Jumaat, 12 Disember 2008

Sekilas Pandang

Saya tidak takut jika digantung... gantunglah

"SAYA tidak risau kerana tidak bersalah, sebaliknya saya bercakap benar dan tetap menjadi ahli UMNO yang masih mendapat sokongan bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri yang percayakan kepemimpinan saya. Jangan menganggap kerana hanya satu amaran, saya boleh menerimanya. Saya tidak takut jika akan digantung... gantunglah!”

Itu adalah kenyataan Datuk Zaid Ibrahim kepada wartawan dalam sidang media di Kota Bharu pada 13 April 2005. Saya kemukakan soalan itu berhubung amaran diterimanya daripada Lembaga Disiplin UMNO kerana terlibat politik wang pada pemilihan peringkat bahagian parti itu tahun 2004.

Saya bertanyakan soalan itu kerana beberapa hari sebelum itu beliau membuat kenyataan hendak bersara daripada politik. Tetapi selang sehari kemudian, dia menarik balik. Hari ini, setelah tiga tahun lapan bulan berlalu, hasrat itu menjadi kenyataan. Dia bukan lagi digantung, tetapi sudah dipecat daripada UMNO.

Penglibatan Zaid dalam politik sudah lengkap. Dia hanya mengambil masa lapan tahun untuk memegang semua jawatan dalam parti. Dari memegang jawatan Ketua Bahagian (Kota Bharu) pada tahun 2001, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan tahun 2003, Ahli Parlimen Kota Bharu tahun 2004 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mac 2008.

Walaupun hanya memegang jawatan menteri selama empat bulan 28 hari, tetapi cukup untuk menyatakan Zaid sebagai pemimpin yang berjaya dalam karier politiknya, berbanding pemimpin lain yang masih kekal di peringkat cawangan atau bahagian. Tidak naik-naik.

Bagaimanapun, dari awal terlibat secara langsung dalam politik, Zaid sudah berhadapan dengan pelbagai isu dan kes. Antaranya, ketika menjadi Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Pengerusi UMNO dan Ahli Parlimen, dia telah diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana didapati bersalah mengikut Perkara 2.2 Tata Etika Ahli UMNO iaitu membenarkan agennya memberi wang bagi pihaknya ketika pemilihan peringkat bahagian.

Berikutan itu, jawatan ketua bahagian di pangku oleh Datuk Mohd Fatmi Che Salleh (sekarang memang jawatan itu tanpa bertanding), manakala jawatan timbalan pengerusi diberikan kepada Datuk Dr Awang Adek Husin (dilantik oleh Pak Lah). Namun, statusnya sebagai Ahli Parlimen dikekalkan.

Inilah sikap tidak berhati-hati pemimpin bernama Zaid. Dia tidak menggunakan jawatan-jawatan yang diimpikannya sejak sekian lama itu sebaik mungkin. Dia lupa, ketika mula melangkahkan kaki kali pertama di Kota Bharu pada tahun 1994 adalah untuk merebut jawatan ketua bahagian, tetapi setelah mendapatnya, dia mengabaikannya.

Saya wartawan pertama dipilih oleh Zaid menerusi konconya untuk membantu beliau mempromosi kehadirannya di Kota Bharu dan hasratnya hendak terlibat dalam politik. Hasil daripada artikel dua muka surat itu (disiarkan pada tahun 1994), media cetak dan elektronik mula buka mata dan mendekati beliau.

Saya juga wartawan pertama yang banyak membantunya di Kota Bharu dan kemudian ke Tumpat ketika beliau menaruh keyakinan besar dipilih oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai calon pilihan raya pada tahun 1999 (tetapi sehari sebelum nama calon diumumkan, namanya tiba-tiba dipadamkan daripada senarai itu) oleh pihak tertentu.

Ketika memegang jawatan timbalan pengerusi, beliau meminta pandangan saya mengenai bentuk program untuk dilakukannya. Saya kemudian mencadangkan agar dia membela nasib 500 peneroka di Ulu Kelantan yang ketika itu berhadapan masalah dengan kerajaan negeri. Akhirnya, usaha itu berjaya dan peneroka mendapat semula hak mereka menerusi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Ini semua adalah perjuangan murni Zaid, tetapi malangnya, dia gagal mengawal sikap gelojohnya menyebabkan dia kecundang di separuh jalan dan akhirnya meletak jawatan sebagai menteri pada 15 September lalu serta dipecat sebagai ahli UMNO oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 3 Disember lalu iaitu selepas 22 hari menerima surat tunjuk sebab dari UMNO berkaitan surat terbukanya kepada Pak Lah dan perjumpaannya dengan
Ahli-Ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pemecatan itu juga ada kaitan dengan beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang. (Siaran 7hb Disember 2008)

Tiada ulasan: