Selasa, 28 Julai 2015

Ahmad Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dari Kabinet bersama empat menteri yang lain dan seorang timbalan menteri termasuk Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Seri G. Palanivel.

Senarai Kabinet baharu menyaksikan Najib terus memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tujuh menteri baharu dilantik dan sementara sembilan muka baru menjawat jawatan timbalan menteri.

Najib dalam sidang media mengumumkan rombakan itu berkata, keputusan yang dibuat bertujuan memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

"Keputusan saya menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggugurkan empat orang menteri dan seorang timbalan menteri, serta perubahan portfolio dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran.

"Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat pada pilihan raya umum yang ke-13," katanya.

Menurut Perdana Menteri, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa juga keaaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu-isu negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran