Tidak adil tuduh saya tidak adil
SAYA menerima beberapa panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang-orang yang saya percaya penyokong kuat dua gergasi Wanita UMNO.
Selama 24 tahun bekerja dengan surat khabar, saya tidak pernah menerima cacian, kecaman dan herdikan sehebat ini daripada orang UMNO, hanya semata-mata saya pertikaikan pemimpin sayap kanan parti itu minggu lalu.
Saya tidak melenting apabila seorang pemanggil menuduh saya ‘kurang cerdik’ apabila saya mempersoalkan sikap tidak sabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menunggu peralihan kuasa Jun tahun hadapan.
Saya juga tidak sakit hati, apabila seseorang mengirim SMS menyatakan saya tidak adil dalam menganalisis politik berhubung dua pemimpin itu. “Cetek benar minda saudara”, demikian ungkapan akhir SMS yang menggunakan talian Celcom dari negeri utara itu.
Nampak sangat mereka tidak berpuas hati dengan tulisan saya dalam Sekilas Pandang bertarikh 23 November lalu itu. Semua ini asam garam yang harus diterima dan dipikul oleh seseorang wartawan. Bukan mudah kita nak memuaskan hati semua pihak.
Apabila kita menulis mengenai kelemahan parti U, parti P bertepuk tangan, bersorak girang. Apabila kita memperkatakan kegagalan parti P, parti U pula melompat gembira. Masing-masing seronok mentertawakan orang.
Tetapi apabila terkena pada pada diri sendiri, merah padam muka dibuatnya. Melenting tak tentu pasal sehingga terkeluar segala sumpah seranah, yang sebelum ini tidak pernah dijangka. Pecahlah tembelang selama ini.
Saya langsung tidak berniat selekehkan mereka. Apa yang saya tulis itu berdasarkan logik akal, pemerhatian dan penelitian saya mengenai krisis yang berlaku dalam UMNO terutama Pergerakan Wanita.
Pada awal cerita, dua-duanya sudah capai kata sepakat, tetapi di pertengahan cerita, seorang daripadanya menafikan kata sepakat itu.
Kenapa? Itu yang bermain dalam fikiran dan saya terjemahkan dalam Sekilas Pandang Ahad lalu. Elok-elok kapal berlayar pada laluan betul, tidak semena-mena gatal tangan mengalih haluan. Bergeloralah jadinya.
Itu yang saya terjemahkan. Sekurang-kurangnya saya mengharapkan maklum balas, sama ada dalam bentuk negatif atau positif, pandangan atau cadangan, tetapi lain diharap, lain pula diterima. Cacian, maki hamun, celaan, herdikan dan kutukan yang saya dapat.
Tidak mengapa. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan dada yang lapang. Ia sedikit pun tidak menjadi kudis gatal atau meninggalkan kesan parut pada saya. Yang bakal menerima musibah daripada perpecahan ialah parti dan ahli, bukan pemimpin dan bukan juga saya.
Bagi saya, segala cacian itu ada hikmah tersendiri kerana ia akan menambahkan lagi ilmu atau pengetahuan saya mengenai tabiat manusia terutama dalam kelompok politik.
Orang politik selalunya tidak boleh ditegur.
Mereka anggap apa yang mereka buat semuanya betul. Hulur duit supaya undi seseorang pun dianggap amal jariah, bukan politik wang. Mencetuskan pertandingan pun dianggap demokrasi, walaupun akan menggalakkan perpecahan.
Ramai tidak mahu menerima teguran , walaupun ada yang buat-buat tidak faham. Mereka tuduh saya membantu Rafidah. Siapalah saya hendak membantu pemimpin itu. Beliau tidak pernah kenal saya dan saya pun tidak pernah bersua muka dengannya, kecuali kali pertama dan terakhir di pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pada tahun 1995.
Begitu juga Shahrizat. Kali pertama dan terakhir saya bersua dengannya Disember 2005. Ketika itu beliau berkempen membantu calon BN, Hanapi Mamat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Kelantan. Kami tidak pernah pun berkomunikasi. Jadi, dua-duanya bukan pemimpin idola saya. (Siaran 01hb Dis 2008)
Isnin, 1 Disember 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan