Rabu, 22 Julai 2015

Lim Kok Wing letak jawatan pegawai strategik perhubungan awam Najib

lim-kok-wing-mlaysia

Tan Sri Lim Kok Wing yang pelantikannya sebagai penyelaras kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini menimbulkan kekecohan, meletakkan jawatan awal bulan ini, menurut sumber kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan penjawatan singkat pakar pengiklanan itu sebagai penasihat Najib berakhir awal bulan ini selepas mengemukakan surat peletakan jawatannya.

Ini terjadi ketika perdana menteri sedang bergelut meningkatkan sokongan yang semakin berkurangan berikutan isu yang berkaitan dengan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), penyaluran dana ke dalam akaun peribadinya dan desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

Lim difahamkan menerima surat pelantikannya awal tahun ini daripada setiausaha sulit kanan di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias yang meninggal dunia April lalu dalam nahas helikopter yang turut membunuh ahli Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

The Malaysian Insider pada 22 Mei lalu melaporkan Lim yang menggerakkan kempen pilihan raya Barisan Nasional sebelum ini dilantik sebagai penyelaras baharu kempen awam Najib dalam usaha memenangi hati rakyat Malaysia dan meningkatkan populariti perdana menteri yang semakin berkurangan.

Lim, 69, yang juga seorang pendidik terkenal dilantik ketika kemuncak skandal 1MDB yang menyaksikan Najib berdepan dengan kritikan cukup keras dalam kerjaya politiknya dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan dana dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara itu.

Baru-baru ini, Najib didapati terlibat dalam skandal pembiayaan pilihan raya di mana beberapa syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB didakwa menyalurkan berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.

Lim menyertai kumpulan penasihat perdana menteri yang termasuk Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Datuk Johari Baharum, Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau juga pernah berkata, pelantikannya "bukanlah sesuatu yang istimewa" sambil menyatakan beliau sudah bekerja untuk kerajaan Malaysia sejak 1974 dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru.
Pelantikannya bagaimanapun, mengundang kemarahan pengguna media sosial yang mempersoalkan integriti Lim dalam membantu Najib yang diselubungi skandal kewangan.

Ramai juga menegaskan, Lim walaupun dengan kelayakan yang mengagumkan, tidak akan dapat membantu Najib kerana dakwaan yang terlalu serius terhadap Najib, sambil menambah bayaran kepadanya adalah "satu pembaziran wang rakyat".

Dilaporkan juga sebaik saja Lim menerima pelantikan itu, beliau merangka rancangan untuk Najib pergi menjelajah di seluruh negara bagi mengumpul sokongan dan mendengar aduan daripada rakyat.

Pengasas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu juga diambil bekerja dengan Najib bagi menjalankan kempen politik untuk beliau dalam usaha menentang bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara terbuka meminta beliau meletak jawatan berikutan skandal 1MDB.

Nama Lim, yang terlibat dalam kerja kempen pilihan raya selama hampir empat dekad, meningkat naik semasa pentadbiran Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir pernah menegur Lim kerana memintanya berhenti menyerang Najib berhubung skandal 1MDB, menuduh beliau "bertungkus lumus" cuba menutup salah laku dalam 1MDB.

Merujuk kepada Lim, negarawan itu menulis dalam blognya yang beliau dinasihatkan oleh "rakan" yang baru-baru ini dilantik sebagai ahli strategi perhubungan awam kepada perdana menteri, supaya tidak menyerang Najib berhubung isu 1MDB.

Namun, Dr. Mahathir berkata, sebelum ini "rakannya" itu pernah menyatakan kebimbangan mengenai dasar dan prestasi pentadbiran Najib dan menggesa beliau (Dr. Mahathir) melakukan sesuatu mengenainya.

Bagaimanapun katanya, ketika menerima kunjungan rakannya itu, beliau nampaknya sudah berubah dan menggesa Dr. Mahathir agar tidak menyerang perdana menteri.

The Malaysian Insider berusaha menghubungi Lim untuk pengesahan berhubung peletakan jawatannya, tetapi panggilan dan teks WhatsApp tidak berjawab.

Tiada ulasan: