Pathmanabhan Beritahu Akan Dibunuh Tiga Lelaki, Jika Biarkan Mereka Hidup
SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini berkata dia telah diberitahu oleh N.Pathmanabhan bahawa tiga lelaki, termasuk pemandu jutawan kosmetik itu dan seorang peguam yang dikatakan dibunuh dan dibakar di sebuah ladang diBanting, akan membunuh bekas majikannya jika mereka dibiarkan hidup.
R.Kathavarayan, 32, berkata demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff sama ada dia mengetahui punca kejadian itu berlaku.
"Awak tahu mengapa mereka dibunuh dan dibakar," soal Ishak.
"Saya tidak tahu alasan sebenarnya tetapi saya telah diberitahu oleh Pathmanabhan," jawab Kathavarayan.
"Apa Pathmanabhan beritahu kamu?" soal Ishak.
"Dia beritahu saya: "Jika saya (Pathmanabhan) biarkan mereka, mereka akanbunuh saya". Kemudian dia beritahu saya (Kathavarayan) tidak akan faham," jawabtertuduh keempat.
Kathavarayan diperintah membela diri di Mahkamah Tinggi di sini bersama Pathmanabhan, 44, T.Thilaiyalagan, 22, dan R.Matan, 23, atas pertuduhan membunuhSosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil AbdulKarim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, JalanTanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30Ogos 2010.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam keterangannya sebelum ini, Kathavarayan berkata dia ternampak tigalelaki, iaitu pemandu Sosilawati, seorang peguam dan seorang lagi yang tidakdicam wajahnya, terbaring di kawasan bersebelahan dengan longgokan kayu api diladang itu pada 31 Ogos 2010.
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Pathmanabhan, Kathavarayan berkata dia menghormati dan takut dengan bekas majikannya itu kerana tahu apa akan dilakukan oleh Pathamanabhan sekiranya tertuduh pertama itu marah.
"Beritahu mahkamah apa perkara yang boleh menyebabkan Pathmanabhan marah,"soal Ishak.
"Biasanya dia akan marah sebab makanan, kalau tidak dengar cakap dia dan tipu dia. Saya pernah lihat dia marah polis trafik," jawab tertuduh keempat.
Kepada soalan lain, Kathavarayan berkata dia ada memberikan sepasang sarungtangan kain selepas diminta oleh Pathmanabhan.
Tertuduh keempat berkata bekas majikannya itu telah menggunakan sarung tangan berkenaan ketika memandu sebuah kereta jenis BMW bernombor pendaftaranAAJ 5 keluar dari ladang pada malam 30 Ogos 2010.
Keterangan saksi di mahkamah sebelum ini mengesahkan bahawa kereta itu adalah milik Ahmad Kamil.
"Saya katakan tujuan Pathmanabhan pakai sarung tangan untuk mengelakkansebarang cop jari," kata Ishak dan Kathavarayan menjawab "ya".
Tertuduh keempat seterusnya memberitahu Pathmanabhan turut mengarahkan seorang lagi pekerja ladang, U.Suresh untuk memandu keluar sebuah lagi kereta jenis BMW bernombor pendaftaran WTL 11 dari ladang pada hari yang sama.
"Suresh ada beritahu saya Pathmanabhan suruh dia pergi parking kereta diluar dan tunggu Pathmanabhan di situ," kata Kathavarayan.
Menurut keterangan saksi di mahkamah sebelum ini, kereta itu dinaiki olehSosilawati dan Kamaruddin pada hari mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010.
"Semasa kereta WTL 11 keluar dari ladang dan kereta AAJ 5 dipandu Pathmanabhan keluar, di mana Sosilawati, pemandunya, peguam dan banker itu?" soal Ishak.
"Ada di bahagian belakang ladang," jawab tertuduh keempat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.
Pathamanabhan Akan Gantung Diri Kalau Timbul Masalah, Kata Kathavarayan
SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu pada Selasa mendakwa tertuduh pertama, N.Pathmanabhan memberitahunya supaya tidak bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu kerana jika timbul masalah bekas peguam itu akan menggantung dirinya.
R.Kathavarayan, 33, berkata, Pathmanabhan juga meminta supaya dia (Kathavarayan), tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan, tertuduh ketiga R.Matan dan seorang lagi pekerja ladang, U.Suresh berlakon baik seolah-olah kejadian itu tidak berlaku.
Suresh, 29, dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 22, kini menjalanihukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.
Menceritakan mengenai perbincangan pada 3 Sept 2010 di dalam kereta jenis BMW milik Pathmanabhan, Kathavarayan berkata, bekas peguam itu bertanyakan sama ada dia (Kathavarayan) ada bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu.
"Dia (Pathmanabhan) beritahu tolong jangan beritahu apa-apa pada sesiapapun, jika berlaku apa-apa atau ada apa-apa masalah dia (Pathmanabhan) akan gantung diri," katanya.
Seterusnya, Kathavarayan berkata, pada 4 September 2010, Pathmanabhan memberitahubahawa dia (Kathavarayan), Thilaiyalagan, Matan dan Suresh akan ditangkap polis dan perkara itu menyebabkan mereka berasa takut.
"Pada mulanya Pathmanabhan suruh kami beritahu bahawa tidak berlakunya kejadian(pembunuhan) ini...tiada kejadian berlaku di ladang. Andai kata salah seorang antara kami mengaku dengan polis dia (Pathmanabhan) pohon jangan tunjukkantempat-tempat ini dengan tepat seperti tempat dipukul. Kemudian kami tanya kenapa perlu berbuat demikian dan Pathmanabhan beritahu jika ditunjukkan tempat yang tepat akan memudahkan polis untuk mendapatkan DNA.
"Pathmanabhan berkata jika tidak beritahu dengan tepat pada polis kebiasaannya statement (kenyataan) yang diambil buat kali pertama hakim tidak akan terima sebagai keterangan dalam mahkamah dan kita boleh beritahu statement diambil dengan cara memukul. Oleh demikian statement pun akan ada masalah dan kita boleh keluar dengan mudah," katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini.
Tertuduh keempat berkata, mereka kemudian bertanyakan kepada Pathmanabhan sama ada mereka boleh keluar dari ladang sebelum ditangkap polis dan tertuduh pertama menjawab polis sudah tentu mengetahui siapa yang tinggal di ladang dan jika mereka melarikan diri, polis boleh membuktikan kes itu.
"Pathmanabhan berkata jika kita tinggal di ladang paling kurangpun polis hanya boleh buat tahanan reman sahaja dan jika boleh tahan sebulan serta tidak bercakap apa-apa pada polis, selepas tempoh reman tamat kami semua boleh keluar," katanya.
"Adakah awak yakin dengan kata-kata Pathmanabhan," soal Ishak.
"Ya, saya yakin," kata Kathavarayan.
"Sebab dia seorang peguam yang bergelar Datuk?," soal Ishak.
"Ya, sebab dia seorang peguam, bukan sebab dia 'Datuk' tetapi sebab dia mempunyai ramai kenalan dan rakan-rakan yang merupakan anggota polis," jawab tertuduh keempat.
Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Kathavarayan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menerima ugutan daripada seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh petang Isnin.
Hasshahari memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk Akhtar Tahir sebelum peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan menyambung soal balasnya ke atas tertuduh keempat itu.
"Saya dimaklumkan oleh anak guam saya bahawa dia menerima ugutan semalam (Isnin) dan telah memaklumkan kepada pegawai penjara. Ada seorang tahanan menghampiri diadan maklumkan tentang keterangan dia di mahkamah sebelum ini.
"Pagi ini di lokap mahkamah pun ada...berlaku kekecohan tentang keterangan(tertuduh) tetapi saya tidak dapat maklumat lanjut lagi (mengenai kejadian di lokap mahkamah). Pohon mahkamah benarkan anak guam saya membuat laporan polis," katanya.
Akhtar berkata, perkara itu perlu dibawa untuk perhatian pihak penjara dan beliau mahu pihak berkenaan menyiasat dakwaan tertuduh serta mengambil tindakan yang perlu.
Beliau juga membenarkan tertuduh keempat membuat laporan polis ketika prosiding mahkamah ditangguhkan.
"Tolong ingatkan tertuduh keempat dia perlu memberi keterangan di mahkamah tanpa rasa takut...dia tidak akan diapa-apakan. Dia juga tidak boleh mencari masalah dengan orang lain," katanya.
Kathavarayan Nafi Mohon Program Perlindungan Saksi Kerana Wang
SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Isnin, menafikan dia memohon diletakkan di bawah program perlindungan saksi kerana ingin mendapatkan bantuan kewangan.
R. Kathavarayan, 32, ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga R.Matan, juga menafikan cadangan peguam itu bahawa dia berbuat demikian selepas tidak berjaya mendapatkan wang daripada tertuduh pertama N.Pathmanabhan.
Sebaliknya tertuduh keempat itu berkata dia memohon untuk berada di bawah program itu kerana bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anaknya.
Amer Hamzah: Saya katakan kamu membuat dakwaan itu (takutkan keselamatan keluarga) kerana kamu nak letakkan diri kamu dan keluarga bawah program perlindungan saksi.
Kathavarayan: Ya.
Amer Hamzah: Kamu tahu atau tidak unit perlindungan saksi terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Kathavarayan: Tidak tahu.
Amer Hamzah: Saya katakan, sebab itulah sejak 14 Jan lepas, ada pegawai dari JPM yang memerhatikan kes ini kerana kamu sudah memohon untuk program perlindungan saksi.
Kathavarayan: Tidak.
Amer Hamzah: Kamu tahu atau tidak, di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009, keluarga kamu boleh diberikan bantuan kewangan?
Kathavarayan: Tidak tahu.
Amer Hamzah: Saya katakan pada kamu, selepas kamu tidak berjaya dapatkan wang daripada Pathmanabhan kamu memutuskan untuk memohon program perlindungan saksi untuk dapatkan bantuan kewangan dan lain-lain.
Kathavarayan: Tidak.
Kepada soalan lain Amer Hamzah, Kathavarayan menafikan bahawa dia pernahmemberitahu seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh bahawa dia akan mengenakanPathmanabhan, Thilaiyalagan dan Matan.
Tertuduh juga menafikan bahawa dia ada berbincang dengan tahanan itu mengenai kes yang sedang dihadapinya.
Terdahulu, ketika disoal balas peguam Gurbachan Singh yang mewakili Thilaiyalagan, Kathavarayan tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa dia ada memberitahu Thilaiyalagan mengenai permintaan Pathmanabhan supaya keluarganya (Kathavarayan) berpindah keluar dari banglo milik tertuduh pertama itu.
Tertuduh keempat itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Gurbachan Singh bahawa dia telah meminta pertolongan Thilaiyalagan untuk memberitahu Pathmanabhan supaya tidak meminta keluarganya berpindah keluar dari banglo itu.
Gurbachan Singh: Bila kamu buat permintaan, Thilaiyalagan cakap dia tidak mahu campur dalam hal ini dan bila dia tidak mahu campur kamu sangat marah padanya.
Kathavarayan: Tidak setuju.
Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, kamu telah beri keterangan yang tidak memihak kepada Thilaiyalagan dan tertuduh lain untuk selamatkan diri kamu sendiri.
Kathavarayan: Tidak setuju.
Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, kamu beri keterangan yang tidakmemihak kepada Thilaiyalagan kerana kamu berdendam dengan dia kerana tidak menolong kamu untuk bercakap dengan Pathmanabhan.
Kathavarayan: Tidak.
Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, pada 14 November 2012 ketikaPathmanabhan minta keluarga kamu berpindah dari rumah dia dan ketika kamu mintaRM100,000 daripada Pathmanabhan, Thilaiyalagan ada mendengar perbualan itu.
Kathavarayan: Tidak setuju.
Kathavarayan Nafi Rancang Pembebasan Dengan Menjadi Pemberi Maklumat Polis
SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menafikan bahawa dia membuat perancangan dengan pihak polis mengenai pembebasannya sebagai 'ganjaran' menjadi pemberi maklumat kepada mereka.
R.Kathavarayan, 32, membuat penafian itu ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N.Pathmanabhan.
Manjeet Singh mengingatkan Kathavarayan yang dia memberitahu Manjeet Singh semalam yang dia akan mengadakan kenduri dalam tempoh dua bulan dan akan dibebaskan.Kathavarayan bagaimanapun menafikan bahawa dia ada berkata demikian kepada Manjeet Singh.
"Semalam saya berada di dalam lif bersama kamu dan dua anggota polis pengiring, kamu tanya saya kenapa saya tidak belikan makanan tengah hari untuk kamu dan saya beritahu kamu saya tak akan belanja kamu makan tengah hari," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab ya.
"Kamu kata, kamu akan adakan kenduri dalam dua bulan lagi dan kamu jemput saya...jawab dengan jujur yang kamu ada berkata begitu," soal Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "ya".
"Saya tanya kamu di mana kenduri itu sama ada kamu akan bebas, adakah saya bertanya kamu demikian?" soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "ya".
"Kamu kata dalam masa dua bulan kamu akan akan bebas," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".
"Adakah kamu memberitahu mahkamah bahawa saya berbohong? Kamu kata kamu akan balik dan adakan kenduri dalam masa dua bulan," kata Manjeet Singh.
"Saya tidak kata begitu," jawab tertuduh.
"Saya cadangkan kepada kamu bahawa itulah yang kamu katakan. Ini sebahagian daripada perancangan bagi kamu menjadi pemberi maklumat polis," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".
"Kamu kata (semalam), kamu pemberi maklumat polis...tolong polis tangkap orang lain," kata Manjeet Singh.
"Saya hanya beritahu saya ada bantu polis, saya bukan pemberi maklumat, jawab Kathavarayan.
Ketika ditanya Manjeet Singh sama ada dia ada menerima ganjaran kerana membantu pihak polis, tertuduh menjawab "tidak".
Kepada soalan oleh Manjeet Singh, Kathavarayan berkata tidak berlaku sebarang kejadian pembunuhan pada 30 Ogos 2010.
"Jadi, pertuduhan (bunuh) ke atas kamu dan tiga tertuduh lain yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 antara 8.30 malam dan 9.45 malam tidak benar, betulkan," soal Manjeet dan tertuduh menjawab "ya".
Tertuduh 'Serang' Pathmanabhan Kerana Dendam Kesumat - Peguam
SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis dikatakan mengubah keterangannya di mahkamah dan 'menyerang' N.Pathmanabhan kerana menyimpan dendam kesumat terhadap bekas peguam itu.
Peguam Manjeet Singh Dhillon ketika menyoal balas R.Kathavarayan mencadangkan bahawa tertuduh menyalahkan Pathmanabhan kerana anak guamnya itu telah meminta isteri dan anak-anak Kathavarayan berpindah keluar dari banglo miliknya (Pathmanabhan) yang terletak di Sepang.
Saksi keempat pembelaan itu bagaimanapun berkata dia telah meminta isterinya untuk berpindah keluar dari rumah itu kira-kira enam bulan lepas.
Ketika Manjeet Singh mencadangkan kepada Kathavarayan bahawa pada pertengahan November tahun lepas Pathmanabhan ada memberitahu bahawa dia mahukan banglo itu semula kerana keluarganya terpaksa berpindah keluar dari rumah, tertuduh keempat menjawab, Pathmanabhan tidak berkata begitu.
Kathavarayan juga tidak bersetuju dengan cadangan Manjeet Singh bahawa dia menggunakan tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan untuk cuba memujuk Pathmanabhan supaya tidak menyuruh keluarganya berpindah keluar dari banglo itu.
"Saya katakan isteri kamu masih duduk di rumah banglo itu hari ini dengan anak-anak kamu," soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab: "Saya tidak tahu kerana saya tidak hubungi dia (isteri)."
"Saya mencadangkan kepada kamu bahawa kamu telah meminta wang daripada Pathmanabhan untuk membeli sebuah rumah supaya keluarga kamu boleh berpindah ke situ," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "tidak".
"Pathmanabhan menolak permintaan kamu. Kamu kemudian mengugutnya yang kamu akan mengenakannya di mahkamah," cadang Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".
"Saya katakan kamu ubah cerita kamu (di mahkamah) kerana dendam disebabkan peristiwa di penjara di antara kamu dan Pathmanabhan dan kerana Thilaiyalagan tidak mahu bantu kamu," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab tidak.
"Saya katakan kepada kamu yang kamu seorang pemutar belit, kamu seorang yang boleh mengubah keadaan untuk faedah diri sendiri," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".
Kathavarayan seterusnya disoal Manjeet Singh mengenai laporan polis yang dibuat pada 3 Disember tahun lepas dan dia berkata laporan polis itu dibuat kerana dia bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anaknya.
"Siapa yang kamu takutkan? Siapa yang kamu fikir akan mencederakan keluarga kamu," soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "Pathmanabhan".
"Kamu bimbangkan keselamatan mereka dan hari ini mereka tinggal di rumah Pathmanabhan. Laporan kamu mengarut, satu laporan yang sengaja direka," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".
Pada satu ketika Kathavarayan kelihatan lemah dan tidak selesa ketika diasak dengan pelbagai soalan oleh Manjeet Singh, dan apabila ditanya sama ada dia ingin berehat, tertuduh menjawab dia ingin meneruskan keterangan.
Keadaan itu menyebabkan Manjeet Singh menempelak tertuduh dengan berkata: "Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu seorang tukang karut. Kamu hendak raih simpati daripada mahkamah, kamu buat-buat sakit untuk dapatkan simpati."
"Saya sedang mendapatkan rawatan," jawab Kathavarayan.
Manjeet Singh kemudian mencadangkan kepada tertuduh bahawa kakaknya ada datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.
Dalam keterangan sebelum ini, kakak Kathavarayan dan keluarganya dinyatakan datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.
"Tidak, bohong. Ini diajar oleh peguam yang mewakili saya sebelum ini," kata tertuduh.
"Siapa peguam kamu," soal Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "Ravi Nekoo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan