Perit guna pengangkutan tambang mahal
"Berapa pakcik?"
"RM12..." jawabnya ringkas.
Saya terkedu seketika mendengar jumlah itu. Bagaimanapun, saya tanya sekali lagi, bimbang kalau-kalau kedua-dua telinga saya tersalah dengar. "Berapa ringgit pakcik?". Dengan selamba sambil menarik tuala 'good morning' di bahunya, dia menjawab lagi "RM12".
Sambil mengeluarkan dompet dari poket seluar, otak saya ligat bertanya, betul ke apa yang aku dengar ni? Logikkah perjalanan tidak sampai pun tujuh minit dan jarak dari stesen bas ekspres Seksyen 17 ke pejabat aku di Seksyen 15 tidak sampai pun empat kilometer, kadar tambangnya RM12?
Tambahan pula, ketika itu waktu baru jam 8 malam, bukan 4 atau 5 pagi. Keadaan di jalan raya pula agak tenang, tidak sibuk, tidak juga sesak sebagaimana di Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Kesas.
Mungkin aku tersalah dengar lagi barangkali. Tetapi mustahil aku tidak dengar kerana suara kali kedua pakcik itu agak kuat sedikit daripada suara yang mula-mula tadi. Dan memang sah pun sebutannya jelas iaitu dua belas ringgit.
Tanpa banyak bercakap, saya keluarkan duit sebanyak RM12 dan hulurkan kepadanya. Saya buka pintu dan keluar dari teksi itu. Masya-Allah, dia tinggalkan aku di seberang jalan, sepatutnya di depan pintu masuk ke pejabat. Nak tak nak, terpaksalah saya melintas jalan dan berjalan kaki pula lebih kurang 200 langkah menuju ke pejabat.
Itu kes pertama. Aku pendam dan diam.
Seminggu kemudian, di stesen komuter Seksyen 19, juga di Shah Alam, saya mengambil sebuah teksi di situ dan memaklumkan kepada pemandunya yang saya hendak ke Taman Sejahtera. Jaraknya kalau melalui lebuh raya Alam Impian yang dalam pembinaan itu adalah sekitar lima ke enam kilometer sahaja.
Naiklah teksi yang pemandunya sentiasa murah dengan senyuman dan bercakap banyak itu. Tak sampai 10 minit, tak puas pun dengar bebelan pemandu yang boleh dikategorikan sebagai pakcik itu, tiba-tiba destinasi dituju pun sampai. Seperti biasa saya turun dari teksi dengan riang dan bertanya berapa tambangnya.
"RM35," jawab pemandu yang saya sangka sebagai insan mulia keluar rumah mencari rezeki halal itu.
"Kenapa mahal sangat? Kalau mengikut meter, baru RM6," kata saya yang tidak berpuas hati dengan sikap pemandu teksi meletakkan harta sesuka hati mak ayah dia.
"Laluan ini kosong, saya kena balik (ke stesen komuter Seksyen 19) tanpa penumpang," katanya cuba membetulkan keadaan.
"Itu pakcik punya pasallah. Saya naik teksi pakcik kerana perkhidmatannya menggunakan meter, bukan letak sesedap mulut," tengking saya yang mula naik darah.
Iyalah, siapa tidak marah kalau berhadapan dengan pemandu teksi yang cekik darah begini. Tauke balak pun boleh lingkup kalau selalu gunakan perkhidmatan pengangkutan awam bergelar teksi ini.
Setelah berlaku sedikit 'pertengkaran', saya mencapai telefon bimbit dan cuba menghubungi talian hotline Lembaga Pengangkutan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk mengadu masalah yang berlaku.
Menyedari tindakan saya itu, pemandu berkenaan kemudian menurunkan jumlah tambang kepada RM25. Saya berkeras mahu bayar mengikut angka yang tertera pada meter iaitu RM6, tetapi dia pula tengking dan memutuskan saya membayar RM10.
Dengan perasaan lega, saya menghulurkan RM8 ke tangannya dan terus berlalu tanpa menghiraukan leterannya yang kemudian kedengaran memecut kenderaan ke lokasi di Seksyen 19. Mesej yang hendak saya sampaikan di sini ialah beginilah perkhidmatan teksi di negara maju.
Sesekali fikir lebih baik saya gunakan khidmat 'prebet sapu'. Di Kelantan, guna perkhidmatan ini, walaupun beroperasi secara haram, ciri-ciri keselamatan tidak ada, tetapi perjalanan sejauh 20 kilometer, tambangnya baru RM5. Malah, penumpang dihantar sehingga ke anak tangga rumahnya. Siaran 15hb Mac 2010
Khamis, 18 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan