Rabu, 29 Julai 2015

Himpunan anak muda selamatkan Malaysia

Kenyataan Media-29 Julai 2015

Ketidaktentuan negara rentetan jenayah kewangan paling dahsyat sejak kemerdekaan negara, skandal 1MDB yang kekal tidak terjawab serta tindakan balas Perdana Menteri memecat YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara serta beberapa anggota kabinet yang kritikal terhadap isu 1MDB telah meletakkan negara dalam keadaan bermasalah dan berisiko besar untuk hilang kepercayaan warga dunia.

Situasi ini tidak hanya akan memberikan impak yang buruk kepada ekonomi, malah turut menjejaskan prioriti bernegara memandangkan perseteruan antara kedua-dua kem tertinggi parti pemerintah dilihat akan berlarutan dan meletakkan rakyat sebagai taruhan yang akan tersepit di tengah-tengah kemelut ini.

Anak Muda Harapan Baru melihat bahawa pihak yang paling banyak terkesan daripada kemelut ini ialah anak muda.

Dalam keadaan ekonomi yang sedia 'sakit' lama sebelum krisis politik ini yang telah pun menjerut leher anak-anak muda untuk survive dalam kehidupan seharian, ianya bertambah perit apabila negara dirundung malapetaka konflik yang pastinya melebarkan lagi kesusahan dan keperitan anak-anak muda akibat prioriti pemimpin-pemimpin politik yang pastinya dihalakan untuk 'membunuh' seteru masing-masing.

Konflik pertembungan politik ini seakan-akan melengkapkan kitaran pembulian kepada rakyat setelah kerajaan dengan penuh zalim memaksa rakyat terbanyak membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah semua sedia maklum menjadi punca segala kenaikan kos kehidupan yang telah menyempitkan hela nafas anak-anak muda khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Hal itu belum termasuk ura-ura kenaikan harga minyak yang diramalkan berlaku sekitar Ogos dan September ini.

Jalan yang terbaik untuk menamatkan kemelut ini dan memangkin keyakinan warga dunia kepada Malaysia ialah Peguam Negara yang baru perlu meneruskan pendakwaan ke atas Perdana Menteri.

Beliau perlu membuktikan kewibawaan beliau sungguhpun kita akui amat mustahil Peguam Negara yang 'direstui' Perdana Menteri ini untuk mengheret Dato' Sri Najib Tun Razak ke muka pengadilan.

Kegilaan melantik anggota PAC sebagai Menteri bagi mengendurkan siasatan ke atas 1MDB, pemecatan tiba-tiba Peguam Negara yang membelakangkan Perkara 145 (6) Perlembagaan Persekutuan, memecat Timbalan Perdana Menteri yang bersuara atas jenayah yang berlaku merupakan tindakan-tindakan yang cenderung mewujudkan culture of fear kepada rakyat.

Seolah-olah kedudukan Perdana Menteri sentiasa betul, tidak pernah salah dan sentiasa perlu dituruti sekalipun curang dalam menggalas amanah.

Anak Muda Harapan Baru merasakan bahawa keadaan negara tidak boleh berterusan begini lagi. Satu tindakan tuntas perlu dilakukan. Lantas pada 8 Ogos 2015, Anak Muda Harapan Baru akan menggerakkan 'Himpunan Anak Muda Selamatkan Malaysia'.

Himpunan ini bertujuan mengumpulkan suara ramai generasi muda dalam memulihkan kembali keadaan negara yang telah rosak akibat tangan-tangan kotor orang politik.

Justeru satu jelajah akan diadakan ke negeri-negeri dalam usaha meningkatkan penglibatan segenap segmen anak muda untuk hadir dalam himpunan tersebut. Jelajah yang dijadualkan bermula di Pantai Timur itu nanti diharapkan bakal memuncak dengan kehadiran seramai mungkin anak muda untuk bersuara dalam himpunan 8 Ogos itu nanti.

SANY HAMZAN
Penyelaras Anak Muda
Gerakan Harapan Baru

Tiada ulasan: