Ahad, 23 Mac 2008

Badrul Hisham Menulis:

Selepas sengit di Parlimen Rembau, "Saya terus di sini"

Ditulis Oleh Badrul Hisham Shaharin (Calon PKR yg menentang Khairy)

Malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu, saya seolah hilang punca. Melalui kiraan pantas iaitu maklumat dari semua ejen kiraan undi saluran/peti undi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendahului kira kira 100 undi. Namun angka yang diterima bukan angka rasmi.

Ramai Ketua Pusat mengundi pula menafikan hak ejen kiraan undi PKR mendapat salinan borang 14. Selepas Maghrib, suasana di Pusat Penjumlahan di Dewan Merdeka, Rembau agak tidak tentu arah. Saya mengambil keputusan untuk terus berada di Bilik Gerakan PKR Parlimen Rembau (lima minit dari Pusat Penjumlahan) untuk monitor keputusan yang masuk dan cuba menghubungi semula semua ejen pengiraan undi untuk menghantar borang 14 ke bilik gerakan.

Saya menghantar tiga orang untuk memasuki dewan, malangnya cuma Rozmal, ejen calon sahaja yang dibenarkan masuk. Bayangkan dalam keadaan ratusan penyokong BN di dalam dewan, apa yang Rozmal seorang mampu lakukan.

Sekitar jam 9 malam saya sudah merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Rozmal yang saya hubungi melalui telefon seperti hilang punca. Dia mengatakan kemungkinan kiraan semula (dia juga tidak pasti), tetapi semua berlaku dengan pantas.

Jam 10.15 malam, dua peti undi di bawa masuk dan lima minit selepas itu terus calon BN Parlimen Rembau di isytiharkan menang dengan majoriti 5,000 lebih.

Sejak peristiwa itu saya mendapat ratusan panggilan telefon dari teman dan wartawan yang hendak mengetahui apa sebenarnya terjadi. Maka semalam saya memanggil sidang media di SCAH, KL.

Saya isytiharkan PRU-12 ini merupakan PRU paling kotor dan Rembau merupakan yang terkotor. Media, agensi kerajaan diperkuda secukupnya demi menjamin kemenangan BN. Di Rembau contohnya, Pengurus Pilihanraya yang juga Pegawai Daerah Rembau serta ‘team’nya sendiri terpaksa tunduk kepada menantu Abdullah dan menekan lawan BN.

Begitu banyak majlis kerajaan, peruntukan kerajaan dan premis/kawasan milik kerajaan dipergunakan oleh jentera BN demi memastikan menantu PM menang. Tuan Rawi, Pegawai Daerah Rembau ketika saya hubungi melalui telefon bertanyakan kenapa menantu Abdullah boleh menggunakan kemudahan kerajaan, tetapi saya dinafikan hak untuk menyewa padang Rembau?

Beliau menyatakan meluluskan atau tidak itu kuasanya... dan dia sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan calon lawan menantu PM menggunakan padang dan dia juga punya kuasa untuk membenarkan menantu PM menggunakan padang Rembau... Katanya, menantu PM lain, dia BN... selepas ditanya mengenai saya juga membayar deposit pilihanraya seperti menantu PM dan selaku pegawai yang menjalankan tugas SPR dan makan gaji yang dibayar oleh rakyat dia harus bertindak adil... dia meletakkan telefon!!!

Kejadian kedua ialah apabila banyak aduan yang saya buat seperti bahan kempen hilang, terbakar... penggunaan bendera Umno yang tidak bertanding pilihanraya... dan banyak lagi tidak dilayan walaupun telah berkali-kali membuat aduan ke Bilik Gerakan SPR Rembau (pejabat Daerah)...

Saya telah menelefon ke Bilik Gerakan SPR, tetapi malangnya saya ditengking oleh ADO Rembau dan menggugut untuk mengambil tindakan ke atas saya kerana mengganggu pegawai awam.

Saya terus mencabar beliau jika anak jantan sila ambil tindakan undang undang... dia mengatakan "dengan awak dengan Anwar Ibrahim boleh jalan..."

.... saya hilang sabar dan terus mengatakan kamu memang anjing BN dan meletakkan telefon... saya tahu penggunaan perkataan anjing itu melampau... di sini saya memohon maaf, tetapi beliau juga harus mengakui tindakan beliau yang gagal memastikan pilihanraya di P131 berjalan secara adil.

Rembau telah melalui 12 kali Pilihanraya Umum. Ramai orang ‘lama’ di Rembau sendiri mengakui bahawa dia tidak pernah tengok pilihanraya yang sekotor ini dengan penglibatan gangster. Saya mengalami kerugian tidak kurang RM20,000 kerana banner, bendera dan poster yang hilang, dicuri, dirosakkan dan dibakar.

Kegiatan kekasaran seperti menahan atau menghalang atau mengasari petugas pilihanraya juga wujud. Seorang yang mengaku eksekutif kempen Khairy (putih, gebu, berjanggut) yang dipercayai bukan ‘budak tempatan’ sering kali cuba membuat kecoh dalam kempen individu saya.

Contohnya, di Masjid Rembau selepas solat Jumaat saya diserbu dan dituduh berkempen menggunakan masjid. Saya tidak mempedulikan ‘tentera berbayar’ menantu PM ini dan terus bersalaman melayan jemaah.

Mujur kawalan keselamatan calon berjaya membawa ‘tentera berbayar Khairy' ini jauh dari saya. Sekali lagi ‘tentera berbayar yang sama’ dengan kumpulannya cuba menyerbu saya di Masjid Paroi. Kali ini menggugut dengan menunding jari dan mengatakan siap kau!!! Sekali lagi kumpulan pengacau upahan Khairy ini berjaya dikuis jauh dari saya.

Kejadian kedua terjadi terhadap calon PKR DUN Rantau dalam Parlimen Rembau. Sekitar 2 pagi lima hari sebelum pembuangan undi, rumah beliau di Rantau telah dikelilingkan dengan bendera BN/Umno, tetapi dengan keberanian wanita lebih 50 tahun ini sendiri keluar dan menanggalkan bendera BN/Umno yang menceroboh tanah beliau dan memasukkan dalam plastik hitam.

Mungkin tidak puas hati dengan keberanian Aisah Lamsah, sekumpulan besar petugas BN telah mengepung rumah beliau dan meletakkan lebih banyak bendera, poster, flag line BN di sekitar tanah rumah Puan Aisah.

Laporan polis dibuat tetapi sehingga kini tiada tindakan.

Kejadian pendokong Parti Mahasiswa Negara yang hadir untuk bertemu orang kampung juga perlu diberikan perhatian. Anak-anak muda ini turun ke Rembau untuk merancakkan lagi kempen PRU-12. Namun ketika kira kira 10 orang dari mereka hendak memasuki Kampung Gadong, mereka dihalang gangster Umno secara kasar.

Polis yang dipanggil cuma mampu menasihatkan agar kami akur dengan gangster Umno itu. Malah kebetulan ketika itu telah masuk waktu solat, kumpulan kami yang hendak solat di surau kampung itu juga dihalang bersolat.

Hari yang sama di kawasan Rumah Rakyat Astana Raja, saya diserbu oleh Ketua Wanita Umno kawasan itu yang menjerit-jerit seperti orang gila mengatakan saya tak boleh masuk kerana ini kawasan Umno. Ramai penduduk keluar untuk melihat apa yang berlaku... ramai antara mereka yang datang dan menyatakan sokongan kepada saya sambil berkata... biasalah itulah akibat menantu PM datang bertanding sini... akak tu dah terbayang nak jadi setiausaha menteri kut...

Hari yang sama sekumpulan petugas kempen PKR di Kampung Semin dihalang perjalanan kenderaannya oleh kereta waja WMJ 8327 warna kelabu dan diugut supaya berhenti kempen atau nyawa melayang.

Sekumpulan anak muda yang menamakan diri mereka GERAK Mahasiswa yang hadir ke Rembau kerana menyampaikan manisfesto GERAK yang berbunyi tolak calon rasuah. Manifesto ini dihantar ke semua bilik gerakan parti politik termasuk PKR, BN dan PAS.

Malangnya petugas GERAK Mahasiswa ini telah diambil kad pengenalannya dan mereka diiring keluar dari kawasan Parlimen Rembau oleh petugas BN.

Dari aspek senarai pemilih sendiri sejak dari awal sememangnya disedari kotor. Ini membuktikan SPR sudah sedia memenangkan menantu PM. Saya sendiri telah membuat laporan polis mengenai wujudnya ratusan pengundi ragu iaitu mereka yang di bawah umur dan berumur lebih 150 tahun.

Saya juga membuat laporan polis kerana ‘layanan istimewa’ SPR yang dengan pantas menukar status menantu PM dari pengundi di Lembah Pantai menjadi pengundi di Gadong Rembau.

Walaupun sebelum itu hanya dua hingga tiga bulan sebelum itu dia pengundi berdaftar di Wilayah Persekutuan berdasarkan carian SPR. Bukan itu sahaja Jabatan Pendaftaran juga begitu pantas membuatkan MyKadnya yang beralamat di Gadong.

Laporan penuh hari pengundian akan disiapkan pada 13 Mac ini dan akan dihantar ke kumpulan peguam untuk meneruskan tindakan bantahan. Antara kejadian yang dilaporkan ialah pemberian wang secara terbuka, dua nama sama, tetapi kad pengenalan berbeza (berbeza 3 bulan lahir) dalam alamat rumah yang sama didapati mengundi, pengundi dibenar mengundi tanpa membawa kad pengenalan, kejadian pukul, kejadian datang mengundi tetapi nama sudah diundikan dan banyak lagi kejadian pelanggaran undang undang berlaku.

Semalam 9.30 malam, saya hadir mesyuarat bersama jentera di Pejabat Gerakan PRU PKR Rembau. Tak sangka ramai yang hadir, semua tidak mengakui kemenangan ‘tipu daya’ BN, mereka mendesak tindakan lanjut diambil.

Semalam juga ramai yang berikrar untuk tetap meneruskan gerak kerja bukan seperti kebiasaan selepas pilihanraya terus senyap. Mereka meminta saya terus membuka Bilik Gerakan PRU untuk dijadikan pusat khidmat.

Saya hanya mampu menyatakan Insya-Allah kerana sedang usaha berkira dan mencari perbelanjaan operasi sekurang-kurangnya sehingga PRU 13.

Namun saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua. Memang rakyat belum menang kerana kemenangan kita dinafikan dengan tipu daya, tetapi saya janji akan terus berjuang. Semua dijemput datang ke Kenduri Perdana Rakyat 15 Mac 2008, jam 8 malam di depan Pusat Gerakan PRU 12 PKR Rembau (belakang Pej. Daerah Rembau).


Tiada ulasan: