Sinar Harian
Tan Melaka
Memanglah wajar bagi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempertahankan Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong daripada tuduhan biadab yang dibuat Presiden Perkasa, Ibrahim Ali kerana beranggapan Wee telah menyentuh Hak Istimewa Orang Melayu berhubung biasiswa Mara kepada anak-anak Melayu.
Wee menjelaskan maksudnya ialah apabila biasiswa JPA dihapuskan kepada pelajar-pelajar, maka tidaklah ada lagi peluang biasiswa kepada pelajar bukan Melayu, tetapi pelajar Melayu masih ada biasiswa Mara.
Dalam hal ini, nampak Ibrahim Ali melulu dan keterlaluan dan Khairy menonjolkan sikap yang rasional, sesuai dengan usaha untuk pemupukan semangat Barisan Nasional dan 1Malaysia.
Bagaimanapun apabila Khairy mengecam Ibrahim sebagai penghalang kepada gagasan 1Malaysia dan menjalankan pendekatan politik kampung, maka terdedahlah kebenaran persepsi terhadap Ketua Pemuda UMNO itu, bahawa beliau tidak menghayati politik akar umbi UMNO dan tidak menyedari kesilapan politik Kampung Modennya (Modern Village) yang menyumbang kepada kemerosotan pengaruh dalaman dan luaran UMNO.
Khairy juga tidak membuat perhitungan politik masa depannya apabila menganggap Ibrahim tidak wajar membuat teguran itu kerana beliau bukan anggota UMNO. Khairy tidak nampak sebahagian besar daripada orang Melayu yang menyokong Perkasa sekarang ini bukan sahaja orang luar, tetapi ramai daripada ahli-ahli UMNO sendiri.
Ibrahim dapat menjadikan Perkasa saluran orang UMNO yang tidak berpuas hati dengan UMNO dan juga penyokong-penyokong UMNO yang bukan ahli UMNO untuk menyalurkan perasaan dan fikiran menerusi saluran betul dan terkawal secara konstruktif dan tidak bersifat anti UMNO, tidak boleh dinafikan.
Ini adalah suatu kejayaan yang dicapai Ibrahim, malah sumbangan yang sangat bererti kepada membina semula kepercayaan Melayu atas pagar terhadap UMNO setelah Tsunami 2008.
Harus diingatkan bahawa tidak semua yang menyokong calon UMNO atau Barisan Nasional (BN) dalam tiap pilihan raya adalah ahli UMNO, tetapi mereka yang di atas pagar yang melihat kebenaran perjuangan UMNO selama ini.
Penolakan UMNO dan BN dalam pilihan raya 2008 adalah kerana beberapa kesilapan dilakukan terhadap asas-asas kekuatan UMNO dan BN yang dibina pemimpin-pemimpin besar UMNO, terutama Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir sendiri, malah lebih buruk lagi apabila Tun Dr Mahathir cuba dibawa ke mahkamah.
Dalam beberapa hal, kegelojohan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Khairy untuk mengambi alih kepimpinan UMNO daripada veteran UMNO tanpa mengira, sama ada mereka telah menyumbang kepada kekuatan BN atau tidak, telah memberi sumbangan besar terhadap pengikisan moral ahli-ahlinya dan juga penyokong di luar UMNO.
Khairy telah mengambil kesempatan daripada kedudukan bapa mertuanya untuk menaikkan kedudukannya dalam UMNO dan menggunakan TV3 dan NST serta lain-lain media untuk menjalankan perang saraf terhadap musuh-musuh politiknya atau pemimpin-pemimpin UMNO yang berpotensi untuk menjadi penghalang kepada cita-citanya, tidak boleh lagi dilindungi oleh sehelai lalang.
Demikianlah juga sikap pemuda UMNO dalam berusaha mengetepikan pengaruh Tun Dr Mahathir dan menyokong gerakan-gerakan untuk menggelapkan warisan kepimpinannya menerusi NST, di samping berusaha memperbaiki hubungan dengan Anwar Ibrahim yang telah disingkirkan. Sekalipun mereka yang menyokong usaha ini di NST telah disingkirkan, tetapi luka lama tetap berdarah.
Kerana tidak memahami perasaan UMNO inilah maka Khariy telah berani bertindak menghantar pasport kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk berubat keluar negara selepas dia dibebaskan yang sangkanya akan menjadikannya popular, tetapi sebaliknya menimbulkan reaksi marah terhadapnya daripada dalam UMNO sendiri.
Beliau tidak memahami perasaan orang UMNO terhadap Dr Mahathir pada masa itu dan mempunyai anggapan bahawa masih ramai penyokong Anwar dalam UMNO, dan dengan berbuat demikian akan mencemerlangkan masa depannya. Berikutan dengan itu berbagai kenyataan dan langkah terpaksa diambil bagi menenteramkan perasaan ahli-ahli UMNO.
Maka apabila Khairy tidak dapat membaca kesan daripada usaha Perkasa untuk mengembalikan sokongan ramai kepada UMNO, termasuk akibat kerosakan yang dilakukannya, malah menggagapnya sebagai menjalankan politik kampung, maka ternyatalah beliau benar-benar tidak tahu menilainya, tidak mengenalinya dan tidak menghayati politik kampung.
Tepat sekali sindiran Ibrahim, bahawa Khairy lebih memahami politik Oxford yang tidak berjejak kepada bumi Malaysia yang penonjolan amalannya telah menyebabkan rakyat kampung berasa terasing daripada Pemuda UMNO dan kepimpinan Abdullah Badawi berbanding Tun Dr Mahathir yang sekali pun fikirannya mencapai awan, tetapi kakinya tetap di bumi.
Khairy tidak memikirkan kesan politik kepada dirinya sendiri atau pendedahan sikapnya yang tidak berjejak di bumi nyata apabila beliau menyifatkan Ibrahim sebagai “jaguh politik kampung dalam zaman globalisasi, sudah lapuk dan sudah tidak laku lagi”
Hal ini menyerlahkan kebenaran, bahawa penolakan ramai termasuk ahli-ahli UMNO sendiri yang tersinggung dan merajuk kepada UMNO dalam pilihan raya 2008 adalah kerana Pemuda UMNO tidak menghargai politik kampung, sombong dan bongkak dan tidak dapat mengaitkan globalisasi sebagai glocal seperti yang telah dihasratkan Datuk Seri Najib sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan