Ahad, 20 Jun 2010

Hukum solat Jumaat bagi Muslimat

Solat Jumaat adalah solat yang ditunaikan pada hari Jumaat. Kewajipan menunaikannya adalah perkara yang telah diijmakkan oleh seluruh ulama muslim.

Solat Jumaat hendaklah ditunaikan dengan berjamaah. Kewajipan menunaikannya diberatkan kepada muslim, lelaki, berakal, merdeka, baligh, bermukim dan berkemampuan untuk menunaikannya.

Adapun yang lain dari itu, tidak diwajibkan kepada mereka solat Jumaat, bahkan yang wajib bagi mereka adalah menunaikan solat Zohor.

Sabda Nabi SAW;
الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة: عبد مملوك، أو امرأة، أو صبي، أو مريض

Maksudnya;
"Jumaat adalah hak yang wajib atas setiap muslim dengan jamaah melainkan empat, iaitu hamba yang dimiliki, atau perempuan, atau kanak-kanak, atau orang sakit"


Sabda Nabi SAW lagi;
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فعليه الجمعة إلا امرأة ومسافراً وعبداً ومريضاً

Maksudnya;
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan solat Jumaat melainkan perempuan, orang bermusafir, hamba dan orang yang sakit[4]”


Walaupun begitu, sekiranya perempuan atau muslimat menunaikan solat Jumaat bersama dengan kaum lelaki, maka tidak perlu lagi mereka menunaikan solat Zohor, bahkan memadai dengan solat Jumaat yang mereka tunaikan.

Keadaan ini disandarkan kepada wanita-wanita di zaman Nabi yang hadir di masjid dan menunaikan solat Jumaat bersama Baginda SAW.

Hukum Muslimat solat Jumaat

Melihat kepada ulasan di atas, didapati bahawa muslimat tidak diwajibkan menunaikan solat Jumaat. Lalu, apakah hukum muslimat yang tetap menghadirkan diri mereka untuk menunaikan solat Jumaat?

Menurut Al-Fadhil Dr As-Syaikh ‘Atiyyah Saqqar didalam kitab “Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam fi Al-Fatawa wa Al-Ahkam”. Beliau menyatakan, ulama membahaskan perkara ini seperti berikut;

Ahnaf: Yang paling afdhal bagi perempuan menunaikan solat zohor di rumahnya, samada perempuan itu tua atau muda.

Malikiyyah: sekiranya perempuan itu bersangatan tua yang tidak menarik perhatian lelaki, maka harus bagi perempuan itu menunaikan solat jumaat. Adapun sekiranya perempuan itu boleh menarik perhatian kaum lelaki yang tidak membawa fitnah, maka hukum menghadiri solat jumaat adalah makruh. Adapun boleh mendatangkan fitnah, maka hukumnya adalah haram.

Hanabilah: diharuskan perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya tidak berhias. Adapun berhias, maka hukumnya adalah makruh.

Syafiiyyah: makruh perempuan menghadiri solat jumaat sekiranya ianya boleh disyahwati, walaupun ianya dengan memakai pakaian tebal sekalipun. Begitujuga, makruh perempuan menghadiri solat jumaat, sekiranya ianya tidak disyahwati, tetapi dia berwangi-wangian atau berhias.

Pun begitu, ulama-ulama menyatakan haram kehadiran perempuan kepada solat jumaat yang boleh menimbulkan fitnah[7].

Dari perbahasan ini, dapat dilihat, perdebatan dikalangan ulama tentang keizinan ulama ini sehabis-habis rendah pun adalah “keharusan” sahaja. Yang ianya tidak membawa amalan itu sebagai amalan yang dituntut, samada berbentuk sunat atau wajib.

PERKARA HARUS BUKAN TUNTUTAN
Setelah dilihat, serendah-rendah hukum yang boleh diberikan kepada kehadiran perempuan dalam solat jumaat adalah harus, maka dalam perbincangan ini perlu di perjelaskan, adakah harus ini adalah perkara tuntutan atau tidak?

Berdasarkan kepada definisinya, Harus adalah salah satu dari jenis-jenis hukum taklifi.

Harus memberi maksud "khitab yang menunjukkan kepada pemberian pilihan terhadap mukallaf antara melakukan perbuatan atau meninggalkan perbuatan" atau "perkara yang tidak dikaitkan dengan perbuatannya itu mendapat pujian dan celaan"

Ulama fiqh dan ulama usul Fiqh sepakat menyatakan, harus adalah amalan yang tidak berbentuk suruhan (sama ada suruhan buat atau suruhan tinggal). Pendapat ini menyalahi Kha’bi dan pengikut-pengikut pendapat mu’tazilah.

Dari ini, difahami bahawa, perkara harus bukanlah satu tuntutan. Maka dengan itu, secara taklifinya, tuntutan hak muslimat untuk menunaikan solat jumaat adalah satu yang tidak tepat.

HARUS BOLEH BERTUKAR KEPADA TUNTUTAN
Pun begitu, tidak dinafikan, sesuatu perkara yang hukumnya taklifinya adalah harus, kadangkala boleh bertukar hukumnya kepada tuntutan, samada wajib atau sunat, atau bertukar hukumnya kepada larangan, samada haram atau makruh.

Asal hukum makan adalah harus, tetapi sekiranya dengan tidak makan menyebabkan mudharat kepada tubuh, maka hukum harus itu bertukar menjadi wajib, yang memberi maksud, dengan tidak makan itu boleh memudharatkan tubuh, maka tidak makan hukumnya adalah haram.

Pertukaran hukum harus kepada wajib atau haram atau sunat atau makruh ini disebut dalam ilmu usul Fiqh sebagai "Hukum Wadii".

Maka dengan itu, dalam perkara yang melibatkan kepada muslimat untuk menunaikan solat jumaat, adakah perdebatannya boleh membawa kepada kepada tuntutan sehinggakan muslimat mesti melakukan tuntutan hak untuk menunaikan solat jumaat bersama kaum lelaki?

Sekiranya alasan untuk mendengar khutbah, maka alasan ini tidaklah dikira sebagai alasan yang kukuh. Ini adalah kerana di Malaysia, radio Malaysia menyediakan ruang untuk mendengar khutbah yang disampaikan oleh imam-imam masjid.

Maka dengan itu, pandangan ini perlu dinilai dengan alasan-alasan yang kukuh. - Al-Bakistani

2.
Tidak ada khilaf bahawa perempuan tidak diwajibkan solat jumaat. Ibnu Munzir telah berkata dalam kitabnya (Ijmak):

"Telah bersepakat semua ulama yg kami tahu; tidak wajib solat jumaat kpd wanita."

Dalilnya adalah hadis Nabi s.a.w:
(الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة:عبد مملوك أو إمراءة أو صبي أو مريض)


Maksudnya: Solat Jumaat adalah hak yang wajib bagi setiap Muslim secara berjemaah, melainkan empat golongan: 1. Hamba sahaya. 2. Perempuan. 3. Budak yang tidak baligh. 4. Pesakit. (HR Abu Daud).

Perempuan yang pergi solat Jumaat
Perempuan dibenarkan pergi solat Jumaat, walaupun sembahyang di rumah lebih baik. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:
(لاتمنعوا نساءكم المساجد وبيوتهن خير لهن)

Maksudnya: Jangan kamu tegah isteri dan anak perempuan kamu untuk solat di masjid; solat di rumah lebih baik bagi mereka.(HR Abu Daud)

Jika mereka hendak ke masjid hendaklah mereka dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah seperti memakai wangian dan sebagainnya.

Nabi bersabda:
(لا تمنعوا إماء الله المساجد ولكن ليخرجن تفلات)

Maksudnya: Janganlah kamu tegah wanita-wanita di bawah tanggunganmu ke masjid; tetapi hendaklah mereka keluar dengan tidak memakai wangian.(Bukhari dan Muslim)

Ke masjid pun tidak boleh wangi-wangian, inikan ke tempat-tempat lain. Wanita hendaklah tidak menjadikan diri mereka fitnah pada lelaki. Lelaki pula janganlah cuba menimbulkan fitnah pada diri wanita. Berhati-hatilah pada tipu daya nafsu dan syaitan.

Adakah perlu melakukan solat Zuhur?
Perempuan yang sudah solat Jumaat tidak perlu solat Zuhur.

Ibnu Munzir berkata:
Para ulama telah bersepakat mana-mana wanita yang telah solat Jumaat, maka itu mencukupi baginya (tidak perlu buat solat Zuhur) kerana gugur solat Jumaat adalah satu keringanan bagi mereka. Jika mereka buat yang lebih susah, maka ianya memadai seperti orang yang sakit.
- Rujukan: Fehul Marah oleh Dr Jasim...Ghurfati

3.
Katakanlah saya dalam perjalanan jauh pada hari Jumaat. Pada waktu Zohor, abang saya berhenti di sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat.Soalannya, adakah saya juga perlu menunaikan solat Jumaat sedangkan saya adalah perempuan?

Keputusan:
Bagi musafir tidak perlu menunaikan solat Jumaat.Dia hanya perlu solat Zohor, tetapi sekiranya dia solat Jumaat ianya sah dan ia tidak dikira sebagai ahli Jumaat. Bagi wanita tidak wajib solat Jumaat sama ada waktu bermusafir ataupun bermukim.

2 ulasan:

arol berkata...

assalamualaikum...
nk tanya..
1. apakah hukum pergi sembahyang jumaat bagi orang yg sakit?

MZ berkata...

Solat Jumaat adalah suatu kewajipan yang ditetapkan agama. Ia bukan sahaja dilakukan oleh Rasulullah s.a.w bahkan ia juga telah disebut di dalam Al-Qur’an.

Jika seorang lelaki Islam tidak melakukannya, maka ia dianggap sebagai dosa besar. Malah, hukum menunaikan solat Jumaat lebih ditekankan dibandingkan dengan solat lima waktu oleh Rasulullah s.a.w yang telah bersabda bahawa mereka yang tidak melakukan solat Jumaat selama 3 kali berturut-turut bukanlah seorang Islam. Disini Rasulullah bermaksud untuk menerangkan betapa pentingnya solat Jumaat dan betapa besarnya dosanya jika tidak melakukannya. Lelaki Islam yang tidak dapat menunaikannya haruslah menggantikannya dengan solat Zuhur. Akan tetapi, ia hanya diterima jika ia kerana sebab-sebab berikut; jika terlalu sakit, jika terpaksa jaga orang yang sakit tenat, jika terdapat ribut taufan yang besar atau jika dalam keadaan bermusafir.