Selasa, 28 Julai 2015

Saya redha - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap mempertahankan prinsip dan pendiriannya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), justeru beliau redha jika alasan digugurkan dari Kabinet kerana membangkitkan perkara tersebut secara terbuka.

"Selama saya berkhidmat saya sentiasa menyokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.

"Kecuali dalam isu 1MDB saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.

"Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada Kabinet maka saya redha," katanya dalam kenyataan di sini.

Perdana Menteri yang melakukan rombakan Kabinet hari ini menggugurkan nama Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jawatan itu akan dipegang oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin berkata, beliau menerima keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan hati terbuka dan menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota Kabinet.

"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

"Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri kecuali dalam isu 1MDB," ujarnya.

Beliau berikrar akan terus setia kepada perjuangan UMNO dan sebagai Timbalan Presiden UMNO akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dan mencurahkan khidmat bakti demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri," kata Muhyiddin. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: