempunyai kuasa.

Berhubung tindakan tiga Ahli Parlimen UMNO yang menolak pelantikan ke jawatan timbalan menteri, Dr Mahathir berkata, ia adalah hak prerogatif mereka.

Bagaimanapun katanya, beliau menyanjung sangat keputusan mereka, kerana menurutnya, beliau difahamkan penolakan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana tidak dilantik ke jawatan menteri penuh.

Tiada ulasan: