Ahad, 30 Mac 2008

Pentingnya UMNO anjur Perhimpunan Agung Khas


KOTA BHARU, 30 Mac - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi menegaskan pentingnya UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk membincang keputusan pilihan raya umum lalu dan merumuskan langkah-langkah yang wajar diambil oleh parti, lapor Bernama.


Katanya, perkara yang penting sekarang ialah memperbaiki kedudukan parti melalui Perhimpunan Agung Khas itu.

"Sebelum itu Bahagian-bahagian (UMNO), kalau bersetuju, perlu diadakan mesyuarat Perwakilan Bahagian khas dan untuk membawa satu usul membincang keputusan pilihan raya umum lalu mengenai mengapa kita kalah begitu teruk sehingga hilang lima negeri dan hilang kuasa dua pertiga di Parlimen.

"Dan merumuskan apakah langkah-langkah yang wajar diambil oleh parti kita kerana UMNO tanpa sokongan daripada ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak tiada kuasa langsung di Parlimen," kata beliau kepada pemberita setibanya dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, malam tadi.

Katanya, orang Melayu di semenanjung kini sudah hilang kuasa di Parlimen setelah UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.


"Dengarlah, kita dengarlah suara daripada bawah ajak semua orang datang kita timbang perkara ini dengan serius.

"Jangan tak mahu berjumpa langsung dengan orang bawah. Kita orang atas sudah gagal kita dengar suara orang bawah pulak," katanya.

Beliau berkata, dengan langkah itu, UMNO pasti dapat memperbaiki kedudukannya seperti langkah yang pernah diambil oleh UMNO pada tahun 1969.

"Kita dulu selepas tahun 1969, kita kalah juga tapi tidak seteruk ini. Kita telah melahirkan Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai inspirasi kepimpinan kita kepada rakyat untuk membela rakyat," kata Tengku Razaleigh.

Katanya, UMNO sekarang terpaksa bergantung kepada sokongan ahli-ahli Parlimen BN daripada Sabah dan Sarawak dalam menentukan kuasa negara.

Tengku Razaleigh berkata, pertemuannya dengan pemimpin Ketua-Ketua Bahagian UMNO di Kuala Lumpur baru-baru ini adalah untuk menerangkan perlunya cadangan agar diadakan Perhimpunan Agung Khas.

Beliau berkata, suara di Parlimen yang tidak sampai separuh bagi kuasa UMNO di Semenanjung, harus disedari oleh pemimpin UMNO di semua peringkat.

Dalam menjelaskan lagi pertemuannya dengan ketua-ketua Bahagian UMNO, beliau berkata, masih terdapat perasaan takut terhadap kedudukan mereka.

Namun kebimbangan yang dinyatakan secara jelas dan terang oleh kepimpinan UMNO bahagian adalah kebimbangan dan perasaaan takut kepada masa depan parti dan orang Melayu.

Katanya, pemimpin-pemimpin bahagian juga berpendapat perlunya perubahan dilakukan dalam parti bagi menentukan halatujunya supaya UMNO terus menjadi inspirasi kepada rakyat.

Tengku Razaleigh menegaskan sekali lagi perkara yang penting ialah UMNO perlu perbaiki kedudukannya agar orang Melayu mempunyai masa depan yang lebih baik.

Tiada ulasan: