Isnin, 4 Januari 2010

Balah sama sendiri dah




Dipetik dari Facebook YB Zulkifli Nordin

Salam 2 all.
Ternyata YB Khalid Samad ketandusan hujah bila berdepan dengan pandangan saya menyanggah kenyataan beliau yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Kristian diberikan hak menggunakan nama ALLAH sebagai Tuhan mereka dalam bentuk ALLAH mempunyai anak bernama Jesus.

Saya telah memberikan pandangan menyanggah tiga alasan yang beliau kemukakan berdasarkan nas, dalil, bukti dan fakta yang saya yakin benar. Malahan ternyata kepimpinan PAS sendiri menyokong pandangan saya.

Di antaranya temasuk Mursyidul Am PAS sendiri YAB Tok Guru Nik Aziz yang membantah Kristian diberi hak mengguna nama ALLAH dalam bentuk yang syirik. Timbalan Presiden PAS YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa turut sama menyokong saya sebagaimana seperti yang disiarkan oleh akhbar-akhbar perdana hari ini.

Mereka juga turut memberikan hujah-hujah, nas dan dalil yang mantap untuk menyokong pendirian mereka. Tetapi bagaimana cara YB Khalid membalas hujah-hujah ini; beliau sekadar melabelkan pandangan ini dengan melabelnya sebagai pro-UMNO.

Tidak mampu berdepan dengan hujah, beliau mematikannya dan cuba menyelewengkan pandangan dengan melabel pandangan orang lain. Ini ternyata menunjukkan ketidakmatangan dalam berhujah! Pelajar tadika pun lebih baik akhlaknya dalam meraikan perbezaan pendapat.

Beliau menyatakan saya tidak ada hak untuk menegur beliau. Apakah saya sebagai wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak berhak menegur beliau. Sokongan beliau kepada pihak Kristian mungkin akan menggembirakan segelintir kumpulan, tetapi apakah beliau fikir Pakatan Rakyat tidak memerlukan sokongan dan undi umat Islam, apakah bangsa Melayu terlalu murah pada fikiran beliau sehingga boleh diketepikan begitu sahaja perasaan dan sentimen mereka.

Sebagai wakil rakyat PR saya berhak menegur supaya Pakatan Rakyat tidak kehilangan sokongan dan undi umat Islam dan bangsa Melayu. Saya berani menegur beliau agar rakyat terutamanya umat Islam bangsa Melayu meletak keyakinan dan kepercayaan bahawa PR bukan sahaja akan membela kaum dan penganut agama lain, malahan PR juga komited untuk mempertahan dan membela umat Islam termsuk bangsa Melayu.

Kalau saya diberi maklum oleh kepimpinan PR bahawa agenda Islam dan Melayu tidak ada dalam PR, maka saya tidak akan teragak-agak keluar daripada PR.

Namun saya berbangga dan kagum kerana pemimpin besar PR sendiri iaitu DSAI telah berkali-kali menegaskan, sama ada secara private mahupun secara terbuka, bahawa PR tetap komited terhadap perjuangan umat Islam dan bangsa Melayu di samping tidak menafikan hak dan kebajikan kaum dan penganut agama lain selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Malah saya sangat selesa bersama dengan Pakatan Rakyat kerana adanya Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Tuan Guru Dr Harun Din, Dato’ Ismail Kamus dan banyak lagi ulama dan ilmuan Islam yang masih lagi waras dalam pemikiran dan tindak-tanduk mereka berdasarkan Islam dan perjuangan ikhlas ini.

Namun malang karektor dan watak saperti YB Khalid dan yang sewaktu dengannya telah memberi tanggapan dan imej negatif dan buruk kepada perjuangan Islam di dalam Pakatan Rakyat.

Ramai di kalangan umat Islam dan bangsa Melayu hampir kehilangan keyakinan dengan perjuangan Islam dan bangsa Melayu dalam Pakatan Rakyat kerana adanya karektor dan spesies seperti YB Khalid ini.

Jika dibiarkan tanpa teguran dan amaran kepada spesis saperti ini, saya cukup yakin sokongan dan keyakinan umat Islam dan bangsa Melayu terhadap Pakatan Rakyat akan terhakis dan pudar.

Saya memberi amaran kepada YB Khalid dan mereka yang sewaktu dengan beliau perlu ingat, majoriti penduduk dan pengundi dalam negara Malaysia ini masih orang Melayu beragama Islam!

Jangan ingat kerana orang Melayu beragama Islam bertolak ansur dan bersabar, tidak bising dan tidak riuh rendah maka mereka boleh ditolak-tolak dan diperkotak-katikkan.

Kelak nanti mereka akan menghukum Pakatan Rakyat sekiranya spesies seperti YB Khalid ini terus dibenarkan bermaharajalela.

Teguran saya secara ikhlas dan terbuka terhadap beliau berdasarkan hujah bernas dan berdalil itu tidak lain hanyalah untuk menunjukkan kepada umat Islam bangsa Melayu di Malaysia bahawa dalam Pakatan Rakyat nasib dan maruah umat Islam masih dibela dan dipertahankan, agar mereka terus yakin dan menyokong Pakatan Rakyat.

Sebab itu saya mengambil sikap menegur beliau dengan secara terbuka, kerana beliau mempermainkan perasaan dan sentimen umat Islam bangsa Melayu secara terbuka. Apakah beliau sudah merujuk kepada ‘ulama dan ilmuan dalam PAS sebelum mengambil sikap dan membuat kenyataan menyokong puak Kristian secara terbuka.

Ternyata tidak, kerana pendirian beliau bercanggah samasekali dengan pandangan dan pendirian Mursyidul ‘Am dan kepimpinan PAS. Malahan beliau pernah ditegur secara tegas dan terbuka oleh ulama’ PAS YB Ustaz Taib Azzamuddeen dalam sidang Parlimen berkaitan isu ALLAH Kristian ini, sehingga ianya tercatat dalam Hansard Parlimen.

Saya sendiri sebelum membuat kenyataan dan ulasan mengenai isu ini telah merujuk kepada beberapa orang ulama’ termasuk kepimpinan PAS, juga para ‘ilmuan dan intelek termasuk peguam kanan dan mereka yang arif dalam isu ini.

Malah saya telah membuat kaji selidik dan pertanyaan kepada kalangan rakan Kristian termasuk digereja mengenai pandangan mereka sebelum membuat ulasan saya dalam isu ini.

Saya mengambil sikap yang mudah. Siapa yang menghina Islam, maka mereka adalah musuh saya walaupun duduk satu parti dengan saya. Sesiapa yang membela dan mempertahankan Islam adalah sahabat saya walaupun berlainan parti.

Dan saya sedikit pun tidak gentar atau takut dengan celaan mereka yang mencela. Saya tetap akan berkata yang hak walaupun pahit untuk ditelan. Yang penting Islam mesti dipertahankan, maruah umat Islam mesti dibela “at all cost”!!

Sekiranya ulasan dan komen saya tidak betul, sila tunjukkan dimana ianya tidak betul berdasarkan hujah, nas, dalil dan bukti serta fakta. Kalau setakat melabel pandangan saya sebagai pro UMNO tanpa nas, fakta dan dalil, saya kira itu adalah sekadar pilitik hingusan yang langsung tidak menunjukkan kematangan dalam berpolitik.

Saya ingat pelajar Tadika Pasti lebih bijak dalam hal ini. Tetapi begitulah cara politik murahan yang di amal oleh segelintir manusia. Saya merujuk semula pandangan dan komen saya dalam kes Nik Amalina anak Tok Guru Nik Aziz yang memberi komen dan teguran terhadap segelintir mereka yang tidak mempertahankan ayahandanya.

Bukan sahaja mereka tidak menjawab hujah dan teguran Nik Amalina dengan nas dan hujah yang bernas, mereka cuba menutup mulut Nik Amalina dengan melabel beliau sebagai pembuka pekung, pengkhianat parti dan lain-lain. Na’uzubillah min zaalik.

Saya telah mengemukakan bukti dan fakta bagaimana tindak-tanduk YB Khalid bercanggah dengan arus perjuangan PAS. Malah sikap beliau adakalanya memalukan PAS dan kepimpinannya sendiri.

Sebab itu saya sekali lagi menyeru YB Khalid supaya menimbang untuk keluar daripada PAS, kerana saya berpendapat sikap dan tindak-tanduk beliau akan menghakis kepercayaan dan keyakinan umat Islam kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Malah saya berpendapat sikap dan tindak-tanduk beliau lebih sesuai untuk beliau duduk bersama dengan DAP. Tetapi itu hak beliau untuk memikirkannya.
Wallahu a’lam dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
178 Muharram 1431
04 Januari 2010


(Petikan Sinar Harian Isnin 18 Muharram 1431/ 04.01.2010)

Khalid anggap Zulkifli terperangkap dalam helah UMNO

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, menyifatkan desakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin supaya beliau keluar daripada Pas sebagai kenyataan jahil yang sealiran dengan UMNO.

Beliau juga menganggap desakan itu perkara remeh dan menasihatkan Zulkifli berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan, terutama yang melibatkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Zulkifli sendiri perlu keluar PKR dan sertai Pas jika hendak memberi kenyataan seperti ahli Pas dan mengkritik Pas. Beliau bukan ahli Pas. Mengapa masuk campur hal Pas, malah kenyataan beliau memperlihatkannya seperti pemimpin yang tiada pendirian.

“Saya tidak komen apa-apa mengenainya walaupun dalam PKR beliau banyak buat hal. Beliau tidak layak menggesa ahli Pas dipecat malah dinasihatkan memberi keutamaan kepada partinya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam ketika diminta mengulas kenyataan Zulkifli melalui blognya yang mendesak Khalid keluar Pas dan menyertai parti lain, terutama DAP, berikutan kenyataannya menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald- The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.

2 ulasan:

fairusrazak berkata...

Ni yang payah kalau semua dah berlainan pendapat. Sudahnya bertikam lidah lah mereka itu....ish..ish..ish

10 BUDAK HITAM berkata...

Assalamualaikum saudara,

Dalam kita bersama-sama menongkah arus dan memperjuangkan setiap idea dan pendekatan ke arah kemakmuran dan keamanan sejagat,saya mohon jasa baik saudara untuk letakkan blog saya,

http://10sibudakhitam.blogspot.com/

dalam blog list saudara.Blog saudara juga telah saya masukkan dalam list saya agar kita dapat sama-sama berkongsi memartabatkan agama dan bangsa tercinta.

Saya dengan ini juga secara rasminya menjadi followers blog saudara.

Dalam memantapkan ukhwah dan merapatkan saf, harapan saya agar dapat kita sama-sama jadi followers blog dan buktikan pengikut kita lebih ramai bersatu-padu dalam menegakkan agama,bangsa dan negara.Tunjukkan inilah generasi maya yang bersatu dalam perjuangan di alam siber.

Menjadi followers di blog saya di http://10sibudakhitam.blogspot.com, saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Salam ukhwah dari 10 Si Budak Hitam..Assalamualaikum.