Muhasabah diri, terima hakikat
BERCAKAP mengenai UMNO. Saya amat simpati dengan nasib parti Melayu ini kerana sering dikritik. Parti terbesar yang mengikut matlamat asalnya hendak membela orang Melayu ini dikecam kiri kanan, depan belakang dan atas bawah oleh pelbagai pihak termasuk ahlinya sendiri.
Kenapa dan mengapa, hanya pucuk kepemimpinan, ahli serta penyokongnya yang tahu apa krisis sebenar berlaku. Sebagai orang luar, saya sekadar menjadi pemerhati dan cuba menzahirkan atau menterjemahkan rasa kurang puas hati atau dengan kata lain, kepincangan yang tercetus secara rawak.
Pada pemerhatian saya, sejak mutakhir ini, apa sahaja luahan rasa kecewa, tidak puas hati, kritikan, cadangan dan pandangan mengenai UMNO yang dibangkitkan oleh golongan berautoriti sebagai ahli parti, semuanya dipandang sepi, tidak diambil iktibar atau pengajaran.
Malah dibalasnya dengan kenyataan berbaur negatif lagi menyakitkan hati. Inilah yang berlaku dan yang saya perhatikan. Sebagai contoh, seorang veteran UMNO yang bersama parti itu sebelum merdeka lagi, mengeluarkan cadangan agar sayap parti dibubarkan bagi mengelak gejala politik wang, tidak semena-mena veteran berpengalaman luas itu dikritik, diselar dan dikecam hebat.
Ada yang mengatakan cadangan itu tidak masuk akal dan menyamakannya seperti tikus membaiki labu. Agaknyalah, golongan ini lebih suka dengan UMNO sekarang. Tenat. Mereka bimbang kalau berlaku pemulihan, mereka tidak lagi menikmati kekayaan dan kemewahan sebagaimana diperoleh ketika ini. Mereka takut namanya tersingkir dalam senarai pemimpin.
Untuk peringatan kepada pemimpin UMNO yang ketika ini sedang leka dan lena, adalah wajar setiap teguran dan kritikan itu diambil kira atau dipandang serius. Jangan lagi ada jawapan bersifat retorik. Cuba muhasabah diri. Terima hakikat. Walaupun pahit dan pedih, mereka perlu akur. Perlu menerima hakikat demi masa depan Melayu dan parti.
Sekarang bukan masa untuk tidur atau yakin kapal bocor yang dinaiki mereka tidak akan tenggelam. Perjalanan masih jauh. Transformasi perlu dilakukan untuk menampal kebocoran. Membaiki kesalahan dan memperbetulkan kesilapan.
Kesilapan dilakukan UMNO adalah jelas. Ahli merungut, penduduk kampung kecewa, kenapa hanya seorang pemimpin peringkat akar umbi memegang sekurang-kurangnya tiga atau empat jawatan serentak. Tidak adakah orang lain yang lebih layak?
Jawatan Ketua cawangan dipegang oleh si A. Jawatan Penyelia Pembangunan Mukim, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga, Pengerusi Komuniti Bestari, Pengerusi Masjid dan Ketua Peti Undi pun dipegang oleh si A.
Tidak cukup dengan itu, jawatan Ketua Pemuda cawangan diberikan kepada anak lelakinya. Jawatan Ketua Puteri cawangan dipegang anak perempuannya dan jawatan Ketua Wanita cawangan pun diserahkan kepada isteri. Mana yang lain? Tidak layakkah mereka memegang jawatan itu.
Beginikah UMNO hendak berkembang maju dan berkembang biak? Protes yang ditunjukkan pengundi Melayu dalam pilihan raya, tidak kira umum atau kecil adalah kerana sistem tidak teratur ini. Tetapi jika dibangkitkan masalah itu, pucuk kepemimpinan enggan menerima alasan itu.
Mereka menyalahkan pengundi seratus peratus. Mereka menuduh pengundi tidak sedar diri, tidak berterima kasih, tidak tahu membalas jasa dan sebagainya. Mereka membangkitkan jasa mereka kepada rakyat, usaha mereka untuk ‘memajukan’ kampung dan bermacam-macam lagi. Hanya satu mereka lupa, mereka retorik kepada rakyat.
Ini punca kenapa UMNO hilang banyak sokongan, sama ada daripada golongan dewasa, suri rumah (wanita), remaja (pemuda, puteri dan putera) dan veteran. Walau seribu kali UMNO post-mortem pun, kalau perkara yang sama juga mereka lakukan, sejuta kali bedah siasat, UMNO tidak akan dapat mencari punca ‘kematian’ parti itu.
Sebenarnya, saya sedih keadaan UMNO sekarang. Tidak seperti di tahun 60 hingga 70-an dahulu. Ketika itu, ramai menolak untuk menjadi pemimpin kerana berasakan diri mereka belum layak. Mereka tidak mementingkan duit (wang), tetapi mereka utamakan DUIT (Doa, Usaha, Iltizam dan Takwa).
Berbeza pemimpin sekarang. Mereka menolak DUIT, mereka merebut duit. Tidak mustahil setiap kali tiba musim pemilihan jawatan, golongan mementingkan duit lebih ramai daripada DUIT menawarkan diri.
Hatta yang tidak lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) pun berebut-rebut hendak menjadi ketua, timbalan atau naib. Kenapa begitu jadinya? Kerana mereka sudah nampak duit akan datang mencurah-curah. (Siaran 2hb Feb 2009) Minta maaf kerana lewat create Sekilas Pandang.
Rabu, 4 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan