Rabu, 19 Disember 2012

Usah terpengaruh kiamat Jumaat ini

Umat Islam tak boleh percaya ramalan, perlu ganda amalan

Umat Islam diingatkan supaya tidak terpengaruh atau mempercayai ramalan bahawa kiamat akan berlaku Jumaat ini (21hb Dis 2012).

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sebagai umat Islam mereka perlu yakin kiamat pasti berlaku pada Jumaat, namun bila tarikhnya itu adalah rahsia Allah.

Katanya, hanya Allah SWT saja yang mengetahui bila tibanya hari itu seperti dijanjikan-Nya.

Namun beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mempersiapkan diri menghadapi kiamat ataupun hari pembalasan, tetapi tidak perlu meramalkan bila ia akan berlaku.

Tanda kiamat sudah dinyatakan buat persiapan

“Tanda-tanda kiamat yang besar dan kecil sudah dinyatakan sebagai persiapan untuk manusia menghadapinya. Kiamat ada dua iaitu kiamat kecil dan kiamat besar, kiamat kecil yakni kematian. Setiap manusia akan menghadapinya.

“Mengapa kita sibuk meramal tarikh kiamat, sepatutnya kita perlu sibuk untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kiamat kerana ia bakal terjadi.

“Ia adalah perkara ghaib yang mana hanya Allah SWT saja mengetahuinya. Bahkan Nabi Muhammad SAW bersabda, kalau dengar langit hendak runtuh (kiamat) tetapi di tangan masih ada benih (tanaman), maka tanamlah benih itu,” katanya.

Beliau mengulas polemik mengenai hari kiamat, yang mengikut Kalendar Mesoamerican Mayan pusingan bumi selama 5,125 tahun akan tamat pada 21 Disember ini.

Ekoran ramalan itu, segelintir masyarakat di negara ini termasuk umat Islam dikatakan membuat persiapan bagi menghadapi hari terakhir itu termasuk membeli dan menyimpan keperluan makanan.

Mohamad Shukri berkata, jika umat Islam mempercayai ramalan kiamat, bermakna mereka mencampuri urusan Allah SWT.

“Usahlah kita meramalkan bila kiamat akan berlaku sebaliknya menggandakan lagi amal ibadat bagi menghadapi kiamat,” katanya.

Tanda-tanda besar kiamat:
  • Hijaunya bumi Arafah
  • Lahirnya ramai anak-anak hasil perbuatan zina, yakni dari perkahwinan tidak sah atau perceraian yang tidak diluluskan oleh mahkamah.
  • Keluar sejenis binatang dari perut bumi yang digelar Dabbatul Ardhi.
  • Keluar asap tebal di bumi Hijaz.
  • Munculnya nabi-nabi palsu, semuanya berjumlah 30 orang.
  • Berlaku perang besar di kawasan Kaukasus.
  • Runtuhnya Kaabah akibat diserang oleh orang Habsyah.
  • 3 kali gempa bumi.
  • Bermulalah kekuasaan Dajjal
  • Munculnya Imam Mahdi.
  • Turunnya Nabi Isa a.s dan membunuh Dajjal.
  • Keluarnya suku Yakjuj dan Makjuj.
  • Diangkat Al-Quran dan ilmu-ilmu agama (Addin) dari manusia.
  • Matahari terbit dari ufuk barat.
  • Terdengar tiupan sangkakala pertama, kedua
Tanda-tanda kecil kiamat:
  • Penaklukan Baitulmuqaddis

Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda:"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." - Sahih Bukhari
  • Zina bermaharajalela

"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." - Sahih Muslim
  • Pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik

“Apabila sesuatu amanah itu disalahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran (kiamat).” Para sahabat bertanya: “Bagaimana amanah itu disalahgunakan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan (diserahkan) kepada bukan ahlinya (jahil) atau bukan orang yang layak (fasik), maka tunggulah saat kehancuran.
  • Bermaharajalela alat muzik

Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka. "Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab: "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita" - Ibnu Majah
  • Menghias masjid dan membanggakannya

Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid" - Riwayat Nasai.
  • Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik

Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." - Riwayat Ahmad dan Hakim
  • Ramai orang menuntut ilmu kerana pangkat dan kedudukan
  • Ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik

Diriwayatkan dari Anas r.a.
"Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq." - Riwayat Ibn Ady

  • Ramai orang soleh meninggal dunia

Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran - Riwayat Ahmad
  • Orang hina mendapat kedudukan terhormat

Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka' (orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" - Riwayat Thabrani
  • Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja

"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." - Riwayat Ahmad
  • Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang."

  • Bulan sabit kelihatan besar

Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." - Riwayat Thabrani
  • Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita

Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu" - Sahih Muslim
  • Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar

Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar" - Riwayat Ahmad
  • Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai

Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai." - Sahih Muslim
  • Binatang buas berbicara dengan manusia
  • Bulan terbelah dua 
  • Banyaknya sifat bohong dan ia menjadi perkata biasa
  • Jarak-jarak antara pasar menjadi dekat (menunjukkan banyaknya kegiatan perdagangan)

Banyaknya sifat bohong, pendeknya waktu, dekatnya jarak-jarak antara pasar-pasar." - Riwayat Bukhari
  • Manusia mewarnai rambut di kepalanya dengan warna hitam supaya kelihatan muda

Pada akhir zaman akan muncul suatu kaum yang mencelupi rambut mereka dengan warna hitam seperti 'bulu merpati' yang mereka itu tidak akan mencium bau syurga." - Sahih Abu Daud & Nasai
  • Kekayaan umum dikuasai segelintir orang tanpa kebenaran dan tanpa rasa takut, termasuk rasuah dan mengambil harta secara tersembunyi.
  • Akan terdapat banya pengkritik, pembawa cerita, penikam belakang dan pengejek dalam masyarakat.
  • Orang akan mendirikan hubungan dengan orang tak dikenali dan memutuskan hubungan dengan yang rapat dan disayangi.
  • Orang akan melakukan homoseksual.
  • Akan terdapat ramai anak luar nikah.- Abdullah Ibn Mas'ood (R.A.)
  • Berkurangnya sifat amanah
  • Terasa berat untuk menjalankan syariah (zakat dijadikan hutang)
  • Lelaki mentaati isterinya tetapi menderhakai ibunya
  • Lelaki berkasar dengan bapanya tetapi beramah dengan rakannya
  • Suara manusia meninggi (menjerit dan berteriak) di masjid-masjid
  • Pemimpin suatu kaum adalah keji dan pemimpin suatu suku adalah fasik
  • Lelaki dihormati bukan kerana budi dan kebaikan tetapi kerana takut akan kejahatannya

Dari Ali dan Abu Hurairah r.a.: "Apabila harta rampasan perang (milik umum) dikuasai segelintir orang sahaja, barang amanah menjadi rampasan, harta zakat menjadi hutang, seorang lelaki mentaati isterinya dan menderhakai ibunya, berbuat baik kepada temannya dan berbuat kasar kepada bapanya, suara-suara tinggi di masjid-masjid, yang menjadi pemimpin suatu kaum (bangsa) adalah orang yang hina (berkelakuan/bersifat keji) di antara mereka dan orang yang menjadi ketua suatu suku (kabilah) adalah orang fasik di antara mereka, seorang lelaki dihormati kerana takut jahatnya, arak biasa diminum, sutera biasa dipakai (oleh lelaki), munculnya penyanyi perempuan dan alat-alat muzik, orang yang di kalangan umat terkemudian akan melaknat (mengutuk) umat terdahulu, maka ketika itu hendaklah mereka menunggu kedatangan angin merah atau pembalikan bumi atau keburukan bentuk-bentuk atau tanda-tanda yang beriringan seperti tali yang putus maka jatuhlah biji secara berterusan". - Riwayat Tarmizi

Mendahulukan lelaki menjadi imam bukan kerana ilmu tetapi kerana suara...

Penjualan jawatan atau kepemimpinan (politik wang)

Memandang rendah kepada darah


Rasulullah bersabda: "Bersegeralah untuk melakukan amal soleh apabila telah muncul enam perkara: perlantikan pemimpin yang bodoh, ramainya bilangan anggota polis, penjualan kepemimpinan, tiada penghargaan terhadap darah, pemutusan silaturrahim, orang mabuk menjadikan al-Quran sebagai alat nyanyi yang mereka mendahulukan seseorang antara mereka menjadi imam agar dapat menyanyikannya walaupun orang tersebut paling sedikit ilmunya." - Sahih Riwayat Tabrani & Ahmad


  • Seorang isteri bekerja dalam satu syarikat dengan suaminya. (Malah isteri berpangkat lebih besar)

Dari riwayat Ibnu Masud: "Di pintu gerbang (dekatnya) hari kiamat: Salam hanya kepada orang yang khusus (sudah dikenalinya), tersebar dan berkembangnya perdagangan sehingga seorang isteri membantu suaminya berdagang" - Sahih Lighairihi Riwayat Ahmad

Munculnya gaya hidup mewah dan manja di kalangan umat Islam


Apabila umatku berjalan dengan sombong dan yang melayan mereka adalah putera-puteri raja, putera-puteri Parsi dan Rom, maka orang yang paling buruk akan berkuasa terhadap orang yang paling baik (pilihannya)." - Riwayat Tarmizi, Sahih Abdullah ibnu Umar r.a.


  • Orang fasik dimuliakan sedangkan orang mulia dan terhormat direndahkan

Sungguh hebat dia, sunggu jarang orang seperti dia dan sungguh pintar dia sedangkan di dalamnya tidak ada iman sedikitpun" - Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Ibnu Majah


  • Banyak orang berharap untuk mati kerana banyaknya kekacauan ataupun kesengsaraan

"Tidak akan berlaku kiamat sehingga apabila seorang lelaki melalui sebuah kubur maka ia akan berkata: 'Aduhai seandainya aku juga berada ditempatnya.'" - Riwayat Bukhari dan Muslim
  • Banyaknya berlaku gempa bumi 
  • Banyaknya berlaku huru-hara yang menyebarkan kejahatan 
  • Banyaknya berlaku pergaduhan dan pembunuhan

"Kiamat tidak akan berlaku kecuali apabila ilmu telah diangkat, banyaknya berlaku gempa bumi, timbulnya huru-hara dan banyak pergaduhan iaitu pembunuhan - Sahih Bukhari
  • Banyak berlaku peperangan demi peperangan

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., "Hari qiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku 'al-Harj'". Sahabat bertanya, "Apakah al-Hajr itu hai Rasulallah"? Nabi saw. menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan". - H.R. Ibn Majah
  • Munculnya mati mendadak atau mati secara tiba-tiba

  • Masjid dijadikan jalan iaitu seseorang muslim melalui masjid tanpa melakukan solat

Masjid dijadikan sebagai jalan-jalan dan timbulnya mati mendadak" - Hasan At-Tayalisy.

Tiada ulasan: