Khamis, 25 Disember 2008

Hari ni rehat, esok lusa kerja

Hari ini sehingga 4hb Januari 2009 saya dapat rehat secukupnya daripada mengendalikan bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian di Shah Alam, Selangor.

Setelah empat minggu menjadi tenaga pengajar, saya amat mengharapkan bengkel ini berjaya dan memberikan perubahan ketara kepada penerbitan akhbar Sinar Harian.

Bagaimanapun, bengkel yang mengambil masa tiga hari setiap minggu ini akan disambung semula selama empat minggu lagi bermula 5 hingga 28 Januari 2009. Kali ini pesertanya melibatkan semua wartawan dari Edisi Kelantan, Edisi Terengganu, Edisi Pahang, Edisi Selangor, Edisi Nasional dan Edisi Utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang).

Kemudian bermula Februari 2009 pula, bengkel akan diadakan khusus untuk wartawan baru yang akan bertugas di Edisi Perak dan Edisi Johor Bahru.

Pendek kata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun depan, saya tak boleh mengadakan temu janji dengan sesiapa kerana terpaksa menumpukan sepenuh perhatian dan masa kepada bengkel.

Bengkel ini penting bagi Sinar Harian kerana akan memberi anjakan paradigma kepada keseluruhan penerbitan akhbar menerusi tranformasi penulisan dalam kalangan wartawan dan penyunting.

Secara sedar atau tidak, saya telah memikul satu tugas, amanah dan tanggungjawab yang amat besar sehingga mendorong saya untuk melupakan seketika kehidupan dunia luar kerana hendak memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia kerja.

Tiada ulasan: