PILIHAN Raya Umum Ke-12 sudah seminggu berlalu. Yang menang jangan lupa tunai janji. Jangan berdolak-dalik itu dan ini lagi. Pintu pagar dan pintu rumah yang 'terbuka' sebelum ini pun kena sentiasa terbuka selepas ini. Jangan asyik menyorok diri. Anda bukan lagi calon. Anda sudah bergelar Yang Berhormat (YB) dan menjadi perhatian rakyat sekarang.
Yang kalah pula jangan putus asa. Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang empat atau lima tahun lagi. Sebelum tempoh itu, bolehlah buat persiapan awal dari sekarang. Pastikan jentera parti sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. Kubu perlu dikuatkan, kepercayaan rakyat terhadap kita perlu dipulihkan.
Setiap rungutan atau aduan rakyat berhubung salah laku petugas/jentera parti termasuk diri kita yang dihadapi sepanjang tempoh berkempen harus didengar. Jangan sekali-kali pandang mudah dengan rungutan dan aduan itu kerana ia antara faktor utama undi untuk kita beralih kepada calon lawan.
Suka saya bercakap mengenai pengundi luar. Ada kira-kira 60,000 anak perantau di Lembah Klang. Lebih separuh daripada mereka pulang ke kampung halaman untuk mengundi. Ada yang dapat pelepasan daripada majikan dan tidak sedikit terpaksa mendapatkan sijil cuti sakit daripada klinik berbayar (swasta) untuk dijadikan alasan tidak hadir bekerja.
Ada yang pulang dengan bas sewa khas, bas tambang sendiri, bas lompat-lompat, kereta persendirian, menumpang kawan, kereta api, kapal terbang dan 'kapcai'. Ini sudah menunjukkan kesungguhan mereka hendak balik mengundi.
Malangnya, apabila sampai di bumi tercinta, mereka berdepan dengan peristiwa mengecewakan hati dan perasaan. Wang poket yang diharapkan tidak diperoleh. Apabila ditanya, para petugas memberi 1001 alasan, kononnya wang sudah habis, wang telah dihantar semula ke pusat (Kuala Lumpur), mereka datang lewat daripada waktu ditetapkan.
Tempat yang sepatutnya perantau lapor diri tidak ada petugas (hanya ada meja dan kerusi sahaja), manakala lokasi pula sentiasa berubah-ubah (sekejap depan KB Mall, sekejap depan Billion, sekejap depan pasar raya The Store), dan perubahan itu pula tidak dimaklumkan kepada perantau terlebih dahulu. Kalau dapat pun, jumlahnya tiba-tiba saja berkurangan tiga kali ganda daripada dijanjikan.
Ini semua adalah penyebab utama undi perantau beralih petak. Daripada petak barisan kepada petak bulatan. Begitu juga dengan pengundi tempatan. Mereka juga berdepan dengan masalah yang sama. Ada kes sepasang warga emas dari sebuah kampung di Chetok, Pasir Mas, Kelantan diminta oleh seorang jentera parti supaya datang ke pejabat parti itu pada jam 4 petang, kononnya ada sedikit sumbangan untuk mereka.
Tiba waktu dijanjikan, pasangan suami isteri itu bergegas ke pejabat berkenaan menaiki kereta sewa. Sebaik berjumpa petugas dan bertanyakan sumbangan yang dijanjikan, mereka dimaklumkan bahawa tidak ada sebarang sumbangan disediakan untuk mereka. Pasangan itu kecewa dan pulang dengan hati berbelah bahagi.
Mereka sudah habis RM5 tambang kereta sewa. Masa yang sepatutnya dihabiskan di masjid juga terlepas begitu sahaja semata-mata kerana dijanjikan sumbangan. Kejadian itu tidak tamat di situ sahaja. Ia diceritakan kepada 15 ahli keluarganya (yang disahkan SPR sebagai pengundi berdaftar). Tidak lama kemudian berita itu tersebar dari mulut ke mulut. Hasilnya undi yang sepatutnya menjadi milik calon dacing tiba-tiba berpindah kepada calon bulan penuh (purnama).
Walaupun kes ini kecil, tetapi bekas YB daripada parti yang kalah tidak boleh memandang ringan. Mereka harus melakukan bedah siasat ('post-mortem'), kerana akan ada antara petugas jentera parti selepas ini bergelar Orang Kaya Baru (OKB) dan tidak sedikit daripadanya membuat perkiraan untuk memiliki kereta baru.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan