Jumaat, 18 April 2014

Mahkamah Rayuan Putuskan Adalah Selamat Untuk Mensabitkan Anwar

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesahkan dan membuktikannya, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah berkata malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar).

Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan.

Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media Jumaat, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan.

"Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya," kata hakim berkenaan. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran