Barangkali apabila telah terlalu lama mengikut acuan Barat, Gordon atau nama aslinya, Lerpong Wichaikammart, lupa asal usulnya atau hilang semangat orang Asia yang selama ini menjunjung tinggi budaya dan adat resam terutamanya dalam soal institusi beraja.
Mungkin fikiran moden dan keterbukaan Gordon membuatkan dia memilih untuk mempercayai kebenaran di sebalik buku biografi berjudul The King Never Smiles hasil tulisan Paul Handley yang diterbitkan pada tahun 2006.
Bagaimanapun, buku berkisar mengenai kehidupan Raja Bhumibol Adulyadej, 86, itu terlebih dahulu diharamkan kerajaan Thailand. Sebagai orang Thailand, Gordon memang tidak melakukan kesalahan apabila cuba menelaah kandungan buku kontroversi itu.
Namun, apabila dia bertindak memuat naik pautan terjemahan buku itu dalam bahasa Thai pada tahun 2007 di Colorado, AS, Gordon tanpa disedari telah melanggar undang-undang di bawah Artikel 112 Thailand melibatkan undang-undang yang dinamakan lese majeste.
Lese majeste merupakan perkataan daripada bahasa Perancis yang merujuk kepada kesalahan mencemarkan kedaulatan institusi beraja
"Sebagai rakyat AS, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ia merupakan hak kebebasan bersuara saya di tanah AS," ujar Gordon kepada AP.
Namun, Gordon tersilap kerana beberapa tahun kemudian dia kembali ke Thailand untuk mendapatkan rawatan penyakit artritis dan tekanan darah tinggi yang dihidapinya. Ketika itulah, undang-undang lese majeste sah digunakan ke atasnya kerana dia berpijak di tanah Negara Gajah Putih.
Berikutan itu, dia ditahan oleh kira-kira 20 anggota polis di pangsapurinya di Bangkok pada Mei 2011.
Selepas dibicara, Gordon didapati bersalah dan disumbatkan ke dalam penjara sebelum dibebaskan pada Julai tahun lalu.
Pembebasannya itu pun selepas mendapat pengampunan Raja Bhumibol kerana pada asalnya dia sepatutnya meringkuk dalam penjara selama dua tahun setengah.
PERDANA Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menghadap Ratu Sirikit |
Hidup dalam acuan Timur yang penuh santun dan berbudi bahasa, bagaimanapun dilihat Barat sebagai satu bentuk penindasan hak bersuara.
Ketika majoriti rakyat Thailand menyanjungi konstitusi monarkinya serta menerima undang-undang lese majeste, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat ia sebagai satu bentuk penindasan demokrasi.
Pihak-pihak berideologi Barat menyifatkan undang-undang konvensional itu sebagai penghalang kepada perkembangan demokrasi di Thailand dan negara-negara di sekitar Asia.
Meskipun begitu, masih ramai rakyat Thailand khususnya penyokong kerajaan bertindak mempertahankan undang-undang itu dan tidak mahu kedaulatan monarki mereka diusik apatah lagi diperlekehkan.
Lantaran itu, kerajaan Thailand sendiri akur untuk menerima lese majeste dan pihak berkuasa negara berkenaan begitu tegas dalam menjalankan penguatkuasaan ke atas individu yang menghina Raja Thailand.
Bahkan, mereka tanpa rasa ragu-ragu menguatkuasakan undang-undang itu ke atas warga asing di Thailand.
Baru-baru ini, seorang lelaki warga Singapura yang dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun di bawah lese majeste dibebaskan selepas diberi pengampunan oleh Raja Bhumibol.
Wanchai Tan, 63, yang bekerja sebagai pemandu pelancong yang telah menetap di Thailand selama beberapa dekad dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara empat tahun.
Dia ditangkap pada 6 April 2009 atas kesalahan menyebarkan risalah yang mengutuk undang-undang lese majeste ketika satu demonstrasi kumpulan Baju Merah.
Negara Barat
Biarpun negara-negara Barat menyifatkan lese majeste amalan Thailand satu bentuk undang-undang tidak relevan, hakikatnya terdapat empat negara Eropah yang masih menguatkuasakan undang-undang itu iaitu Denmark, Belanda, Norway dan Sepanyol.
Hak kebebasan bersuara yang diperjuangkan mereka juga sebenarnya masih perlu berpandukan keterbatasan terhadap sesuatu perkara terutamanya hal-hal melibatkan konstitusi monarki.
Belanda, misalnya, pernah menahan seorang wartawan dan jurugambar majalah Spunk pada tahun 2007 atas kesalahan menghina mantan ketua negara mereka, Ratu Beatrix. Kedua-duanya didapati bersalah kerana memakai baju-T dengan tulisan tidak sopan yang merujuk terus kepada Beatrix.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan