KUALA LUMPUR, 5 Dis ― Keluarga kepada Aminulrasyid
Amzah yang ditembak mati oleh anggota polis dua tahun lalu tidak berpuas
hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, yang membebaskan
tertuduh, Koperal Jenain Subi, 49, daripada tuduhan menyebabkan kematian
remaja lelaki berumur 15 tahun pada ketika itu.
“Keputusan mahkamah tidak adil. Saya pun tengah duduk baca berita mengenai ini.
“Memang saya tengok keputusan yang diberikan ini, memang sangat tidak adil kepada pihak kami,” kata kakak kepada Aminulrasyid, Azura Amzah.
Ketika mahkamah mengumumkan keputusan pagi ini, Azura dan keluarganya tidak pergi untuk mendengar akan tetapi mengikuti perkembangan melalui internet.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan keputusan tersebut selepas menerima rayuan Jenain terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.
Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.
Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.
Pada 13 Sept tahun lepas, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan kesalahan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.
Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Apabila ditanya apakah tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pihak keluarga Aminulrasyid, sambil menangis dengan teresak-esak, Azura menjawab, “Kami akan bincang balik dengan peguam kami untuk tindakan seterusnya”.
Kes kematian Aminulrasyid, mendapat liputan meluas dan kecaman masyarakat selepas remaja itu mati terkena tembakan di kepalanya ketika dikejar anggota peronda yang sebelum itu mengarahkan beliau memberhentikan kereta Proton Iswara yang dipandunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan