Sabtu, 8 Disember 2012

Bumi bergelap tiga hari???

KUALA LUMPUR: Laporan blog dan artikel yang mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari bermula 23 Disember ini berikutan bumi, matahari dan pusat galaksi (Bima Sakti) berada pada kedudukan selari adalah tidak benar.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari berkata, keadaan itu tidak akan berlaku dalam masa singkat dan mungkin akan berlaku sekiranya bumi berhenti beredar mengelilingi matahari atau apabila matahari sudah tiada lagi.

"Jangan mudah percaya dengan perkara yang remeh-temeh kerana andaian yang dibuat itu berkemungkinan daripada pengaruh filem serta cerita yang ditonton.

"Untuk pengetahuan umum, pusat galaksi terlalu jauh dari bumi dan matahari iaitu 165 quadrilion batu, jadi kesan tarikan graviti adalah terlalu kecil, mana mungkin bumi akan bergelap," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pameran khas sempena memperingati angkasawan Pentadbiran Aeronautika dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Neil Alden Armstrong di Planetarium Negara, di sini hari ini.

Pameran anjuran kedutaan Amerika Syarikat, Angkasa dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Mohd Yusoff.

Yang turut hadir, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones.

Dakwaan bumi akan bergelap pada 23, 24, 25 Disember ini disebarkan menerusi blog dan artikel yang berpendapat apabila bumi, matahari dan pusat galaksi selari, maka akan berlaku penumpuan daya graviti daripada bumi, matahari dan pusat galaksi sehingga boleh mengakibatkan kemusnahan alam semesta.

Mengenai pameran itu, Khatijah berkata, pameran bertemakan 'A Tribute To Neil Armstrong' tersebut dibuka secara percuma kepada orang ramai selama sebulan bermula hari ini hingga 7 Januari tahun hadapan.

Katanya, pameran itu akan menceritakan perjalanan hidup angkasawan pertama dunia itu dari zaman kanak-kanak hingga kisah bersejarahnya menjejakkan kaki di bulan melalui siri bergambar dan babak dalam kehidupannya.

"Saya berharap pameran ini akan menjadi inspirasi kepada masyarakat Malaysia terutama golongan muda yang berminat mengenai penerokaan sains angkasa dan astronomi," katanya.

Tiada ulasan: