Jumaat, 6 Februari 2009

Beginilah kalau tidak beringat...

Derhaka Nizar tidak boleh dipandang ringan - Muhyiddin

KENYATAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak.

Muhyiddin berkata 'keberanian' Mohammad Nizar menyanggah keputusan Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu, malah mahu mencabar Baginda di mahkamah, amat dikesali.

Katanya, semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sultan Perak kerana Baginda juga amat arif dalam bidang perundangan selaku bekas Ketua Hakim Negara.

"Lagipun ini demokrasi yang kita amalkan. Walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pembangkang, kita mesti hormatinya.


Penunjuk perasaan enggan beredar

SEBAHAGIAN besar penunjuk perasaan yang berhimpun di pekarangan Masjid Ubudiah masih enggan bersurai walaupun diarahkan berbuat demikian oleh salah seorang ahli jawatankuasa Pas Perak.

Sebahagian besar daripada mereka masih berkumpul di kawasan itu sambil melaungkan protes terhadap majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah.


Dr. Zambry angkat sumpah sebagai MB ke-11

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, baharu sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balai Istiadat Istana Iskandariah, di sini.


Gesa tarik balik anugerah Datuk Seri

GELARAN “Datuk Seri” yang dianugerahkan Sultan Perak Sultan Azlan Shah kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disaran ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, beliau kecewa kerana seorang pemimpin Melayu seperti Mohamad Nizar telah menunjukkan sikap biadap terhadap Sultan Perak dengan enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun dititah berbuat demikian.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang kepada krisis tersebut dan bersikap “lempar batu sembunyi tangan”.

“Saya amat kesal dan dukacita kerana pemimpin Melayu seperti beliau telah menunjukkan pekerti yang tidak baik kepada generasi muda dengan menderhaka kepada institusi Kesultanan Raja-Raja Melayu kerana lebih mengutamakan kepentingan politik.”


Sultan Perak ke Istana Iskandariah hadiri upacara angkat sumpah MB

SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah akhirnya berjaya memasuki Istana Iskandariah pada pukul 3.10 petang selepas Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal lalu lintas berikutan adanya perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah.

Pada pukul 3.15 petang pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) dilihat melepasi kawasan perhimpunan haram itu menghala ke istana untuk menghadiri upacara angkat sumpah.


FRU sekali lagi bertindak surai perhimpunan

POLIS Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa sekali lagi melepaskan gas pemedih mata apabila penyokong pembangkang yang berhimpun di atas jalan raya di hadapan Masjid Ubudiah enggan bersurai.

Anggota-anggota FRU terpaksa turun ke jalan raya bagi mengarahkan mereka mengosongkan jalan tersebut, ia bagi membolehkan kenderaan orang kenamaan menghala ke Istana Iskandariah bagi upacara angkat sumpah.

Tindakan tegas FRU itu, akhirnya sedikit demi sedikit membolehkan kenderaan boleh melalui jalan tersebut.


FRU kawal penyokong pembangkang serbu Istana Iskandariah

UNIT Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang kemaraan ribuan penyokong pembangkang menuju ke Istana Iskandariah bagi menghalang upacara angkat sumpah Menteri Besar yang baru.

Kebanyakan mereka lari bertempiaran menghala semula ke Masjid Ubudiah bagi menyelamatkan diri.

Sehingga kini mereka masih berhimpun di hadapan masjid tersebut sambil memegang kain rentang dan berteriak bagi menghalang upacara tersebut.


Keadaan di Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah terkawal

SUASANA di sekitar Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah di sini terkawal meski pun timbul ura-ura ribuan penyokong pembangkang akan bertindak menghalang upacara angkat sumpah menteri besar petang ini.

Tinjauan mendapati anggota polis diletakkan di merata tempat untuk memantau keadaan.

Jalan masuk ke istana dan Masjid Ubudiah juga disekat bagi mengelak kemasukan pihak yang berhasrat mencetuskan huru-hara.


Mohammad Nizar akan saman Sultan Perak

BEKAS Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ini.

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, langkah itu akan dilakukan berikutan Sultan Perak bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu sebagai tidak sah.

Pada sidang akhbar di pejabatnya di sini Karpal berkata, di dalam saman tersebut Sultan Perak akan dinamakan sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri Barisan Nasional yang baru di negeri itu sebagai defendan kedua.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran