Usaha Barat kekang pejuang Islam Somalia
Oleh AZMI HASSAN
RESOLUSI Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberi kuasa kepada negara-negara yang memerangi kegiatan lanun berdekatan pantai Somalia untuk melancarkan serangan darat dan udara ke atas kubu lanun mendapat persetujuan sebulat suara 15 ahli majlis tersebut.
Keputusan tersebut mungkin tidak menghairankan kerana kegiatan lanun di laluan kapal yang agak sibuk terutama sekali di sepanjang Teluk Aden semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tidak terkawal.
Lanun dikatakan bermaharajalela kerana penempatan tentera laut di perairan tersebut
tidak mampu mengekang kegiatan lanun tersebut.
Kehadiran armada tentera laut dari negara hebat seperti Kesatuan Eropah, Rusia, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika Syarikat nampaknya langsung tidak diendah oleh lanun yang dikatakan berpengkalan di Somalia.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga tidak ketinggalan menghantar kapal perang untuk mengawal dan mengekang kegiatan lanun setelah dua kapal dagang beserta anak kapal Malaysia ditawan oleh lanun Somalia.
Tidak syak lagi kegiatan lanun yang melakukan rompakan bersenjata di laut perlu dihentikan bukan sahaja untuk menjamin keselamatan anak kapal dagang tetapi juga untuk kepentingan ekonomi dunia. Laluan alternatif sudah tentu akan meningkatkan kos pengangkutan secara mendadak.
Sememangnya kegiatan lanun tidak boleh dihapus dengan hanya menggunakan armada laut kerana perairan yang terpaksa dikawal adalah terlampau luas dan di luar jangkaan armada laut semua negara.
Tetapi faktor yang paling penting adalah lanun tersebut mendapat perlindungan di darat. Resolusi PBB yang memberi kebenaran kepada tentera asing mengunakan ruang darat dan udara Somalia sebagai sebahagian operasi menghapuskan lanun tersebut dilihat sebagai wajar.
Tetapi ada pihak juga sangsi terhadap tujuan sebenar resolusi PBB tersebut. Ada juga kalangan yang mempersoalkan mengapa AS begitu bersungguh-sungguh menghantar Setiausaha Negara, Condoleezza Rice untuk memujuk ahli Majlis Keselamatan yang lain bersama-sama dengan Washington menyokong meluluskan resolusi tersebut.
Kesangsian mempersoalkan motif sebenar Washington yang turut disokong oleh Moscow dan London ada kebenarannya kerana penglibatan AS dalam politik dalaman Somalia bukan sesuatu yang membanggakan.
Malah Indonesia sebagai salah sebuah negara yang menduduki kerusi Majlis Keselamatan telah berkeras membantah draf asal resolusi kerana dikatakan mencabuli kedaulatan Somalia.
Mengambil kira bantahan tersebut, resolusi terpaksa diubah yang mana penggunaan ruang darat dan udara hanya boleh dilakukan dengan kebenaran kerajaan sementara
Somalia.
Tetapi keberkesanan kerajaan Somalia dipersoalkan kerana mereka hanya menguasai sebahagian kecil bandar Mogadishu. Selebihnya dikuasai oleh puak pejuang berhaluan Islam yang terdiri dari dua kumpulan besar iaitu Al Shabab dan Islamic Courts Union.
Malah Presiden dan Kabinet kerajaan sementara Somalia sering bertelagah di antara satu sama lain yang mana Presiden Abdullahi Yusuf Ahmed beberapa hari lepas telah memecat keseluruhan menteri kabinet Perdana Menteri Hassan Hussein.
Ramai yang berpendapat Washington, Moscow dan London sebenarnya mahu menggunakan resolusi PBB sebagai batu loncatan untuk menyekat kemaraan kedua-dua kumpuan pejuang Islam tersebut dari mengawal sepenuhnya Somalia.
Pada ketika ini pejuang Al Shabab dan Islamic Courts Union sudah menghampiri Mogadishu dan besar kemungkinan akan menawan bandar tersebut.
Kerajaan sementara Somalia masih dapat bertahan sehingga ke hari ini disebabkan sokongan tentera pengaman Kesatuan Afrika (AU) terutama sekali tentera dari Habsyah yang berjumlah 3000 orang.
Kerajaan Habsyah dikatakan telah mengambil keputusan untuk mengundurkan tentera mereka dari Somalia pada Januari ini dan keputusan tersebut sudah tentu akan
turut diikuti oleh pasukan pengaman AU yang lain.
Jika ini berlaku maka mudah bagi kumpulan pejuang Islam menakluki Mogadishu dan seterusnya keseluruhan Somalia. Inilah senario yang mahu dielakkan oleh Washington kerana tidak mahu Somalia sekali lagi jatuh ke tangan pejuang Islam.
Tetapi hakikatnya hampir kesemua rakyat Somalia menyokong perjuangan kumpulan Islam ini kerana begitu bosan dengan kesengsaraan peperangan yang mereka lalui semenjak 17 tahun lalu.
Dalil ini diperkuatkan lagi kerana hampir 100 peratus rakyat Somalia adalah beragama Islam.
Perlu diingatkan bahawa di antara Jun dan Disember 2006, ketika Al Shabab dan Islamic Courts Union bergabung seketika untuk memerintah Somalia, tempoh tersebut paling aman bagi rakyat Somalia. Tidak ada berlakunya kegiatan lanun ketika kumpulan pejuang Islam tersebut memerintah Somalia.
Tetapi kerajaan gabungan kumpulan Islam tidak dapat bertahan lama gara-gara tingkah laku Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) yang bersekongkol dengan dengan beberapa puak Somalia untuk menjatuhkan kerajaan Islam Somalia.
Campur tangan Washington diburukkan lagi dengan Rumah Putih menyokong tentera Habsyah menjatuhkan kerajaan Islam Somalia dan menubuhkan kerajaan sementara sehingga ke hari ini.
Semenjak itu rakyat Somalia tidak pernah hidup aman kerana puak yang bertentangan bertelagah di antara satu sama lain dan kegiatan lanun langsung tidak dapat dikawal kerana ada pihak tertentu dalam kerajaan sementara mendapat habuan.
Masyarakat antarabangsa perlu sedar untuk mengamankan Somalia dan seterusnya menghapuskan kegiatan lanun, penyelesaian secara tentera tidak mampu menghuraikan masalah tersebut. Penyelesaian politik adalah kaedah terbaik yang mana kerajaan Somalia yang dibentuk mesti mendapat sokongan rakyat negara tersebut.
Buat masa ini sebahagian besar rakyat Somalia menyokong perjuangan kumpulan Islam seperti Al Shabab dan Islamic Courts Union tetapi agenda beberapa negara seperti AS, Rusia dan Britain yang menggunakan Majlis Keselamatan PBB sudah pasti akan membantutkan impian rakyat Somalia untuk mengecapi keamanan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan