Khamis, 21 Januari 2016

Pimpinan Bahagian UMNO Kedah umum hilang kepercayaan pada Mukhriz


Desas desus yang beredar kebelakangan ini mengenai isu kepimpinan UMNO Negeri Kedah menjadi kenyataan petang Rabu.

Pimpinan Bahagian-Bahagian UMNO negeri itu bersatu suara mengadakan sidang media di hotel Grand Alora, Alor Star umum mereka sudah hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah dan Menteri Besar dan rayu Perdana Menteri segera gantinya.

Sebelum itu, mereka telah adakan satu mesyuarat tertutup di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar. Hadir sama wakil Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO negeri.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pada sidang akhbar berkata, semua pimpinan UMNO Kedah dan wakil-wakil rakyat berhimpun untuk menyatakan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar.

"Ini berdasarkan kepada kelemahan serta ketidakupayaan beliau menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di negeri Kedah.

"Tiada sebarang perancangan strategik parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Gagal dalam mengetuai jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan parti di Kedah serta sebagai Menteri Besar beliau gagal mengurustadbir kerajaan negeri secara berkesan," kata Ahmad Bashah yang membaca kenyataan media.

Sehubungan itu, mereka meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan segera ke atas kepimpinan tertinggi parti serta menukar Menteri Besar.

Semua Ketua UMNO Bahagian di Kedah telah hadir kecuali Jerlun, di mana Mukhriz merupakan Ketua Bahagian, manakala Padang Terap diwakili oleh Datuk Seri Ghazali Ibrahim kerana ketuanya Datuk Seri Mahadzir Khalid berada di London kerana urusan rasmi sebagai Menteri Pelajaran.

Tiada ulasan: