Khamis, 18 Mac 2010

Yeop: Hati-hati pilih wakil rakyat

Yeop terharu dan sedih melihat keadaan Rubin Bakar di Kampung Matang Gerdu. Keadaan fizikal si penggali kubur yang berusia 74 tahun ini sangat lemah sekali. Badannya yang kurus kering, menceritakan 1001 keperitan hidup ditanggungnya selama ini.
Apakah sikap wakil rakyat, setelah media menyiarkan kisah penderitaan masyarakat daif di kawasan mereka, baru tindakan akan diambil? Itu hanya akan, bukan hendak. Atau setelah dipaparkan di dada akhbar, maka sibuklah wakil rakyat tampil membuat kenyataan, kononnya dalam perhatian? Selama mana ia dalam perhatian? Adakah ia hanya dalam perhatian setelah pihak akhbar dapat menghidunya?
Sebelum ini, sebelum media melaporkan, masyarakat yang menderita ini tidak pernah dipedulikan. Banyak kes melibatkan derita masyarakat yang dipaparkan adalah golongan yang terpinggir daripada pemerhatian wakil rakyat atau barisan jentera khidmatnya. Mereka hanya sedar setelah didedahkan oleh media.
Beginilah selalunya. Entah apa yang dibuat oleh wakil rakyat sehinggakan penderitaan ditanggung anak mukim dalam kawasannya pun tidak diketahui atau sengaja buat-buat tidak tahu. Yeop sedih dengan sikap wakil rakyat hari ini. Susah nak cari wakil rakyat zaman selepas perang Jepun dulu.
Dulu wakil rakyat bekerja untuk rakyat. Harta mereka diagih sama rata dengan rakyat. Kalau ada beras segantang, tiga cupak untuk rakyat, satu cupak lagi untuk mereka sekeluarga. Sekarang ini, bukan saja beras satu gantang tidak dibahagi, rakyat yang perlukan perhatian pun tidak diambil peduli.
Mereka lebih kepada sikap bermuka-muka, terutama kalau hendak menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan, mereka menjemput pihak media hadir bersama dan bergaya di depan kamera menghulurkan bantuan. Nak tunjuk mereka adalah wakil rakyat prihatin.
Yeop memang dari dulu, kini dan selama-lamanya tidak suka kepada wakil rakyat jenis ini. Mereka lebih suka menunjuk daripada berkhidmat secara amanah dan bertanggungjawab. Barangkali beginilah sikap manusia hari ini. Berubah mengikut situasi dan keadaan. Semangat patriotik lama ditinggalkan, semangat baru yang bagaikan plastik diambil dan diguna pakai sewenang-wenangnya.
Akhirnya penduduk seperti Rubin menjadi mangsa. Seolah-olah khidmat ketika dia sihat dulu tidak pernah dipedulikan. Malah disisihkan sehingga dia menanggung penderitaan yang amat berat dalam menghabiskan sisa hidup yang ada bersama keluarga. Siaran 18hb Mac 2010

Tiada ulasan: